Recent Posts

Search This Blog

Showing posts with label Resipi. Show all posts
Showing posts with label Resipi. Show all posts

Tuesday, 7 June 2016

Resipi Nasi Goreng Sardin

(Gambar Hiasan dari Majalah RASA)

ASSALAMU'ALAIKUM

Dah masuk hari kedua kita berpuasa tahun ni. Baru nak tunjukkan muka di blog ye. Almaklum kesibukan dengan kerja hakiki siang malam, pagi petang, Ahad sampai ke Ahad haa...kalah abang Bangalore. Apa nak buat kata orang 'demi sesuap nasi, seliter petrol' zaman sekarang ni kan...

Meh sini aku kongsi resipi Nasi Goreng Sardin merangkap menu sahur aku untuk 1 Ramadhan, kiranya menu sahur semalamlah kan..

BAHAN-BAHAN:

1. 1-2 cawan nasi sejuk
2. 2 ekor ikan sardin (Ikan Sardin jenama Marina)
3. 1-2 sudu cili mesin/cili kisar
4. Sayur lobak merah atau apa-apa jenis sayur yang anda suka
5. Cili padi/cili burung (boleh dipotong/ditumbuk)
6. 1-2 sudu sos ikan
7. 1-3 sudu sos tiram
8. 1 sudu kecil serbuk ayam Knorr
9. Lada sulah secukup rasa
10. Garam secukup rasa (terpulang kalau lebih sos ikan tadi, tak perlu garam lagi)
11. 1-2 sos cili (ganti gula)
12. Bawang putih (dihiris)
13. Bawang merah (dihiris)
14. Kicap Jalen Manis
15. Minyak masak

CARA-CARANYA:

1. Tumiskan bawang merah dan bawang putih sehingga garing.
2. Masukkan 2 ekor ikan sardin tadi, digoreng sehingga garing.
3. Sementara ikan garing, boleh juga masukkan sayur-sayur yang keras terlebih dahulu.
4. Masukkan cili padi/burung yg dipotong, bersama cili mesin/kisar. Tumis sehingga naik minyak.
5. Masukkan sos tiram, sos ikan dan sos cili.
6. Masukkan lada sulah, serbuk ayam Knorr, dan kicap secukup rasa.
7. Sambil ditumis, sambil hancurkan sedikit ikan sardin yang digoreng tadi (tidak perlu terlalu hancur).
8. Masukkan nasi dan gaul rata bersama dengan sayur daun (jika ada).
9. Opsyen anda untuk pecahkan telur dan digaul lagi (aku prefer telur mata lembek digoreng asing).
10. Gaul rata sehingga masak dan boleh dihidangkan.


SELAMAT MENCUBA!!!

Monday, 22 February 2016

Resipi Kek Savannah Cocoa Kukus


ASSALAMU'ALAIKUM

Gambar hiasan yang tak begitu menarik kali ni ya...
Almaklum kamera cikai ditambah pulak tuan punya telefon pun tak profesional...
Hahahaha...

Mari berkongsi resipi hasil cubaan kali ke-3 aku buat kek kukus...tapi cubaan kali ke-3 ni pun setelah cuba setahun sekali ja ya...bukan setiap hari hahaha...
So, jangan terasa kagum sangat sebab aku memang tak pandai baking. Tapi Alhamdulillah kali ni menjadi la jugak...tak keras tak kering macam selalu tapi masih perlukan improvement...orang cakap better than nothing hahahaha...

BAHAN-BAHAN:

Bahan A
1. 1 cawan Savannah Cocoa
2. 1 cawan susu cair
3. 1 1/2 cawan gula (aku lebihkan gula sikit sebab tak nak guna susu pekat)
4. 1 cawan minyak masak
5. 1/2 cawan susu pekat (tapi aku tak letak sebab tak suka kek yang terlalu manis)

Bahan B
1. 3 biji telur
2. 1 sudu kecil esen vanila

Bahan C
1. 1 1/2 cawan tepung gandum
2. 1 sudu kecil soda bikarbonat
3. 1 sudu kecil baking powder
(Aku tak guna tepung gandum dan baking powder, aku ganti dengan tepung naik sendiri BlueKey)

