 |
Wherever I lay my hat,
that's my home
- Kata Paul Young |
Bila aku melalui kampung Telaga Putat di Terengganu, aku terfikir pernahkah seorang budak yang dipanggil Putat telah membuat jasa di sini dengan menggali sebuah telaga yang akhirnya dapat digunakan oleh seluruh penduduk kampung?
Aku tahu nama Guchil kampung aku di Kelantan adalah sempena nama pokok guchil yang buahnya sebesar manik dan rasanya masam-masam manis.
Nama Beaufort di Sabah mungkin digunakan untuk mengubati hati terlara kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran ke luar negeri kerana tidak credit Bahasa Malaysia.
Nilam Puri bagi aku adalah nama yang paling indah dalam Malaysia yang menempatkan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Kampung Aur Cina, Pasir Mas adalah tempat aku bertemu jodoh. Di situ yang ada hanya aur, Cina tak ada seorang pun di situ. Yang berwajah iras-iras Cina adalah. Yang iras Kajol pun ada.
Batu Buruk mungkin hanyalah kata-kata penyair yang kedapatan di situ yang frust dengan harga sotong celup tepung yang naik mendadak atau mungkin juga gelaran penduduk untuk ketua kampung mereka yang ada masalah kelelakian.
Pengkalan Chepa tempat aku mengenal kehidupan di MRSM KB dahulu menggambarkan sebuah pengkalan yang mungkin diasaskan oleh seorang yang bernama Mustafa yang kebiasaannya dipanggil Che Pa. Dekat Pantai Sabak di sinilah menjadi pengkalan pendaratan tentera Jepun semasa menjajah Malaysia. Di sini juga terletaknya Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
Taman Temiang Jaya pernah aku diami semasa berintensif Bahasa Inggeris di Kolej Negeri, Negeri Sembilan. Ianya berdekatan Taman Rasyidah Utama yang menjadi tajuk lagu popular Wings yang menjadi teman study aku untuk menghadapi SPM.
Taman Shamelin Perkasa, Cheras adalah tempat aku mengambil A-Level. Shamelin, aku pernah diberitahu adalah Syarikat Melayu Insaf yang diasaskan untuk mengumpul kuasa beli orang Melayu. Wallahu a'lam. Err... Perkasa tu tiada kaitan dengan Ibrahim Ali pada masa itu.
Bath, Avon tempat aku belajar dahulu bukanlah kerana orang di situ suka menggunakan barangan Avon semasa mandi. Di situ banyak kolam air panas dahulu, hinggakan hentian keretapinya dinamakan Bath Spa. Lagi ada Roman Bath yang popular yang dibina oleh penakluk Rom zaman dahulu. Avon itu adalah nama county atau jajahan di situ. Mungkin pengasas produk Avon adalah anak jati di situ.
Setelah bekerja, aku pernah merempat di Bandar Tasek Selatan yang pernah menjadi tajuk lagu dendangan Kumpulan Olan yang aku tak pernah minat kerana lagunya yang bagiku berlendir-taber. (Di Malaysia, kebanyakan orang terpaksa merempat di awal kerjayanya. Kenapa?)
Sembrong di Johor aku tak pernah kenal, tetapi namanya ... Ahhh...kalau aku komen nanti orang di situ marahkan aku pulak. Yang aku tahu ahli parlimennya adalah Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn.
Sauk di Perak popular dengan tragedi Al-Maunah lama dahulu. Jika kita dari Kelantan ke Ipoh, kita akan melalui pekan Kuak, Sauk dan Kati. Ada orang Perak bilang, ianya menggambarkan orang kampung yang mencari rezeki di sungai dan bendang. Kuak dulu semak-samun, sauk, dapat ikan, kemudian timbang kati untuk jual.
Di Perak juga sebelah utaranya ada Larut, Matang, Selama. Maknanya sama sahaja. Menggambarkan masa yang lama, kematangan, forever. Tak ada kena mengena dengan motto Umno dulu, kini dan selamanya. Ahli Parlimen Pas yang pertama dahulu bertanding dekat-dekat sinilah. Perempuan lagi!
Kota Sarang Semut di Kedah namanya begitu unik. Menggambarkan impian kanak-kanak dan fiksyen seorang marhaen.
Nama Tongod, Moynod, Sukau, Paitan, Bundu Tuhan, Bundusan, Tamparuli, Leepang mungkin ada maknanya yang tersendiri dalam bahasa Kadazan atau Dusun atau Bajau.
Jeroco bukan hanya berada di Israel, tetapi di 80km off-road Lahad Datu-Sandakan. Jalan tanah merah berbatu kerikil. Kalau hujan tersangkutlah di situ. Jauh dan ulu pun, ada juga cikgu terutama ustaz dari Kelantan mengajar di situ.
Satu nama yang aku suka ialah Kota Samarahan, sebab ia berbunyi seakan-akan Samarkand.
Pantai Remis di Perak bukanlah kawasan pantai untuk berkelah. Ianya nama pekan lama yang sesuai untuk Pengarah Filem Mamat Khalid buat cerita zombie dan hantu yang seterusnya.
Kunak berdekatan Madai yang berada di antara Lahad Datu dan Tawau tiada kena mengena dengan kerabat istana Kelantan samada yang masih hidup atau yang telah mati.
Semporna, gateway to Sipadan tidaklah sesempurna mana. Shafie Afdal perlu tumpukan kawasan dia ni dulu sebelum ke hulu-ke hilir tak tentu kalu dengan mulut mengondem pentadbiran orang lain.
Kinabatangan semestinya berkait rapat dengan Sungai Kinabatangan di Sabah. Di sini didiami ramai orang etnik Sungai yang mengikut bancian rambang aku, kaum wanitanya adalah antara yang tercantik di Sabah. Yang lelaki adalah sekacak Bung Mokhtar Radin.
Chendering tempat aku tinggal sekarang, adakah ianya pernah tersohor dengan penjual chendol berambut kerinting yang kurus kering?
Banyak lagi nama tempat yang semuanya ada kelebihan dan cerita tersendiri. Andalah yang mengulasnya sendiri. Sekian.