Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, November 30, 2015

Pelangi Selepas Ribut Taufan

 Assalam

Semalam, saya dan suami ke Lenggeng. Saya pergi dengan kenderaan yang berasingan daripadanya kerana saya pergi kemudian sedikit daripadanya. Maklumlah, banyak urusan di rumah. Semasa nak balik tu, di Lenggeng hujan dah mula turun. Tapi tak lebat. Saya pun berkata kepada encik suami, "Kita tinggal lah satu kereta ni... I takut nak drive kalau hujan." Katanya pula, "Eh okey kot... macam tak lebat aje. I takut esok nak guna kereta ni pulak..." Kami membawa kedua-dua four wheel kami. Kalau ke Lenggeng, kami hanya bawa four wheel. Mudah begitu. Jadi saya pun memandu di belakangnya. Sampai di pekan Lenggeng, hujan mula lebat. Bila masuk sahaja highway LEKAS, hujan sangat lebat siap ada petir lagi. Saya ni memang takutkan petir... adoii...

Kami teruskan perjalanan walaupun sebenarnya saya dalam ketakutan.

Tiba di Semarak, semasa di traffic light, saya call encik suami, "Tu lah you... I takut ni... dah lah tak nampak, petir lagi..." Suami saya kata, "Tak apa yang... dah dekat dah, kita bawa slow2 okey..." Teruslah kami pandu lagi. Ada ketika, kami terpaksa melalui air yang dalam, mujurlah bawa four wheel, kalau tak lagilah panik kot. Alhamdulillah, kami sampai. Ketika itu, anak bongsu kami ke airport untuk menjemput abangnya. Saya memang bimbang sebab hujan terlampau lebat sangat. Alhamdulillah, semuanya okey walaupun kami masing-masing agak kalut. Kalau hujan lebat, saya lagi senang duduk diam-diam di rumah. Ni dah memang ada di luar... huhu...

Apa-apa pun, saja nak share sesuatu dengan anda semua. Ia itu tentang 'ujian' yang Allah berikan kepada kita setiap manusia. Yang pasti, hidup kita adalah macam putaran bumi, ada ketika di atas, ada kala di bawah. Yang pasti juga, setiap ujian yang Allah berikan itu adalah untuk membolehkan kita buka mata dan hati dan berfikir. Tanpa ujian, otak kita jadi beku dan akal kita juga kaku. Jadi... syukurlah di atas setiap ujian yang Allah berikan. Semuanya ada hikmah dan membuat kita sedar.

Kata seorang kawan, "Dulu, I dan suami always take things for granted. Tiba-tiba something bad happened... mula-mula tu I ingatkan habislah... kami akan 'break up'. Tapi alhamdulillah, musibah yang datang inilah membuatkan kami bertambah rapat dan bertambah sayang. Now... husband I treat I macam 'permaisuri'. Ada-ada sahaja yang dia hadiahkan untuk I dan dia lebih prihatin pada I. Alhamdulillah, mungkin apa yang terjadi ini adalah pengajaran buat dia dan juga buat diri I. We are together and our relationship is a lot better."

Hah... betul, kan? Kita hanya perlu melaluinya dan bersabar. Kita hanya perlu bergantung pada Allah swt, kita ikhtiarkanlah untuk perbaiki keadaan, pasti Allah akan membantu. Selepas ribut taufan, ada pelangi yang menanti untuk mengindahkan alam ini. Allahuakbar.

Wassalam.


                                                     Cantik kan deko2 ni?

Saturday, November 28, 2015

Nak Tahu Lelaki Itu Berduit Atau Tidak, Lihat Pada Isterinya

Assalam

Haha... bunyi macam bias atau berat sebelah, tetapi itulah realitinya. Kalau anda berbual dengan seorang lelaki yang berlagak macam 'berduit', lihatlah pada isterinya. Biasanya lelaki yang berduit, mempunyai isteri yang 'okey' dari segi rupa dan gayanya. Maklumlah... bila lelaki berduit, mereka akan cari isteri yang ada rupa, maknanya cantiklah tu. Kalau dulu mungkin tak berduit tetapi dah pun berkahwin, bila berduit pasti mampu untuk mencantikkan isteri. Isteri yang kurang cantiknya mampu untuk jadi cantik bila ada kemampuan. Sekali lagi... saya ulangkan. Bila anda berjumpa dengan lelaki yang lagak macam 'orang berada', lihat pula pada isterinya. Kalau isterinya macam biasa-biasa saja atau kurang dari segi rupa, saya yakin lelaki itu memang jenis kaki kelentong!