CARA-CARA:
1. Bahan A dicampurkan dan dimasak di atas api yang kecil sehingga sebati. Tutup api.
2. Sejukkan Bahan A sekejap dan masukkan Bahan B dan kacau sebati.
3. Masukkan pula Bahan C dan kacau lagi.
4. Ditapiskan semua bancuhan sebelum dimasukkan ke dalam loyang yang telah disapukan mentega.
5. Panaskan pengukus terlebih dahulu, kemudian barulah masukkan loyang ke dalam pengukus.
6. Kukus adunan sehingga masak di atas api yang sederhana antara 30-45 minit sehingga masak.
7. Bolehlah taburkan Savannah Cocoa sebagai hiasan di atasnya ataupun boleh gunakan double boiled cooking chocolate sebagai topingnya. Ikut kreativiti masing-masing.

Selamat mencuba!



Saturday, 30 January 2016

Resipi Sambal Tumis Tanpa Belacan


ASSALAMU'ALAIKUM

Selamat pagi!
Baru perasan followers di blog ni makin berkurang. Mesti intipati tak begitu memuaskan, kan? Maaf ye pada semua sebab tahun lepas tak sempat nak update sangat blog nih. Biar menyepi tanpa tulisan bersawang habis. Tapi tak apa, akan di improve kan lagi lepas nih.

Apa-apapun aku nak share sikit resipi sambal tumis tanpa belacan. Selalunya yang dinamakan sambal tumis, tak sah kalau tak diletak belacan tapi untuk yang ada resdung atau sinus tak sesuai ambil belacan. Tapi nak makan sambal tumis juga ye kalau dah tekak orang melayu. Hehehe.

Ni resipi aku reka sendiri...

Bahan-Bahan:
1. Cili kering *direbus dan dikisar halus
2. Sedikit garam buluh *sebagai perasa kalau dah cukup perasanya tak perlu garam langsung
3. Sedikit gula tebu organik *sebagai perasa
4. Sedikit minyak masak *bahan menumis
5. Sedikit asam jawa (aku pakai asam jawa extra jenama Adabi)
6. Bawang merah atau bawang besar dihiris dan ditumbuk *dikisar pun boleh
7. Bawang putih dihiris dan ditumbuk *dikisar pun boleh
8. Sedikit serbuk ikan bilis Knorr *ganti belacan
9. Sedikit kicap lemak manis Jalen
10. Sedikit sos ikan

Cara-caranya:
1. Panaskan minyak masak.
2. Tumiskan bawang merah/besar & putih yang telah ditumbuk sehingga naik bau.
3. Masukkan beberapa sudu teh serbuk ikan bilis, sos ikan dan ditumis lagi sehingga keperangan dan naik bau lagi.
4. Masukkan cili kering yang telah direbus dan dikisar, tumis lagi sehingga naik minyak.
5. Diperasakan dengan asam jawa, kicap, garam/sos ikan & gula.
6. Didihkan sehingga sebati, cukup rasa boleh ditutup api.

*Untuk sambal ikan bilis/ikan/ayam, ikan bilis digoreng terlebih dahulu dan dicampur sekali sambal 8 minit sebelum dihidangkan untuk kekal rangup.
*Untuk sambal telur rebus pun, telur direbus dulu dan dicampur kemudian.
*Untuk sambal sotong/udang, sotong/udang dimasukkan akhir sekali dan dididihkan tapi tidak terlalu lama untuk elakkan sotong liat/keras.

Sekian resipi sambal tumis cara aku. Boleh diolah ikut citarasa masing-masing.
Selamat mencuba!

Friday, 22 August 2014

Resipi Spegeti Goreng Udang Pedas



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah kenyang makan pagi. Makan apa? Makan kuih je punnn...buat lapik perut sementara lapar balik lunch time nanti. Hehehe...

Beberapa hari lepas, aku dan encik suami kebosanan makan nasik untuk dinner. 
"Nak makan apa malam ni? Ada udang tu, dah keluarkan dah rendam air." Almaklum udang dah jadik macam batu. Beku dalam freezer kan?! 

