Assalamualaikum wbt.
Setiap dari kita ini, kalau sesibuk mana pun, pasti akan mencari masa untuk bersosial. Maksud kata sosial di sini bukanlah sesuatu yang negatif, yang pergi buat perkara yang tidak senonoh atau yang seumpama dengannya. Kita fikir dari sudut positif. Aku menulis ini dari pihak aku sendiri. Ini pendapat peribadi. Tak menyuruh sesiapa untuk mengikut apatah lagi memaksa supaya setuju dengan aku. Kita bersosial untuk mencari pengetahuan yang luar dari bidang kita. Contoh, si A belajar dalam bidang kejuruteraan, tapi dia bersosial dengan orang yang mengambil bidang fotografi. Sedikit sebanyak, si A ini boleh la tahu tentang fotografi.
Dengan berblog ini juga, sebenarnya aku bersosial. Aku kenal ramai orang. Aku dapat banyak ilmu. Yang baik, diambil. Yang kurang baik, jadikan sempadan. Membaca hasil tulisan orang buat aku berfikir. Mengetahui pandangan orang tentang hidup, buat aku lebih merasakan hidup ini banyak cabarannya yang aku sendiri tidak tahu bila masa akan muncul cabaran itu. Dan aku juga boleh berkongsi pengalaman dengan orang sekeliling tentang apa yang aku alami. Macam yang diceritakan dalam blog
Kak Mija dan Abg Azrin tentang pengalaman mereka sekeluarga tinggal di Melbourne sana. Setidak - tidaknya, kalau berjauhan dengan keluarga, aku sebagai adik tahu juga keadaan mereka di sana. Tidak macam zaman dulu - dulu, kena tulis surat baru tahu keadaan hidup seseorang itu bagaimana.
Selain berblog, ramai saja yang mempunyai cara lain untuk bersosial. Ada saja yang keluar minum kopi ke, main boling ke, atau pergi bercuti. Pada masa yang sama, mereka melepaskan rasa tensi yang disebabkan oleh kerja atau belajar. Tapi kalau di sini, malas mahu keluar. Tambah lagi pada waktu sekarang ini, cuaca sekejap sejuk, sekejap panas. Dalam satu hari itu, kadang - kadang semasa keluar, cuaca baik saja, tapi sewaktu mahu balik, tiba - tiba salji turun tambah lagi dengan angin kuat. Jadi cara terbaik, duduk sajalah di rumah. Lagi - lagi waktu cuti yang tinggal sedikit saja lagi ini.
Kenapa aku menulis tentang ini? Cara aku bersosial adalah dengan cara aku ke kelas, balik rumah, ber
online, berblog, atau mungkin berborak dengan teman serumah. Dan semua itu lebih kepada aku melepaskan rasa lelah aku belajar. Mungkin ramai yang berpendapat, pelajar perubatan ini sepatutnya sibuk memanjang. Sampaikan tiada masa untuk diri sendiri. Siapa cakap? Sesibuk Perdana Menteri pun, beliau pasti akan ada masa untuk diluangkan untuk diri sendiri. Inikan pula pelajar. Memanglah pada hakikatnya kami sibuk, tapi kita ini, kena bijaklah uruskan masa. Kalau aku, mungkin berblog untuk melepaskan apa yang aku rasa atau fikir. Pada orang lain, mungkin dengan membaca komik atau bermain
play station boleh merehatkan minda mereka. Lain orang, lain caranya.
Aku cakap ini bukan sebab aku belajar di Rusia yang mungkin pada mata orang lain tak sesibuk macam orang yang belajar perubatan di tempat lain. Belajar di mana - mana pun, dalam bidang apa pun, kesibukan itu pasti ada. Belajar di tempat yang dekat atau jauh, ilmu tetap sama, cara bahagikan masa itu pun prinsipnya sama, cuma bergantung pada seseorang itu bagaimana caranya untuk menguruskan masa. Contoh, dalam masa seseorang itu belajar, bagaimana dia boleh mencari masa untuk dia berblog atau ber
plurk atau ber
ym atau sebagainya? Adakah dia langsung tidak belajar? Tak juga. Entah - entah dia lebih tekun belajar jika nak dibandingkan dengan orang yang tak bebrlog atau seumpamanya. Jadi kita ini jangan jadi orang yang
judgemental. Kalau orang putih kata
Dont Judge A Book By Its Cover, kita orang Melayu kata
Lain Padang Lain Belalangnya (ada bagi
hint ke?). Hehe..
Kenapa wujudnya peribahasa itu? Secara ilmiahnya aku sejujurnya tidak tahu. Tapi sebenarnya dengan peribahasa itu mengajar kita menjadi orang yang sentiasa bersangka baik. Dengan kata lainnya, peribahasa itu suruh kita jangan jadi orang yang berburuk sangka. Ia mengajar kita menjaga hati kita. Kita manusia ini, kalau buat sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, kita tak akan sedar pun benda yang kita buat itu sebenarnya salah. Contohnya, kita jadi ahli Koperasi. Masa tiada pelanggan, kita makan makanan di Koperasi itu tanpa membayarnya. Lama - lama kita dah terbiasa. Itu samalah dengan mencuri. Tapi kita dah terbiasa buat, jadi kita tak sedar yang kita ini sudah mencuri. Samalah macam bersangka buruk. Nampak orang itu, sangka dia begitu. Nampak orang ini, sangka ia begini. Tanpa usul periksa, main sedap mulut saja cakap. Main sedap akal saja membuat kesimpulan. Lama - lama hati jadi busuk, dan susah mahu mewangikannya kembali walaupun jika guna AmbiPure ke, Glade ke. Hurmm.. Guna peluntur Clorox pun belum tentu jadi elok. =)
Sejujurnya aku tak berapa menyukai orang yang mempertikaikan apa yang aku buat. Kenapa? Sebab aku tak suka pertikaikan apa orang lain buat. Pada aku, biarlah apa orang tu mahu buat dengan hidupnya asalkan dia tak menyusahkan hidup aku. Mungkin bunyinya sedikit kasar, tapi itulah hakikatnya. Aku memang tak suka orang pertikaikan apa yang aku lakukan. Aku lakukannya sebab aku mahu dan aku tahu kenapa aku buat. Itu untuk diri aku. Lainlah kalau benda yang aku buat itu salah dan orang datang tegur. Itu bukan mempertikaikan, tapi itu menegur.
Jadi janganlah tanya aku :
Ko tak sibuk ke sampai hari - hari boleh update blog? Atau :
Kata ambil medic, tapi aku tengok hari - hari online? Aku banyak kali je dihujani soalan - soalan yang menguji kesabaran aku begini. Mujur aku bukan jenis orang yang cepat melenting. Dan aku menjawab dengan penuh hemah. Ok. Aku mengaku, memang aku
online setiap hari itu tapi tak bermakna aku tak belajar. Kenapa sesetengah dari kamu nampak aku
online tiap - tiap hari? Satu, sebab internet di rumah aku ini
wireless dan kami bayar tiap - tiap bulan untuk internet itu aktif 24 jam (ini pakej). Dua, di sini kami menggunakan khidmat internet untuk menyebarkan nota - nota, risalah dan pengumuman. Jadi maklumat itu akan sampai kepada semua
batch.
Maaf kalau entri ini mengusik sesiapa. Aku sekadar keluarkan apa yang ada dalam fikiran aku ini. Tak terniat untuk menembak sesiapa. Cuma aku mahu berkongsi. Yang baik jadikan tauladan, yang buruk jadikan sempadan.