Tuesday, December 30, 2008

Di Ambang Dua Ribu Sembilan



...

Lusa.

Sudah masuk dua ribu sembilan.

Imbas-imbasan, apa yang telah dua ribu lapan tinggalkan.

Satu, rokok.
Dua, rokok.
Tiga, rokok.
Empat dan seterusnya, rokok.

Dua ribu lapan juga telah menemukan aku dengan diri aku sendiri. Apa yang dicari, apa yang perlu ditingkatkan lagi.

Rencah-rencah kehidupan dalam tahun dua ribu lapan yang bermula dengan penuh kekalutan, penuh dengan pergerakan mencari ruang akhirnya berkesudahan dengan damai dan tenang.

Kebetulan, tahun baru masihi dan tahun baru hijrah hanya berselang dua hari.Semoga apa yang direncanakan dan apa yang dirancangkan akan berjalan selari dengan ketentuan Ilahi. InsyaAllah.

Di ruangan ini, aku ingin mengucapkan selamat. Kepada semua yang merehatkan titik tumpu mereka di blog ini. Semoga anda semua diberkati.

Dua ribu lapan
aku tinggalkan kenangan
Semoga dua ribu sembilan
membawa lebih amalan

~Po.

Tuesday, December 23, 2008

Cerita Che'...


...

Kami panggil mak dengan panggilan Cik atau Che'.

Macam kebanyakan orang di daerah sini.

...

Malam tadi. Sedang menidurkan budak-budak dua orang itu lagi. Cuti sekolah, bangunnya lambat, tidurnya lambat juga. Dua orang itu tidur dalam bilik utama, bersama kami.

Lambat pulak lenanya.

...

'Bah!..cerita lah'

Nak cerita apa? Takkan nak cerita Harry Potter dan kayu magiknya?

Aku tiba-tiba teringat.

Dulu.

Berpuluh-puluh tahun dulu.

...

'Che'..cerita la apa-apa pun..'

'Nak cerita apa?' Che' tanya.

'Apa-apa la..'

'..cerita ceritut..tahi mata besar lutut' Che' kata.

Biasanya itu sahaja yang Che' cerita sebelum aku tidur.Che' pun bukan banyak sangat cerita yang dihafalnya.

...

Sekali-sekala.

Che' akan cerita tentang Tiga Awang.

Awang Punggung Tajam

Awang Telinga Lebar

Awang Tahi Mata.

Ketiga-tiga Awang belayar dengan perahu menuju ke negeri jauh. Mahu berniaga kata mereka. Perjalanan yang maha jauh dan perlahan-lahan mereka berkayuh.

Bila lama belayar, Awang Punggung Tajam merasa lenguh akibat berdiri terlalu lama. Lalu dia duduk di atas lantai perahu. Oleh kerana punggungnya yang tajam, perahu pun bocor.

Air membuak-buak masuk.

Perahu pun hampir karam.

Hampir panik. Awang Tahi mata mendapat idea. Dikautnya tahi mata dan ditampal pada tempat yang bocor.

Perahu selamat.Perjalanan masih jauh. Tangan sudah lenguh berkayuh.

Awang Telinga Lebar mendapat idea juga. Ditariknya kedua cuping telinga dan menjadi layar yang lebar.

Ketiga-tiga Awang pun terus belayar.

Habis cerita. Che' kata.

...

Ok.

Abah nak cerita kisah Tiga Awang.

Mereka bersorak riang.

...

Mereka tidur bermimpikan ketiga-tiga Awang yang belayar di laut lepas dan mengufuk menuju matahari jatuh.

...


~Po.

Monday, December 15, 2008

Calar Balar



Ok

Sapa yang calarkan kereta aku.

Angkat tangan!

Ok Po...

Muhasabah.

Things happened for a reason
sebab kita ini jarang bersyukur.

~Po.

Sunday, December 14, 2008

Luruh....



Dulu.
Semasa kami melawat tapak rumah kami. Pemaju bertanya :-

'Kebetulan, pokok cempedak itu betul-betul berada di penjuru pagar. Mahu kekalkan ia di situ atau mahu ditebang?'

Kekalkan. kata kami.

Dan ia terus kekal di situ. Bertahun-tahun. Di sudut pagar itu. Berbuah dua kali sepanjang tahun dan buah-buahnya bergantungan sarat memenuhi batang sehingga ke julai dahan.

Mua-mula dulu. Aku sanggup ke Sungai Tong, hanya untuk membeli 'sarang' buah cempedak yang diikat dengan daun kelapa sawit. Lima Ringgit untuk lima puluh buah 'sarang'.

Dulu.

Aku bersusahan membaluti buah-buahnya agar selamat dari serangan serangga dan musang.

Dan isi.
Manis tidak terperi.




Hari ke sehari. Kami sibuk dengan urusan seharian.

Rumput pun kadang-kadang memanjang.

Dan dahan-dahannya pun semakin menjulang. Ada yang aku pangkas buang dan ada yang aku biarkan.

Dan buah-buahnya berguguran.

Kebanyakannya di makan musang.

Berkaparan di bawah rimbunan.



Baru-baru ini, dua tiga minggu yang lalu ini.

Hujan lebat berhari-hari tanpa henti.

Ia tidak kami peduli.

dan, pabila hujan berhenti dan matahari memancarkan sekelumit cahaya yang masih lagi tidak seterik di bulan Februari.

Kami melihat dia menggugurkan daun-daunnya.

Luruh.

Sehelai demi sehelai.

Menunggu saat ianya mati.




Seorang jiran berhenti. Bertanya dan berkata ;

'mungkin ia terasa hati, selama ini ia berbakti dan anda langsung tidak peduli...'

Dalam redup.

Aku melihat ranting-rantingnya yang kian lusuh dari lembayung petang yang teduh.

Maafkan kami.

Maafkan aku.

~po.

Thursday, December 11, 2008

Kami Datang KepadaMu...


...

Petang kelmarin.

Dalam kereta. Menunggu lampu hijau di persimpangan.

Telefon bersel berbunyi.

'tit tit'

Aku biarkan dulu. Nanti berhenti aku akan baca. Kata hati.

Berhenti di tapak letak kereta. Menunggu orang rumah.

Aku buka pesanan bertulis di dalam telefon bersel.

"Dua kali kalimah Allah tertulis di langit Arafah semasa mengerjakan wukuf"

...

Pesanan dari seorang teman yang sedang mengerjakan Rukun Islam ke Lima.

SubhanAllah.

Maha suciMu Allah.

Maha BesarMu Allah.

...

...dan kami terdiam semasa pulang. Betapa kami mahu mengerjakan tuntutan.

...

Tuhan,
Jemputlah kami
Murahkanlah rezeki kami.

~po.

Sunday, December 07, 2008

Di Hari Aku Bertemu Abdullahjones...



Banjir mulai surut. Hujan cuma renyai.

Aku ke Kuantan dan bertemu. Abdullahjones.

Karya-karyanya.




Salam buat Tuan Pelukis.

..dan Salam Takziah buat Naga yang merasai kembalinya ibu (Mak Teh) ke pangkuan Tuhan.

Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Mak Teh dan ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman.


~Po. - dunia ini pinjam-pinjaman.