"Hmmm...entah ek. Nak makan apa ye?"

"Spegeti goreng buh udang?!"

"Haaa macam menarik gak tu. Boleh lah!"

Maka dengan itu ber-dinner lah kami spegeti goreng malam tuu....

Bahan-bahannya:

1. Spegeti - untuk 2 orang makan
2. Cili mesin - 1 sudu besar sahaja
3. Udang 
4. Garam - secukup rasa
5. Gula - secukup rasa
6. Sos tiram 
7. Sos cili
8. Kicap lemak manis Jalen
9. Sayuran
10. Bawang putih - untuk menumis
11. Bawang merah - untuk menumis
12. Minyak zaitun 
13. Serbuk stok ayam
14. Serai - dititik

Cara memasak:

1. Rebuskan spegeti sehingga empuk (tidak terlalu empuk sebab nanti akan dimasak lagi semasa menggoreng). Jangan lupa masukkan sedikit minyak zaitun supaya spegeti tidak melekat selepas ditos.

2.  Setelah spegeti empuk. Perlu ditoskan diketepikan dahulu.

3. Tumiskan serai yang telah dititik, bawang putih dan merah sehingga naik wangi. Masukkan potongan lada benggala dan ditumiskan bersama bawang tadi.

4. Masukkan 1 sudu besar cili mesin dah masak sehingga naik minyak. Aku masukkan 1 sudu je sebab cili kering yang aku kisar sendiri tu tersangatlah membahang pedasnya. Kalau suka yang super pedas. Lebihkan cili mesinnya ye.

5. Setelah naik minyak, masukkan garam, gula, serbuk stok ayam, kicap lemak manis Jalen, sos cili dan sos tiram secukup rasa. Aku campak-campak je ye. Tak ada sukatan tetap. Sebab bergantung kepada kuantiti spegeti tu sendiri. Kalau rasa tak cukup silalah tambah.

6. Masukkan sayuran keras seperti lobak merah, lobak bunga dan brokoli bersama dengan udang. Kalau guna sayuran lembut seperti sawi jepun atau sebagainya, boleh dicampurkan dalam masakan akhir sekali ye. Untuk elakkan sayur terlalu layu.

7. Digaul sehingga sayur empuk dan udang nampak putih kemerahan kemudian dimasukkan spegeti yang telah direbus tadi.

8. Gaul lagi sehingga rata, tidak terlalu lama supaya manis udang tidak hilang. Siap dimasak, boleh dihidang.

Selamat mencuba!

Friday, 18 July 2014

Resipi Daging Dendeng

(Gambar Hiasan)

ASSALAMU'ALAIKUM

Ahad lepas balik cuti ke kampung sempena Nuzul Al-Quran, tengok dalam peti ada daging. Teringat daging dendeng yang colleague selalu buat. Terus mintak resipi dan cuba.

Resipi ni hasil pengubahsuaian aku sendiri setelah digabungkan dengan pelbagai resipi lain.
Resipi lain aku rujuk blog Kak Nor di Secubit Garam.


Bahan-Bahannya: 

1. Daging lembu yang dipotong kiub 2inci x 2inci (ikut kesesuaian memasing).
2. Serbuk jintan manis.
3. Serbuk jintan putih.
4. Garam.
5. Gula perang/gula melaka/gula pasir.
6. Serai dititik.
7. Cili mesin.
8. Kicap lemak manis/kicap pekat manis.
9. Bawang besar.
10. Bawang putih.
11. Daun limau purut.
12. Halia.
13. Minyak masak.
14. Bunga lawang.
15. Bunga cengkih.
16. Kulit kayu manis.

Cara-cara Memasak:

1. Bawang besar, bawang putih dan halia yang telah dimayang nipis, digoreng di dalam minyak masak sehingga garing dan naik bau wangi. Lagi banyak bawang lagi sedap. Setelah garing, diangkat,ditoskan dan diketepikan.

2. Boleh juga sesambil goreng bawang tadi, daging yang telah dipotong kiub direbus sehingga empuk. Simpan air rebusannya.

