My World

My World
Showing posts with label Info. Show all posts
Showing posts with label Info. Show all posts

Tuesday, November 30, 2010

Sakit perut tanda kanser perut


Aku tertarik dengan info kesihatan kat paper utusan ni..

Berjaga-jagalah kalau kita sakit perut..cepat-cepat pi klinik untuk rawatan lebih lanjut..ni pesanan untuk aku sendiri jugak..sebab aku ni pemalas jugak nak pegi klinik..heheh..

Gambar menunjukkan kanser perut. - Gambar hiasan

SAKIT perut jangan diambil mudah. Mungkin ramai daripada kita bila sakit perut anggap ia tidak serius dan biar hilang sendiri.

Kalau berubat pun memadai dengan menyapu minyak angin atau ambil ubat gastrik.

Tetapi hakikat yang perlu disedari ialah ia mungkin sebahagian daripada petanda awal kanser perut. Ini merupakan kanser ketujuh paling lazim dialami oleh lelaki dan kesepuluh paling lazim bagi wanita di Malaysia.

Berdasarkan statistik, kes kanser perut di negara ini telah meningkat berkali ganda sejak.

Statistik 2006 oleh Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61. 7 peratus daripada pesakit kanser perut. Ini diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).

Pakar Perunding Gasteorologi Hospital Pusat Kanser Kebangsaan Tokyo, Jepun, Dr. Tekeshi Sano berkata, ramai tersalah anggap mengenai sakit perut sebagai masalah kesakitan biasa ekoran tersilap makan atau terlambat makan.

''Keadaan tersebut sekiranya dibiarkan berlarutan, ia akan memberikan kesan sehingga membawa maut,''katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Dr. Sano, jika seseorang mengalami sakit perut lebih daripada dua kali seminggu secara berterusan ia kemungkinan mereka diserang kanser perut.

''Pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti atau mengesan kanser pada pesakit.

"Walaupun tidak ada gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser perut, namun penyakit ini boleh menyerang tanpa

sebarang tanda.

''Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian,'' ujar beliau.

Jelas beliau, melalui teknologi moden, kanser perut boleh dikesan tanpa perlu membuat pembedahan dan juga cepat.

''Kanser perut ini boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke dalam perut menerusi mulut ataupun dubur.

''Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa. Contoh tisu di tempat-tempat yang disyaki akan diambil untuk menentukan kehadiran sel barah itu,'' ujarnya.

Proses itu tidak menyakitkan kerana pesakit akan diberikan dos pelali terlebih dahulu.

Bagaimanapun, terdapat juga yang membuat secara terangan di mana satu alat sebesar jari kelingking akan dimasukkan melalui mulut.

Katanya, mereka yang menjalani rawatan tersebut dikenakan caj yang minimum kerana ada subsi kerajaan.

Kata Dr. Sano, sekiranya terdapat sel yang menyebabkan kanser dan masih di peringkat awal, pembedahan tidak perlu di lakukan.

''Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskop, bagaimanapun sekiranya berada di tahap yang serius pembedahan susulan akan dilakukan bagi mengelakkan keadaan semakin kritikal", kata beliau lagi.

Malah jangka masa untuk membuat rawatan itu juga tidak terlalu lama iaitu selama 10 hingga 20 minit.

Bagaimanapun sekiranya pesakit berada ditahap yang kritikal iaitu peringkat tiga dan empat ia mungkin sukar untuk dirawat.

''Rawatan bagi mereka ini lebih kepada radioterapi ataupun kemoterapi. Jalani pemeriksaan awal kerana ia boleh dikawal secepat mungkin," katanya.

Cara mengawal kanser perut

- Amalkan tabiat pemakanan yang sihat. Apa yang anda makan dan cara makan amat penting. Makanlah secara sederhana, pada waktu yang ditetapkan dan makanlah dengan tenang.

- Kekalkan berat badan yang sihat. Masalah pencernaan boleh terjadi tidak kira berapa berat badan anda. Tetapi, pedih hulu hati, kembung dan sembelit lebih ketara di kalangan mereka yang terlebih berat badan.

- Senaman aerobik yang meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung juga merangsang aktiviti otot-otot usus, membantu untuk membuang sisa-sisa makanan melalui usus anda dengan lebih cepat. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti aerobik setiap hari.

