Kehadiran Obama malapetaka buat M'sia
ULASAN Kedatangan Presiden Amerika Syarikat
(AS), Barack Obama pada 11 Oktober 2013 di Malaysia tidak dialu-alukan
malah dibantah dan dikecam.
Kami menyatakan pendirian kami
bahawa imej AS sangat negatif di sisi rakyat Malaysia. Kehadiran
Presiden AS, kami anggap suatu malapetaka buat Malaysia.
AS dilihat sebagai kuasa imperialis Barat yang mempunyai cita-cita untuk mendominasi seluruh dunia melalui pelbagai strategi.
Dari
strategi menguasai Majlis Keselamatan PBB, Majlis Hak Asasi Manusia
PBB, IMF, Bank Dunia, WTO, G8, APEC sehingga strategi memanipulasi media
global, perjanjian ketenteraan, strategi menjatuhkan atau menaikkan
seseorang pemimpin atau kerajaan.
AS dari dahulu lagi menghadapi
masalah integriti di kaca mata umat Islam dan seluruh pejuang hak asasi
manusia sedunia. AS adalah negara paling rasis dan paling hipokrit.
Harus diingatkan bahawa apa yang dilakukan oleh AS terutama di dunia
Islam menyebabkan umat Islam melahirkan kemarahan mereka terhadap negara
dan presiden AS.
Kebanyakan rakyat tidak dapat menerima
Presiden AS sebagai tetamu. Jutaan umat Islam yang terkorban dan
menderita di seluruh dunia adalah berpunca dari hegemoni ekonomi,
ketenteraan dan politik AS.
Dan oleh sebab itu kedatangan presiden AS adalah suatu yang membangkitkan kemarahan rakyat.
Negara samseng
Umat Islam khususnya melihat dasar kerajaan Amerika yang dipimpin oleh
beberapa presidennya jelas mengguris hati kaum Muslimin di Iraq,
Pakistan, Iran, Al-Quds, Gaza, Libya, Syria, Mesir, Algeria.
Seluruh polisi AS adalah untuk mengadu-domba dan memperalatkan pemimpin
dan diktator negara-negara umat Islam sehingga umat Islam menderita
akibat rejim yang pro-Amerika dan anti-Islam.
AS bukan sebuah negara yang layak bercakap mengenai hak asasi manusia, kebebasan dan demokrasi.
Malah di tangan Obama kini dipenuhi darah orang yang tidak berdosa
akibat dasarnya untuk memelihara kepentingan Israel dan Zionis Yahudi.
Mempertahankan kepentingan Israel adalah agenda utama AS walaupun
melibatkan pencerobohan dan pemusnahan ke atas wilayah Palestin dan
pembunuhan rakyat Palestin di Gaza.
Kerana AS mahu menjaga
kepentingan imejnya sebagai kuasa besar dunia, Presiden Obama sanggup
mengarah penghantaran Drones, kapal terbang perang tanpa pemandu, ke
Afghanisatan yang membunuh ribuan orang awam tidak berdosa.
AS
dikenali sebagai negara samseng yang sarat dengan konspirasi untuk
memporak-perandakan negara umat Islam dan mana-mana negara yang didapati
mempunyai kerajaan yang bersikap kritikal terhadap dasar luar AS
seperti Iran, Cuba, Venezuela dan Korea Utara.
Perangkap TPP
Perisikan CIA melakukan pelbagai operasi subversif dan sabotaj antarabangsa di pelbagai negara.
AS sebagai negara yang mudah diperalatkan oleh Israel, hanya memastikan seluruh dunia tunduk dan patuh kepada kehendaknya.
Kami membantah keras kedatangan Obama. Beliau adalah simbol kepimpinan
hipokrit terulung di dunia dan tidak layak disambut di bumi Malaysia.
Kini Malaysia terperangkap dalam perundingan TPP yang diketuai AS.
Jelas TPP adalah satu lagi hegemoni ekonomi AS yang mahu mengikat
negara-negara dan berusaha mendominasi pasaran dunia.
Agenda
geopolitik AS dalam TPP adalah jelas iaitu untuk menyaingi kebangkitan
ekonomi kumpulan negara-negara BRICS (Brazil ,India, Russia, China,
Africa Selatan).
Kami menggesa agar kerajaan Malaysia menimbang
semula untuk menerima kehadiran Obama. Beliau adalah simbol kuasa
imperialis dunia yang tidak mungkin boleh diterima jika Malaysia mahu
menegaskan kemerdekaannya dalam erti kata sebenar.
Malaysia
harus menunjukkan keberaniannya seperti Presiden Brazil Dilma Rauseff
yang baru-baru ini menolak lawatan Obama kerana perisik AS didapati
secara rahsia mengesan dan merisik perbualan antara Presiden Brazil itu
dengan pegawai tertinggi beliau.
Jelas perhubungan dengan AS mendedahkan negara kepada operasi espionage pada bila-bila masa.
Kami menyeru rakyat Malaysia menyatakan sikap mereka dengan tegas dan
jelas terhadap kedatangan Obama, bagi menzahirkan pendirian mereka untuk
membantah kedatangan beliau dan menentang kezaliman, imperialisme dan
dan penjajahan AS.
MOHD AZMI ABDUL HAMID Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).