Bercakap tentang bulan Ramadhan, tentunya pelbagai perkara berenang-renang di minda penganut agama Islam; solat tarawikh, zakat fitrah, morikh, malam tujuh likur, peringatan terhadap insan-insan yang memerlukan, "cleansing of the soul", proses penyahtoksidaan badan, main bunga api dan sebagainya.
Tetapi, ada satu lagi perkara yang paling signifikan apabila tibanya bulan Ramadhan iaitu: waktu berbuka.
Nah, tentu sekali apabila memikirkan waktu berbuka, kita terus diperingatkan kepada Pasar-pasar juadah yang bertebaran diseluruh pelusuk Malaysia. Pelbagai hidangan dan juadah berlegar-legar dalam kotak fikiran. Antara juadah terkenal tatkala tiba bulan yang mulia ini: Roti John, Murtabak, Ayam Perchik, Kerabu, Ikan Bakar, Air Warna-Warni-Banyak-Perwarna, Air Tebu, Tau Foo Fa, dan sejuta muka surat lagi kalau saya nak senaraikan. Semuanya berkelip-kelipan seperti lampu-lampu neon di Las Vegas: "Sirap" "Laksa Johor" "Murtabak Singapura" "Beli Satu Percuma Dua".
Apakan daya, setiap kali aku pergi untuk membeli "satu benda je hari ni, promise", aku akan akhirnya membawa pulang sekurang-kurangnya 3 beg plastik (dah la tak eco-friendly, haish). Mesti ada saja hasutan perut yang meronta-ronta meminta diisi.
Pasar juadah, atau nama lainnya dan lebih komersil, Bazaar Ramadhan, adalah tempat yang harus dikunjungi tiap kali ingin membeli makanan untuk berbuka. Walaupun sunnah Nabi adalah berbuka dengan sebiji buah tamar serta air zam zam, namun rakyat Malaysia lazimnya rakus meng'attack' pasar juadah berdekatan rumah mereka membawa dompet dan payung dalam misi pencarian lauk-pauk dan kuih-muih untuk berbuka pada hari-hari tersebut.
Lebih rakus adalah apabila kita pergi ke pasar juadah bersama rakan taulan, sanak-saudara, adik, kak long, abang usu, mama dan papa, tok nek, jiran dan sebagainya, yang mempunyai pelbagai selera yang berlainan. Jadi apabila seseorang ingin membeli sesuatu (dan mulanya anda tiada niat untuk membeli), anda akan rasa terpengaruh dengan bau makanan itu (dan membayangkan kelazatannya di dalam minda) dan akhirnya menyerah kalah dan membeli sebungkus. Ish, ish. Apakah semua ini?! Pasar juadah ini semua propaganda semata!! (ehem)
Dan rentetan itu, waima Pasar juadah di Malaysia ini adalah yang terbaik di dunia sekali pun, jangan disangkal bahawa apa yang penting, tujuan kita berpuasa. Ini bukanlah sekadar picisan, malahan berpuasa ini bersebab, dan darsa warsa ini, kita semakin mengambil remeh akan hal ini. Berpuasalah dengan ikhlas, semoga saya juga mengambil iktibar. Sekian.
Selamat berpuasa dan beramal kepada semua umat Islam :)
1 comment:
makan. jgn buang sudahlah
Post a Comment