Saya bercakap melalui pengalaman. Biasanya lelaki yang ada kemampuan, mahu cari pasangan yang cantik, lawa dan bergaya. Jarang-jarang mahukan yang biasa-biasa sahaja. Tapi kalau lelaki itu bercerita pada anda konon-konon bisnesnya sedang meletup-letup, tapi isterinya pula macam ala-ala comot saja... lupakanlah... memang mamat tu kaki kelentong!

Kalau tak cukup duit nak beli alat perkakas untuk mencantikkan isteri, tak payahlah cakap besar konon-konon ada duit berguni-guni.

Itulah yang terjadi pada saya semalam. Saya berbual dengan seorang lelaki muda 'businessman' yang rupanya kira macam boleh pakailah. Dia bercakap tentang business nya yang sedang meletup-letup. Saya pun sukalah mendengar. Siapa pun macam tu kan, mesti seronok dengar cerita orang yang dah berjaya. Mula-mulanya saya tak perasan yang wanita muda yang berada di tempat itu adalah isterinya kerana sangka saya wanita itu pekerjanya. Kemudian, barulah saya sedar wanita itu adalah isterinya. Dari percakapannya dan ceritanya... pada mula okey, tapi lepas tu macam over-over pula. Tapi bila tahu wanita itu adalah isterinya... huhu... saya tahu mamat tu lebih banyak kelentong daripada bercakap benar! Saya dah hilang percaya padanya. Kalau ada seratus peratus... mungkin 30% sahaja yang boleh pakai!

Okeylah... saya ada wedding ni... jangan lupa untuk continue tonton drama 'Setulus Janji' jam 7.05 malam ini di RTM1.

Wassalam.

                                                                 Sekadar hiasan

Friday, November 27, 2015

Anda Mata Duitan?

Assalam buat semua yang datang ke blog ini.

Hari ini, insyaa-Allah saya bercadang untuk ke sebuah pameran di kawasan Serdang. Kalau tak hujanlah. Semalam petang, hujan memang melampau lebat hinggakan kolam ikan saya macam nak banjir. Lepas tu saya bukakan kunci air dan lupa nak tutup balik! Ya Allah, mujur ikan-ikan saya tak mati... nasib baik sempat teringat semula. Hahaha... sibuk sangat nak buat itu dan ini.

Semalam saya memang tak ke Lenggeng. Sekarang ini, saya jarang ke Lenggeng pada hari kerja. Suami saya dan anak bongsu saya sahaja yang ke sana. Kalau hujung minggu tu... kami memang hampir sepenuh masa di sana. Musim hujan ni, Lenggeng macam kat 'overseas' lah... sejuk bukan main lagi. Alhamdulillah. Malah pagi ini, di Nilai pun sejuk juga.

Anak sulung saya dan keluarganya baru berangkat ke Kota Kinabalu pagi ini kerana ada majlis perkahwinan di sana. Kami juga ada majlis perkahwinan di kawasan kejiranan pada esok hari. Memang busylah bila cuti sekolah. Setiap hujung minggu, pasti ada jemputan majlis perkahwinan.

Okeylah... hari ini sajalah nak bercerita tentang apa yang kita suka buat dan dapat buat. Walaupun kita masing-masing ada cita-cita dan impian, kadang-kadang apa yang kita idamkan itu tak menjadi-jadi. Biasanya bila kita muda, kita semua sibuk buat kerja nak cari duit. Ada tu sampaikan jadi manusia yang gilakan duit. Baginya kalau berjaya tu maknanya banyak duit. Kalau tak berduit, maknanya tak berjaya!

Baru-baru ini saya ada kesempatan untuk menonton sebuah program 'talk show' siaran TV Indonesia. Dalam 'talk show' tu, mereka menemubual seorang 'ahli seni' Indonesia yang berjaya di peringkat antarabangsa. Namun ahli seni lelaki ini, walaupun berjaya dan masih muda, tetapi memilih untuk hidup secara biasa-biasa dan sederhana. Wang-ringgit yang menjadi hasilnya, diagih2kan untuk kaum kerabatnya. Dia senang hidup begitu kerana setelah menjejalah di negara-negara maju, itu yang dipelajarinya. Seseorang itu akan hidup bahagia kalau bersederhana sahaja. Yang penting, ilmu mesti ada, pelajaran mesti ada dan keadaban mesti 'class'. Kalau hidup materialistik, segala kejayaan tak akan bermakna, kerana manusia akan jadi stres dan sengsara.

Haha... saya suka melihat pilihan lelaki itu kerana saya juga suka dengan prinsip hidup 'sederhana'. Dalam Islam, itulah yang sepatutnya. Kita jangan jadi manusia 'materialistik' kerana orang yang terlalu pentingkan 'harta-benda' dan 'wang-ringgit' akhirnya akan sengsara kerana semangat begitu akan makan dirinya. Orang yang materilistik sanggup buat apa sahaja untuk pastikan dia 'berhasil'!