- Kawal tekanan. Tekanan akan meningkatkan risiko anda menghidap sakit jantung dan strok, melemahkan sistem ketahanan anda dan boleh mencetus atau memburukkan lagi masalah kulit yang dialami. Ia juga meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan sistem pencernaan.

- Disebabkan tekanan merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan bagi kebanyakan orang, cara terbaik adalah mengawalnya dengan berkesan.

- Salah satu langkah paling mudah dilakukan ialah dengan mengamalkan diet berkhasiat, dapatkan rehat secukupnya, lakukan senaman dan rehat dengan cara-cara yang menyihatkan. Jika anda bermasalah untuk berehat, anda boleh mengambil meditasi, yoga atau tai chi.

Wednesday, October 6, 2010

Lima Bentuk Keganasan...

Tetiba lak cerita pasal keganasan..haha..aku dok tengok utusan online..pastu terbaca tentang artikel ni..aku pon tertarik untuk share ngan korang..so aku pon letak la kat blog aku ni..

Keganasan dalam artikel ni lebih kepada keganasan terhadap wanita...sesuai untuk yang dah kawen..tapi takpala, yang tak kawen lagi pon kena tau jugak pasal ni..oleh itu, wahai wanita-wanita sekalian (termasukla aku), keganasan kat kita ni bukan ja dari segi fizikal..tapi orang boleh aniaya kita dalam pelbagai cara..seperti yang aku senaraikan kat bawah ni..

  • Keganasan fizikal

Antara contoh keganasan fizikal ialah tindakan lelaki memukul, menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang, membaling barang, menggunakan senjata dalam tindakan dan sebagainya.

Selain itu tindakan suami atau lelaki yang menghalang isteri atau mana-mana wanita daripada mendapatkan keperluan asas manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat perlindungan juga dianggap perlakuan di bawah kategori keganasan fizikal ini.

  • Keganasan psikologi/emosi

Secara umumnya, ramai wanita tidak menyedari bahawa keganasan berbentuk psikologi atau emosi ini lebih mendatangkan impak yang mendalam dalam kehidupan mereka.

Tindakan lelaki yang berbentuk ugutan, penghinaan, menjatuhkan maruah wanita atau isteri boleh membahayakan nilai harga diri dan perasaan wanita yang akhirnya akan hidup dalam suasana 'berendam air mata'.

Perlu ditekankan dalam Islam, menyebabkan darar syarie (kecelakaan pada tubuh badan isteri), yang boleh menjadi alasan perceraian, adalah juga mencakupi aspek kecelakaan berbentuk psikologi atau emosi ini.

  • Keganasan seksual

Memandangkan isu-isu berbentuk seksual adalah sesuatu yang tabu (terlarang) dalam masyarakat kita, ramai juga mangsa di kalangan wanita berasa malu ingin menzahirkan hakikat bahawa mereka telah diganasi melalui perlakuan atau tindakan berbentuk seksual yang ganas.

Ada juga persepsi di kalangan wanita mengatakan bahawa perkara tersebut adalah hak seorang suami dalam perkahwinan dan sang isteri mestilah tunduk menurutinya.

Antara contoh perlakuan, suami atau lelaki memaksa isteri atau wanita melakukan atau melihat sesuatu berbentuk seksual tanpa kemahuan wanita tersebut.

Selain itu segala bentuk perlakuan suami yang menyakiti isteri ketika melakukan hubungan seksual juga dikategorikan sebagai keganasan seksual yang termasuk perlakuan liwat, memasukkan sebarang objek ke dalam kemaluan isteri dan lain-lain.

  • Keganasan sosial

Keganasan atau penganiayaan berbentuk sosial ini juga sering berlaku tanpa disedari kaum wanita, terutama mereka yang telah dikaburi dengan pemahaman agama yang tidak tepat berkenaan hak suami dan isteri dalam rumah tangga.

Keganasan berbentuk sosial ini boleh berlaku apabila Isteri atau wanita itu sering didorong untuk bergantung bulat-bulat kepada suaminya.

Sifat kebergantungan antara suami isteri adalah sifat yang mulia yang seharusnya diterapkan dalam kehidupan berumah tangga.