3. Setelah daging empuk, diangkat dan ditos, daging perlu dihiris nipis-nipis dan ditumbuk sikit bagi penyek. Perapkan bersama sedikit serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih lebih kurang 30 minit atau 1 jam.

4. Dengan menggunakan minyak gorengan bawang tadi, goreng daging rebus yang dah ditumbuk sehingga garing. Angkat dan tos.

5. Masih menggunakan kuali dan minyak yang sama, tumiskan bunga lawang, kulit kayu manis dan bunga cengkih bersama serai yang dah dititik sehingga naik bau wangi.

6. Masukkan cili mesin. Tumis sehingga naik minyak. Masukkan garam, gula secukup rasa dan kicap lemak manis/kicap pekat manis. Gaul sehingga rata.

7.  Masukkan air rebusan daging, renehkan sehingga pekat dan agak kering.
 
8. Masukkan daging yang telah digoreng tadi bersama dengan daun limau purut yang dikelar atau ramas.

9. Akhir sekali masukkan bawang yang telah digoreng tadi. Siap dan hidang!


Selamat mencuba!



Friday, 11 July 2014

Resipi Udang Tempura Oat


ASSALAMU'ALAIKUM

Selamat pagi...hari ni aku sampai office lambat. Alkisahnya aku terkeluar lewat dari rumah, hadap sesak lalulintas lagi padan la muka aku kan...sampai encik suami terpaksa drop aku dekat stresen LRT sebab dah terlewat sangat nak ke temuduga kerja.
Sampai ja office terus siapkan daily report. Alhamdulillah ni sempat juga update blog.

Menu berbuka aku dengan encik suami semalam. Aku masak yang simple ja asalkan kami puas makan dari pergi beli dekat bazar ramadhan tu yang rasa entah apa-apa. Huhuhu.

 Bahan-Bahannya:

1. Beberapa ekor udang bersaiz besar.
2. Tepung tempura serbaguna.
3. Oat.
4. Sebiji telur ayam.
5. Minyak untuk menggoreng.

Cara-cara memasak:

1. Basuh udang dengan sedikit garam supaya udang tu kekal rasa manis dan segar (TIps dari Food Network Channel Astro)
2. Celupkan udang satu per satu ke dalam telur ayam yang telah dikacau macam nak buat telur dadar tu kan.
3. Dicelup pula ke dalam tepung tempura serbaguna.
4. Dicelup semula ke dalam telur dan akhir sekali celup pula ke dalam mangkuk oat.
5. Goreng dengan cara deep fry.
6. Jangan terlalu lama sebab kita taknak hilang rasa kemanisan udang tu.
7. Siap. Angkat dan hidangkan!


Selamat Mencuba!!

Tuesday, 8 July 2014

Resipi Sambal Udang Serai

(Gambar Hiasan)

ASSALAMU'ALAIKUM

Selepas beberapa hari menghilang lepas marathon update blog sebelum ni, muncul dengan resipi pulak kali ni ye...

Buat berbuka malam semalam ni...memandangkan dah bosan asyik makan ayam ja kan.

Bahan-Bahan (Hidangan untuk 2 orang makan):

1. Beberapa ekor udang yang dibuang kepala dan tinggal ekornya sahaja
2. 2 batang serai dititik.
3. 2 sudu besar cili kisar/cili mesin.
4. 1 biji bawang besar.
5. 3-4 ulas bawang putih.
6. Serbuk stok ayam Knorr secukup rasa.
7. Garam secukup rasa.
8. Gula secukup rasa.
9. Minyak untuk menumis.
10. Sos tiram secukup rasa.
11. Air asam jawa secukup rasa.
12. Cili benggala atau capsicum.