Hiduplah dengan cara bersederhana dan tolak lah tabiat 'materialistik'. Orang yang 'mata duitan' sebenarnya sangat hina hidupnya kerana orang begini memandang tinggi pada 'kebendaan'. Nauzubillah.

Semoga kita jadi insan yang baik budi, aamiin.

Wassalam.


                                                                          Anda materialistik?

Thursday, November 26, 2015

Baik Tulis Bahasa Melayu Aje...

Assalam

Hujan tak henti-henti, kan? Alhamdulillah cuaca sentiasa dingin, tak terlalu panas. Saya suka kalau hujan di malam hari, bila dah siang matahari pun menjenguk. Apa-apa pun semua yang dianugerah Ilahi semestinya merupakan yang terbaik. Tak payahlah merungut-rungut.

Ramai yang bertanya, hujung tahun tak ada rancangan nak ke luar negara ke? Hihi... memang tak akan ke mana-mana kot buat masa terdekat ni. Kami sedang kesibukan di Lenggeng dan banyak yang perlu kami lakukan, jadi masa memang tiada yang terluang. InsyaaAllah bila semuanya dah okey, barulah kami rancang untuk berjalan-jalan.

Dalam pada itu, saya sempat juga meronda-ronda di kawasan Lenggeng dan masuk ke kawasan orang asli. Memang cantiklah perkampungan mereka, siap ada sungai dan air terjun. Memang best betul! Malah, saya dan anak-anak sedang rancang untuk melepak di perkampungan orang asli sambil mungkin buat BBQ di Lenggeng! Wahhh... insyaa-Allah mesti seronok. Tak semestinya pergi 'overseas' sahaja yang best. Oh ya... nak ingatkan anda yang membaca entri ini, kalau nak kata 'overseas' pastikan tak tertinggal  's' nya, bukan 'oversea' tahu... kalau 'oversea', maknanya dah tak betul tu. Grammar tak tepat. Pagi ni nak jadi cikgu sikit... sebab pening kepala bila dengar orang kata 'oversea' tanpa 's'! Kalau drama Melayu... memang selalu sangat sebut tak betul dan tak tepat!

Kadang-kadang tu saya tengok di Instagram pun ramai yang suka nak tulis dalam bahasa Inggeris, tapi sayang 'grammar' tak betul. Bagi saya, kalau tak berapa pandai nak tulis dalam bahasa Inggeris, baiklah tulis bahasa Melayu sahaja. Orang yang baca pun tak akan pening kepala.

Begitu juga novel Melayu. Konon-konon nak masukkan dialog dalam bahasa Inggeris, tapi 'grammar' nya tunggang-langgang! Dik oi... tulis jer lah Melayu lagi baik. Yang membacanya nanti taklah malu sangat. Baik baca bahasa Melayu saja daripada baca yang ada Inggeris yang tak betul.

Okeylah... bukan nak mengata tetapi nak menegur supaya kita sama-sama belajar dan cuba buat yang terbaik, insyaa-Allah.

Take care everybody...

Wassalam.





Wednesday, November 25, 2015

Mesti Nak Nampak Cantik, Kan?

Assalam


Hari yang mendung, namun kita tetap bersyukur kerana tiada mendung tiada hujan. Hujan itu membawa rahmat buat kita semua kerana tanpa hujan, kita tak ada air sedangkan tanpa air manusia mungkin mati.

Yang buruk itu tak semestinya tidak cantik, kerana di dalamnya tiada yang tahu kecuali Allah swt. Kadang-kadang kita melihat kepada satu wajah yang mungkin bagi mata kita tidak kelihatan cantiknya, namun si 'tak cantik' itu mempunyai pasangan yang luar biasa baiknya kepada diri si tak cantik, kerana mungkin juga di dalam si tak cantik itu semuanya indah belaka.

Iya betul, kadang-kadang kita melihat pada satu wajah yang kita kurang senang, tetapi apabila kita mengenali dirinya barulah kita sedar bahawa di dalam dirinya itu sangat indah hinggakan mata kita juga turut berubah pandangannya. Kini mata kita mampu untuk melihat akan kecantikannya itu. Subhanallah.

