Assalamualaikum wbt.
Apa khabar semua? Harapnya semua sihat walafiat. Aku kat sini pun sihat juga. Maklumlah hati tengah bahagia cewah! Bahagia sebab dah habis zaman housemanship yang penuh dengan ranjau berduri itu.
Entri ini sangatlah panjang sebab aku pun dah lama tak update blog ni kan. Banyak cerita yang berlaku dalam masa 3-4 bulan kebelakangan ni..
Alhamdulillah aku dah pun berjaya menamatkan tempoh housemanship (latihan siswazah) aku selama 2 tahun tepat (tanpa extension) di Hospital Ampang. Banyak perkara yang aku belajar sepanjang tempoh dua tahun ni. Bagaimana hidup dalam keadaan tertekan tanpa keluarga di sisi, hanya kawan-kawan yang banyak memberi dorongan dan support. Kesusahan hidup menyewa rumah yang akhirnya dipecahmasuk oleh pencuri dan mengambil byk barang-barang berharga kepunyaan aku yang sangat3 aku sayang. Dan kemudiannya aku berpindah lagi ke rumah apartment yang lebih selamat dan duduk dengan adik aku Mia. Dan kemudian pindah lagi selepas tamat HOship. Dan sekarang ini aku pindah lagi ke.......?? tertanya-tanya? Jom baca sampai habis.
Posting terakhir aku sebelum tamat adalah di Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi. Sempat juga oncall 3 kali sebelum aku bercuti lama (3 minggu ok!). Dan macam biasa aku ni memang jonah. Sampai senior MO tu tak larat dah sebab dari pagi tak rehat dari terima referral. Memang tak tidur dari pagi sampai 5 pagi keesokan harinya. Dia tidur pukul 5 pagi dan bangun dah nak dekat rondaan pagi (dalam pukul 7 macam tu). Aku pula, ye la baru habis HOship, tapi still buat kerja HO. Apa-apa nurse inform aku dan sudahnya aku tidur setengah jam aje.. Besoknya tu aku pengsan kat rumah.. Huhu..
Alhamdulillah aku panjatkan syukur pada Allah yang memberi aku kekuatan dan keteguhan hati dalam meneruskan kehidupan aku walaupun dihentam-hentam macam kentang lenyek. Huhu.. Dan akhirnya lepas saja final viva, buku log pun dah submit, baru tenang jiwa.
Dan sekarang ni, aku ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu sebagai pegawai perubatan di Jabatan Obstetrik & Ginekologi. Konon-kononnya nak masuk Jabatan Pembedahan Am / Ortopedik tapi penuh pula, lagipun dia kata waiting list pun panjang lagi. Antara yang kosong adalah Pediatrik, Perubatan Am, Anestesiologi dan A&E (Kecemasan). Aku ni memang tak minta Pediatrik/Perubatan la kan sebab semua orang tahu kadar kesibukan dua jabatan tu. Anaesth pula? Hurmm nanti kita cerita.. :-P A&E? Aku takde pengalaman pula kerja kat A&E. Jadi tanya la O&G ada kosong ke tak. Dia kata O&G pun dia memang nak ramai sebab diorang dah nak buka bangunan baru Kompleks Ibu dan Anak dalam tahun depan macam tu. Hurmm dan akhirnya aku ambil O&G. Mula-mula tu memang menangislah sebab semua orang tahu O&G pun memenatkan juga. Tapi antara semua-semua jabatan tu, aku rasa aku lebih dekat dengan O&G. Rindu saat-saat encourage orang beranak. Kalau dulu aku kat Ampang, bila datang Myanmar yang tak faham bahasa Melayu/English, kadang-kadang tepuk sikit kaki dia supaya teran. Ye la, kalau tak baby mana la nak keluar....
Jadi Aku kena tag oncall la sebelum aku jadi MO incharge. Dan aku kena start Ahad ni.. Takutnya....
*********************************************
Hurmmm.. Ingat tak dulu aku ada cerita pasal episode satu dulu? Nak aku sambung episode kedua tak? Hihi..
Kisah aku bersambung dari episod satu ke episod dua bertarikh 10 November 2012. Seminggu sebelum majlis walimah kakak aku. Mereka datang satu rombongan (dalam 6 kereta kot) selepas Zuhur. Bincang punya bincang (entah apa yang diorang bincangkan pun aku tak tahu) lepas tu aku pun turun dari bilik dan akhirnya selamat la jadi tunangan orang. Huhu.. Mak si dia yang sarungkan cincin kat aku. Masa tu menggigil juga la tangan aku ni, entah kenapa entah. Sarung cincin je pun kan. Majlis tu pun majlis ringkas je. Takde pelamin-pelamin pun. Baju aku pun baju biasa kebaya lace warna hijau pucuk pisang yang dibeli masa clearance stock huhu.. Make up pun make up sendiri je, tepek bedak sedas dua hihi.. Hantaran memang buat last minute hasil pertolongan kakak-kakak aku yang ramai tu, dengan idea yang ok juga dari aku ni yang memang tak kreatif langsung kan..
Ini je gambar yang ada dalam simpanan aku. Insyaallah kalau tak ada aral melintang aku akan bernikah pada 29 November 2013 di Masjid Jamiul Hasaniah, Kg Batu 3, Klang Selangor. Aku dengan rendah hati ingin menjemput para pembaca yang berkesempatan untuk hadir ke Majlis Resepsi aku pada 30 November 2013 dari 12 pm - 4 pm di rumah aku seperti yang tertera di peta di bawah. Dan aku mohon didoakan kemudahan untuk aku dan keluarga aku. Mohon doa dari kalian supaya majlis ini berjalan dengan lancar.
**Fuuh. Akhirnya selesai juga episod dua aku. Kalau nak tahu bagaimana kami berkenalan & cara dia tanya persetujuan, kena tunggu next entry :-D