Cara-cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang merah, bawang putih, serai dan cili benggala sehingga garing dan wangi.
2. Masukkan cili kisar/cili mesin, tumis lagi sehingga naik minyak.
3. Masukkan sedikit air sekiranya mahukan sedikit kuah, dan masak lagi sehingga cili betul-betul masak.
4. Masukkan garam, gula, sos tiram, serbuk stok ayam Knorr mengikut citarasa masing-masing.
5. Dibiarkan masak dan mendidih berbau wangi, masukkan sedikit perahan air asam jawa ataupun guna pes asam jawa tu pun boleh..lagi senang, toksah nak picit-picit cuma kena kurangkan sikit sukatannya dari kita cubit yang kena perah tu..sebab pes kan pekat.
6. Lepas tu, barulah dimasukkan udang yang telah dibersihkan.
7. Tidak perlu lama untuk mengelakkan overcooked nanti udang jadi keras dan kurang manis. Kemudian siap untuk dihidangkan!

*Gambar di atas hanya hiasan ja ye. Aku tak sempat snap dah habis dimakan. Hehehe. Tapi lebih kurang gitu la juga rupanya ada serai..udang mengerekot kepanasan. Hehehe.

Selamat Mencuba!

Friday, 21 March 2014

Resipi Nasi Sup


ASSALAMU'ALAIKUM

Alhamdulillah sempat juga snap gambar bubur anak bujang aku. Niat tu nak update entri pasal bubur nasi nasi sup ni dah lama tapi asyik terlupa nak snap.

Resipi ni sesuai untuk bayi: 
Umur 8-10 bulan dan ke atas
Kekerapan makan - sekali makan

BAHAN-BAHAN 

1 sudu beras biasa/beras perang (beras yang telah dikisar terlebih dahulu)
1-2 ulas bawang putih
1 ulas bawang merah
2 batang bunga cengkih
1-2 kelopak bunga lawang
1/2 biji kentang
1-2 inci lobak merah
2-3 inci batang sup/celery
beberapa potong isi ayam/ikan
1 sudu besar minyak zaitun
2 cawan air masak/biasa

CARA-CARA

Tumiskan hirisan bawang putih, bawang merah bersama bunga cengkih dan bunga lawang sampai naik bau wangi dengan menggunakan minyak zaitun.
Masukkan potongan isi ayam/ikan. Masak sehingga empuk dan naik bau wangi.
Masukkan potongan lobak merah, kentang.
Dimasak sebentar, masukkan 2 cawan air masak/biasa. Kalau perlu ditambah ikut keperluan masing-masing.
Masukkan beras yang telah dikisar tadi untuk mempercepatkan memasak beras perang.
Masak sampai menjadi bubur dan apabila hampir masak, masukkan potongan batang sup/celery tadi untuk menambahkan rasa dan bau sup.
Siap untuk sedia di makan!

Selamat Mencuba! :) 



Thursday, 13 February 2014

Resipi Puri Keledek

(Puri Keledek)

ASSALAMU'ALAIKUM

Puri keledek ungu ni, semisolid food kedua yang aku perkenalkan kepada Adam. Sebelum ni, aku kenalkan, puri kentang. Pun sama juga kaedah caranya dengan puri keledek ungu nih.

BAHAN-BAHANNYA:

1. Sebiji keledek ungu (lebih manis berbanding keledek oren, warna isi dalamnya tetap sama warna oren)
2. 1 sudu kecil mentega tanpa garam (unsalted butter)
3. Sedikit halia.

CARA-CARANYA:

1. Kupaskan keledek ungu dan potong kecil.
2. Stimkan di atas dapur atau hanya menggunakan rice cooker bersama dengan sedikit potongan halia untuk membuang ejen 'angin' di dalam keledek)
3. Setelah empuk, dibiarkan sejuk seketikan, dikisar sampai halus bersama dengan unsalted butter.
4. Siap dan boleh dihidangkan untuk dimakan.

P/S: Kenapa stim, tak rebus? Kalau rebus, khasiat yang terdapat di dalam keledek tersebut hilang bersama air rebusan. Stim lebih bagus.
Kenapa guna mentega tanpa garam? Mentega biasa tak boleh ke? Garam dan gula tidak sesuai diberi kepada bayi berumur 1 tahun ke bawah.

 
Selamat mencuba!

