Memaparkan catatan dengan label Bjork. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bjork. Papar semua catatan

Isnin, Ogos 21, 2017

Teater, Filem dan...

I
Filem biasa dibandingkan dengan teater dan saya boleh faham kenapa. Bila seseorang kata The Third Man (1949) bagus, saya boleh tonton filem itu sepertimana orang tadi tonton. Mungkin kualiti ruang dan medium sedikit berbeza, misalnya orang itu tonton dengan projeksi 35mm di panggung, dan saya tonton versi bluray dengan tivi di rumah. Bentuk, imej dan bunyinya tetap serupa dan perbincangan dua hala boleh berlaku. Kami masih boleh merujuk babak-babak tertentu, atau syot-syot tertentu sebagai asas hujah. Tetapi ini tidak boleh berlaku dengan teater. Teater tidak ada elemen rakaman, ia langsung dan semasa.

Misalnya saya pernah tanya Amir Muhammad teater lokal kegemarannya, dan yang disebut kalau teater Melayu ialah Tanah Bernanah oleh Aminah Rhapor (yang sewaktu itu teks ini turut dilakonkan Hamzah Tahir). Selepas mengetahui ini, saya tidak lagi boleh akses atau mengalami persembahan ini (selain membaca teksnya jika ada atau menonton rendisi pementasan terbaru). Andai kata pementasan ini ada dirakam dan boleh ditonton melalui vcd, ia membantu. Walau bagaimanapun ia masih bukan pengalaman yang sama kerana bentuknya sudah berubah—ia bukan lagi teater (meski ia membuka ruang sebagai bahan dokumentasi, untuk saya intip ke masa lalu). Selain video, reviu dan foto juga membantu sedikit sebanyak untuk saya merapati pementasan tersebut. Di sini, apabila saya berhadapan dengan pementasan yang saya tidak tengok, saya tidak boleh berbincang sangat, saya cuma boleh bertanya dengan sosok tersebut pengalamannya menonton pementasan tersebut. Saya perlu memposisikan diri saya sebagai seorang pendengar.

II
Selepas saya baca buku Towards a poor theatre (1968) oleh Grotowski, antara yang paling lekat dengan saya bukan kata-katanya tetapi foto-foto selingan yang terdapat di dalam buku tersebut. Saya nampak meja panjang, katil dua tingkat, proses dan tubuh. Elemen teatrikal dalam bidang fesyen juga menarik untuk diperhatikan kerana ia dirakam dengan penuh gaya. Pertunjukan fesyen Alexander McQueen misalnya, ada imej-imej yang kuat atas faktor ini. Ia dirakam seperti ia sebuah filem atau video muzik. Cat kereta menyembur gaun dan tubuh, akuarium di dalam akuarium yang pecah, wajah-wajah Bjork. Tidak lagi pada kadar paling fakir, ia menjurus ke arah kekayaan. Kali ini pertunjukan dan persembahan ini didesain untuk memenuhi kedua-dua medium, bahawa ia kuat dipersembahkan secara langsung persis teater, dan ia juga kuat dipersembahkan di dalam medium video seperti filem.

Poin saya di sini, bukan untuk melagakan atau beri kontras via kedua medium teater dan filem ini, sebaliknya ia boleh berkesan sebagai output yang kita sudah peka kekuatan mediumnya. Dan di sini sebagai produser (melalui buku Grotowski yang membahasakan dirinya sebagai produser, ia membuka keterbukaan saya untuk memakai istilah ini, bahawa seorang produser tak terhad sekadar memikirkan soal duit atau menterjemahkan soal jualan tiket—seorang produser menggerakkan Proses) saya percaya waktu legar di luar Pementasan juga penting. Proses dan dokumentasi sebelum dan selepas pementasan perlu disusun secara bergaya dengan teks, foto dan video. Dan ini secara fakirnya berkesan dengan zine, blog dan interviu (saya tidak gemarkan istilah ‘buku program’ sebab ia kedengaran mewah). Material-material ini akan membuka jendela kepada generasi atau kehidupan di masa hadapan.

III
Seperkara menarik tentang dinamik teater dan filem ini, kedua-duanya memerlukan audien menunggu di ruang lobi sebelum masuk ke ruang pementasan/tayangan. Ia biasanya ruang di mana tiket dibeli atau diambil (jika ia bertiket), dan audien perlu tunggu atau beratur sebelum masuk ke dalam (tidak secara literal ke dalam ruang tertutup, tetapi ke dalam karya itu sendiri). Ruang lobi ini limbo. Dalam momen ini ia terapung di antara domain arsitektural dan teatrikal. Ia bukan set pementasan tetapi ia sebahagian dari pengalaman audien tersebut dalam menikmati pementasan. Audien melalui ruang ini sebelum dan selepas show. Dan ruang ini tidak secara zahir spatial. Penantian dan persembahan ini boleh berlaku di atas spot yang sama, e.g.: LiteraTur, kerja-kerja happening, site-specific, wayang pacak dan seumpamanya.

“All the world’s a stage,” kata Shakespeare. Macam mana kalau stage itu sebenarnya afterlife? Dan dunia yang kita diami ini sebuah ruang lobi yang besar. Kita bukan lagi para pemain dan pelakon, tetapi sebagai Audien yang menunggu.

Selasa, April 29, 2014

Surat terbuka dari Bjork buat Araki

hey Araki ?
akankah sentiasa aku berasa hidup ?
sepenuhnya 500% hidup
terasa seperti aku meletus atau terbuka habis
hidup dengan keberanian sebegitu
takkan pudar
sentiasa ‘on’

hey Nobuyoshi ?
suntikku dengan keindahan galak
penuh berahi
suntik padaku
dengan picagari visualmu
hingga semua sel di dalam tubuhku pengsan
(500 liter cinta, nafsu dan humor)
mengalir deras dalam urat nadiku

hey Nobuyoshi ?
beriku nuansa ‘sempurna’
dan selamatkan aku dari kebosanan
okay ?
masuk ke dalam jiwaku setiap satu per satu juta saat
di dalam ‘ketaklengkapan’ yang datang saban hari
klik dan sambung lagi
beriku stimulasi dalaman
dengan satu gambar
hanya satu peluang
tak dibuat-buat

perangkapku dengan renunganmu, Nobuyoshi
dan bawaku padamu dengan kuasamu
dan kembali pada segala indera
semua yang kulihat—semua yang kufikir—semua yang kudengar
=semua yang kusentuh—semua yang kucinta
semua puas

aku ‘on’ sekarang
(terima kasih Nobuyoshi)

ia persis bergaya semasa
aku masih tidur
perlahan-lahan keluar
dan menyediakan nafasku
tetapi ia semasa kau di dasar diriku
Nobuyoshi
kau berenang di dalamku
kau tenggelam ke dalam sendiku
menyentuh
menghidupkan jiwaku

ubahku Araki, ubahku
meletup
kebosanan meletus
(kau sungguh seorang pengganas visual)
kebenaran mesti dibawa muncul
mengundur tak diampun
sama sekali
‘sepenuh’ syabas
dan kini, hidup, alami.


Bjork
Terjemahan Ridhwan