Namun jika kebergantungan ini didorong oleh sikap untuk memeras dan menindas hak seseorang wanita, ia adalah satu tindakan yang salah dan menyalahi hukum syarak sendiri.

  • Keganasan kewangan

Keganasan aspek ini boleh berlaku apabila seseorang wanita itu dihalang daripada mencari pekerjaan dan juga dinafikan hak nafkah yang mana adalah mutlak milik isteri dalam perkahwinan.

Ada juga banyak kes yang mana isteri itu tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank atau menyimpan wang pendapatannya sendiri, ini menyebabkan seorang wanita bergantung sepenuhnya kepada suami walaupun keperluan asas beliau.

Justeru, berdasarkan penjelasan yang diberikan di atas, keganasan terhadap wanita itu adalah perbuatan yang menganiayai wanita dalam pelbagai cara, bukan hanya semata-mata fizikal, yang semua lapisan masyarakat perlu akur dan menerima bahawa ia tidak boleh diterima sebagai satu daripada cara hidup dalam rumah tangga masyarakat yang bertamadun.

Segeralah cari pertolongan, laporkan kepada pihak berkuasa dan hentikanlah kitaran keganasan yang telah, sedang atau yang akan berlaku dalam rumah kita sendiri. Mendiamkan diri bermakna kita menerima perlakuan jenayah yang berlaku, dan ingat jika ini berlaku tidak mustahil ia boleh berlaku dalam rumahtangga kita sendiri.

Ingat, perkahwinan, percintaan dan kasih sayang itu tidak boleh dan tidak sepatutnya disulami dengan keganasan dan penindasan.


Bahana letak komputer riba atas paha..

Ni aku nak share info berguna dengan korang-korang semua...aku tengok kat kosmo online...mari kita hayati info ini bersama-sama.. :P

CHICAGO - Pengguna-pengguna yang suka meletakkan komputer riba di atas paha mungkin perlu memikirkan semula tabiat itu kerana ia boleh mengakibatkan sindrom kulit terbakar, menurut sebuah kumpulan penyelidik dari Switzerland dalam satu artikel yang disiarkan oleh jurnal Pediatrics semalam.

Sindrom itu menyebabkan warna kulit tidak sekata dan berbintik-bintik ekoran terdedah pada bahang panas dalam tempoh yang lama.

Dalam satu kes terbaru, seorang budak lelaki berusia 12 tahun mengalami simptom tersebut di paha kiri selepas dia bermain permainan video beberapa jam sehari dalam tempoh beberapa bulan.

Kes lain turut melibatkan seorang pelajar jurusan undang-undang dari Virginia, Amerika Syarikat (AS) yang terpaksa mendapatkan rawatan setelah kakinya mengalami masalah sama.

Dr. Kimberley Salkey yang merawat pelajar tersebut terkejut apabila mengetahui dia menyiapkan tugasan dengan menggunakan komputer riba yang diletakkan di atas pahanya selama enam jam sehari.

GAMBAR yang disiarkan dalam jurnal Pediatrics menunjukkan paha kiri seorang budak lelaki 12 tahun berwarna kemerah-merahan seperti melecur akibat meletakkan komputer riba di atas pahanya.

Suhu di bahagian bawah komputer itu boleh mencecah 52 darjah Celsius.

Ia merupakan salah satu daripada sepuluh kes berkaitan komputer riba yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal perubatan sejak 2007.

Walaupun secara umumnya tidak berbahaya, ia bagaimanapun boleh mengakibatkan kulit menjadi gelap secara kekal.

Menurut Dr. Andreas Arnold dan Peter Itin dari Hospital Universiti Basel, kerosakan kulit itu boleh menyebabkan kanser kulit.

Sebelum ini, sindrom itu berlaku dalam kalangan pekerja yang terpaksa berada dekat dengan haba panas seperti pembuat roti dan peniup kaca.

**so kita kena la amik iktibar atas apa yg berlaku ni ye...janganla letak laptop korang atas riba korang..letak kt atas meja ke lantai ke, kecuali paha..sayangi lah paha anda...lebih baik kita elak daripada kita merawat di kemudian hari...berguna kan info saya ni..hehe...ok da...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...