Wednesday, 6 November 2013

Resipi Bihun Goreng Pedas


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Hari ni sama-sama kita mencuci mata baca resipi yang aku reka ikut anak tekak lidah yang kadang-kadangpun ada masalah juga tapi sekadar mengisi masa lapang dan berkongsi kepada sesiapa yang teringin ubah angin makan makanan ikut resipi orang lain pula. Kotlah dah jemu makan masakan resipi sendiri ye tak? (Aku la tu mudah sangat jemu dengan masakan sendiri, maklumlah bukannya chef dapur yang kreatif mereka macam-macam mak nenek resipi ~ sedar diri! hahaha)

Bahan-bahannya:
  1. 1/4 bawang besar - dihiris (aku tak suka guna bawang merah yang kecil tu...hehe)
  2. 5 ulas bawang putih - diketuk, dihiris
  3. 1 biji tomato - dihiris atau didadu
  4. 1/2 batang lobak merah - diparut atau dihiris
  5. sedikit sawi hijau - dipotong kemas
  6. garam secukup rasa
  7. gula secukup rasa
  8. serbuk pati ayam Knorr secukup rasa
  9. Sedikit minyak untuk menumis
  10. 2 sudu besar sos tomato
  11. 1 sudu besar sos tiram
  12. 1 paket bihun
  13. hirisan isi ayam
  14. 3 sudu besar kicap lemak manis Jalen
  15. 3 sudu besar cili mesin (aku mesinkan cili kering yang telah direbus bersama sedikit minyak masak)

Cara-caranya:
  1. Tuangkan sedikit minyak untuk menumis ke dalam kuali. Tumiskan hirisan bawang besar dan bawang putih sampai naik bau. Sebelum garing, masukkan hirisan ayam, tumis sampai ayam masak.
  2. Masukkan cili mesin, tumis sampai naik minyak dan kemudian teruskan dengan menumis sayur (lobak merah, batang sawi, tomato) sehingga empuk. (TOMATO, aku masukkan awal sebab memang nak ia hancur bersama cili mesin. Tujuan untuk menambahkan rasa masam tomato tu ke dalam rencah selain dari sos tomato itu sendiri)
  3. Sementara tunggu sayur empuk, boleh masukkan gula,garam,serbuk pati ayam secukup rasa. Gaul rata dan masukkan pula sos tiram dan sos tomato.
  4. Setelah sebati dan cukup rasa, masukkan bihun yang telah direndam. Gaul rata bersama daun sawi. Daun sawi dimasukkan kemudian kerana untuk mengelakkan ia terlalu layu.
  5. Apabila bihun goreng anda hampir masak masukkan 3 sudu besar kicap lemak manis Jalen (aku guna kicap lemak manis sebab sos tiram dan kuantiti garam tadi sudah cukup memberi rasa masin dan akan memberi rasa lemak dan manis ke dalam bihun goreng selain daripada tambahan gula. Tambahan gula hanyalah untuk mengimbangi rasa pedas cili diawal masak tadi). Bergantung kepada individu, sekiranya tidak mahu terlalu gelap warnanya kurangkan sedikit kuantiti kicap anda.
  6. Gaul rata sampai masak dan bolehlah dihidangkan dimakan panas-panas seperti di gambar hiasan.

Selamat mencuba!!

Friday, 18 January 2013

Resipi Roti Gulung Sosej

(norhusny.blogspot.com)
ASSALAMU'ALAIKUM

Selamat pagi...
Semalam balik dari kerja, jalan sangatlah sesak, sampai rumah pun hampir Maghrib.
Walaupun rumah dengan pejabat dalam 10 minit kalau tak sesak, tapi tetap sampai lambat. Kalau rumah orang lain kat Klang nun, entah pukul berapa baru sampai rumah kan? Hmm..

Alih alih, menu makan malam aku dengan orang rumah cuma Roti Gulung Sosej Malas dengan naget je malam tadi. Masing masing kepenatan, nak makan apapun dah kurang selera, makan sebab risau perut masuk angin je.

Gambar di atas ehsan dari blog orang lain memandangkan malam tadi aku malas nak snap gambar. Rupanya begitu lebih kurang ye kawan kawan. Hehehehe. Aku backlink sekali blog beliau.

