Thursday, May 25, 2006

Aku Tahu…

…



Aku tahu bagaimana rasa desis angin yang berhembus
Aku tahu bagaimana gemersiknya alunan kicau burung mendayu merdu
Aku tahu, tak perlu kau ingatkan aku.

Aku tahu merasai pahit hempedu
Aku tahu merasai manisnya madu
Aku tahu menjamah sejuk gebu sutera dan baldu

Aku tahu wangian kembang mekar di taman
Aku tahu damai aroma rerumput yang basah setelah hujan

Tak perlu kau bersusah payah memberitahu.

Aku tahu.

Aku juga tahu, hidup ini lebih dari itu.

Cerita kita hanya sama setakat itu.

Aku tahu.

Dunia kita ini terlalu indah lagi menawan
Jalur-jalur pelangi merentang langit dengan warna-warna yang terang
Warna-warna dunia selain hitam

Biru langit putihnya awan
Hijau gunung diselaputi kabus berbalam

Kilau-kilau berlian di hamparan lautan tatkala mentari terbenam
Sawah bendang hijau terbentang

Garis warna kehidupan yang tak pernah aku saksikan
Malah, lengkung lengkuk wajahmu hanya dapat aku gambarkan

Kau tidak tahu.

Walau dengan mata hati, aku juga mampu merasai.
Walau dengan sentuhan jari jemari, aku juga dapat memerhati.

Aku menerima hakikat hidup ini
Aku pasrah ketentuan Ilahi

Aku tak perlukan simpati
Aku tak perlukan kau untuk memahami

Cuma,

Jangan sesekali kau menghina manusia seperti kami
Kami juga penghuni dunia ini

Biarkan kami melangkah
Biarkan kami rebah
Itu tandanya kami tidak hanya bersimpuh berserah.

Aku tahu,
Kau tak mungkin akan tahu
Melihat dunia dari sudut gelap ini.


~Po

Sunday, May 14, 2006

Kadang-kadang Ia Hilang bersama Mentari Pagi

…

Aku termenung jauh di warung itu. Angin membelai mesra tetapi kehangatan di dalam udara tetap terasa.Petang yang damai tidak berjaya menjadikan aku santai.

Fikiran aku sedang membuat kira-kira.Berkecamuk dan langsung tidak teruja.

Lima ratus ringgit terbang begitu sahaja.

Begitu sahaja.

Kos selenggara dan kos menggantikan bumper membuatkan aku tidak dapat berkata apa-apa.

Aku menjerit dan meraung menyesali tindakan aku yang aku anggap sebagai keputusan paling bodoh dalam millennium ini.

Aku betul-betul menyesal dan menyalahkan diri aku sendiri.

Semuanya salah aku. Bukan salah mereka.

Aku betul-betul tak tahu kenapa aku membuat keputusan yang jika di tanya kepada sesiapa pun jua, mereka pasti mentertawakan kebangangan aku.

Kau bangang! –pastinya jerit mereka.

Jika mampu ku ulang waktu, aku akan pasti membetulkan apa yang telah berlaku.

Nescafe panas aku hirup perlahan. Amat perlahan sambil otak aku berputar ligat mencari satu keputusan.

Hari ini, terbang lima ratus ringgit hanya untuk kos selenggara dan bumper. Esok lusa?

Bayu petang menghembus menyapa. Menyeka mengelus rambut dan bulu roma.Pandangan tak aku lepaskan dari renungan mata.

Terbongkang di hadapan aku. Sebuah lori pasir beroda lapan bercat merah dan putih.

Aku sedar dan akur dengan minat aku dengan kenderaan pacuan empat roda serta kelasakan ‘off-road’ yang membayangkan cabaran-cabaran yang mengujakan rasa.

Tapi, Lori pasir?

Aku beli lori pasir?

Aku meraung menyesali langkah bodoh keputusan aku sendiri.
Lori pasir?

Biar betul!

Aku menjual MPV aku dan membeli sebuah lori pasir?

Subuh tadi, aku terkebil-kebil melihat sekeliling bila dikejutkan oleh isteri.

Empat puluh minit selepas itu, Aku mendengar ngauman kenderaan aku dan aku mencium sterengnya!

Itulah igauan yang paling ngeri yang pernah aku mimpi sepanjang hayat ini.

~Po. Betul, aku tak tipu.

Wednesday, May 03, 2006

Maaf

...

Sorry, I'll be 'lost in space' for a while.

You hang on.

I'll be back.

A day, a month, a year...only time will tell.

~Po. I'm beginning to hate this PC.