Resipi Roti Gulung Malas

BAHAN-BAHANNYA:
 
1. 6 keping roti keping Gardenia (atau apa saja brand yang suka)
2. 1 biji telur ayam
3. Secubit garam
4. Secubit serbuk lada hitam
5. 6 batang sosej ayam/daging
6. Minyak untuk menggoreng.

CARA-CARANYA:

1. Celur sosej tadi ke dalam air mendidih beberapa minit sampai bertukar saiz menjadi kembang sedikit dari saiz asal.
2. Pecahkan telur ayam, masukkan secubit serbuk lada hitam dan garam dan kacau lagi.

3. Lenyek dan nipiskan roti keping dan gulungkan sosej yang dicelur tadi kemas kemas.

4. Celupkan sosej yang digulung roti tadi ke dalam telur kemudian digorengkan ke dalam minyak yang panas sampai keperangan. Angkat dan hidang. Lapik dengan tisu dapur untuk hilangkan minyak terkumpul pada roti ye.

5. Makan bersama sos cili dan mayonis. Sedap dan kenyang! Alhamdulillah.

*Nak lagi sedap, gulungkan sekali dengan sekeping keju setiap gulungan roti tadi. Tapi disebabkan aku malas nak pegi beli kat kedai runcit, aku guna bahan apa ada jelah kat dapur tu. Hehehe.

Wednesday, 16 January 2013

Resipi Mee Hailam

ASSALAMU'ALAIKUM

Selamat pagi semua....
Pagi hari lagi aku dah buang tebiat meng-Google resipi stok ayam.
Hahahaha...puncanya sebab malam tadi..niat di hati nak buat Mee Goreng Basah sekali terjadi Mee Hailam gara gara aku masukkan sekali kuah sup ayam a.k.a stok ayam.

Gambar mintak maaf tak dapat nak upload sebab aku terlupa nak bawak cable phone hari ni. Gambar ada dalam phone. Hehehe. Tapi kalau Google Mee Hailam, gitulah jugak rupa Mee Hailam yang terlanjur malam tadi cuma tanpa isi ayam. Hehehe.

(Gambar Hiasan dari Nureen Blogspot)
Resipi Mee Hailam Terlanjur

Hidangan untuk 2 orang makan.

BAHAN-BAHANNYA:

1. 4 ulas bawang putih*
2. 1/2 bawang besar*
* ditumbuk dan aku memang suka guna bawang besar sebab malas nak mengupas bawang merah yang kecik kecik tu.

3. 1 paket perencah Nasi Goreng Adabi (taknak guna ni pun boleh, guna cili kisar semata)
4. 1 sudu cili kisar (aku rebus cili kering potong dan dikisar bersama tomato dan bawang besar -  stok sedia ada dalam peti ais)

5. Sayur sayuran (sawi, kobis, lobak merah yang diracik ikut suka hati)
6. Kek ikan (fishcake)
7. Bebola ikan (fishball)
8. 1 sudu sos tiram
9. 2 sudu sos tomato
10. 2 sudu sos cili
11. Garam secukup rasa
12. Gula secukup rasa
13. 2 senduk kecil stok ayam (ikut selera masing masing nak berkuah banyak mana)
14. 1 paket mee kuning (boleh juga diganti dengan spegeti bagi yang tidak suka mee kuning)

 CARA-CARANYA:

1. Tumiskan bawang putih dan bawang besar yang ditumbuk sehingga garing.
2. Masukkan 1 paket perencah Nasi Goreng Adabi/1 sudu cili kisar sehingga naik minyak.
3. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili serta garam dan gula secukup rasa.
4. Masukkan bebola ikan dan kek ikan sampai agak empuk dan campakkan sekali sayur sayuran yang keras dahulu supaya daunnya bahagian yang lembut tak terlalu layu.

5. Rasakan masin, masam, manisnya kemudian masukkan mee.
6. Kacau lagi dan masukkan pula stok ayam mengikut citarasa masing masing.
7. Kacau lagi sampai masak, angkat dan hidangkan panas panas.

*Boleh juga ditambahkan dengan udang/isi ayam/daging atau sotong mengikut selera. Aku tak letak sebab malas. Hahahaha.

Daisypath Friendship tickers