Pun begitu, memang malang sungguh kalau kita tak mampu untuk mencantikkan di dalam diri kita. Akhlak buruk, kelakuan buruk, perangai buruk... maka apa-apa yang tak nyaman di luarannya akan menjadi bertambah buruk. Malah, yang cantik juga mampu untuk kelihatan sangat buruk. Misalnya, mungkin kita berasa hairan apabila melihat seseorang yang dari luarnya kelihatan sangat cantik tetapi tak mampu untuk berkawan dengan orang lain, apatah lagi untuk dapatkan pasangan atau kekalkan pasangan. Mungkin sahaja di luar yang cantik, tetapi di dalamnya banyak yang tak indah. Sebagai contoh, perangai busuk hati dalam diri, atau perangai materialistik yang terlalu pentingkan 'duit' dan kebendaan, mungkin juga kelakuan yang suka menunjuk2 atau perasan bagus dan cantik... kadang-kadang mampu merimaskan orang lain, apatah lagi kalau punyai perangai yang 'tergedik', lagilah buat orang lain tak senang dengannya.

Jadi... biarlah kita bersihkan dan indahkan apa yang ada di dalam hati kita. Biarlah kita punyai perangai dan akhlak yang baik, biarlah kita memberi nilaian yang tinggi buat diri kita hinggakan mampu untuk mengeluarkannya di wajah kita. Biarlah orang lain senang dengan tingkah laku kita dan perangai yang serba sederhana. Biarlah orang sedar yang kita bukan jenis cerewet semuanya tak kena dengan kita. Perkara-perkara seperti inilah yang akan menaikkan nilai diri kita.

Kalau kita sombong atau perasan bagus atau kita rasa negeri yang kita diami atau asal kita itu jauh lagi baik daripada orang lain, mungkin kita tak kelihatan indah di mata orang lain!

Fikir-fikirkanlah... sekalipun mungkin kita dianugerahkan wajah cantik, tak semestinya orang suka. Apatah lagi kalau kita memang tak cantik dan punyai perangai yang buruk, maka bertambahlah buruk jadinya kita. Nauzubillah min zalik.

Cantikkan lah diri kita di luar dan di dalam, agar semua orang senang dengan kita, insyaa-Allah.

Wassalam.


Biar nampak cantik luar dan dalam - sekadar hiasan.

Tuesday, November 24, 2015

Marah Pada Insyirah

Assalam

Semoga anda berbahagia hendaknya.

Bagi saya, alhamdulillah selagi Allah berikan umur dan detik untuk hidup, insyaa-Allah akan saya hargai dan bersyukur. Semoga selamat dunia akhirat.

Ya sungguh ni... saya banyak menghabiskan masa dengan tanaman saya, tak kiralah pokok buah atau herba atau bunga-bungaan. Bagi saya bertani itu ada keindahannya yang tersendiri. Kata orang putih, "To nurture a garden is to feed not just on the body, but the soul." Maknanya saya sedang nikmati segala kurniaan Ilahi dalam bercucuk tanam, tidak hanya untuk kesihatan zahir tetapi untuk jiwa saya jua. Hanya Allah yang tahu apa nilainya bertani ini.

Okeylah, nak berbual tentang hal drama 'Setulus Janji' pula. Pembaca saya setakat ini sangat suka pada drama yang ditontoni mereka. Mereka dah tahu jalan cerita dan sedang nikmati apa yang mereka dah tahu. Pun begitu, ada juga penonton yang menonton drama SJ ini tetapi tak pernah baca novelnya mula marah-marah terutama dengan Insyirah, iaitu watak utama. Kata mereka, Insyirah ni jenis tak setia pada kekasihnya. Dah tu bila berkahwin dengan Ilham pula, dia tak patuh pada suami. Bila tahu yang suaminya sebenarnya buat 'set up' untuk berkahwin dengannya, sepatutnya Insyirah janganlah berdendam pada suaminya. Terima ajelah. Kan dia isteri?

Hahaha... ada orang bagi tahu tentang komen yang sebegitu kepada saya. Mereka ada terbaca di blog-blog atau FB tertentu. Mungkin juga instagram. Malah, pelakon utama yang membawa watak Insyirah iaitu Fida Ibrahim juga berkata begitu kepada saya kerana ada penonton yang marah-marah padanya.

Hehe... saya nak tergelaklah juga. Satu, baguslah kerana ramai yang nak tonton drama itu dan mula terasa. Dua... elok kalau baca novel dulu, jadi taklah nak marah sangat kerana tahu jalan cerita. Tiga... eh, siapa cakap yang isteri tak boleh tunjuk marah? Kalau kahwin dengan monyet ke atau kahwin dengan musang, bolehlah kot. Tapi kalau kahwin dengan manusia yang berupa perempuan, pasti ada perasaan.  Mustahil jadi manusia hati dan jiwa kita jadi kaku macam kayu. Mesti ada yang terasa dan seperti biasa, memang ada manusia yang mudah merajuk dan rasa sakit hati. Tak payahlah kita nak jadi Tuhan pulak, konon-konon macam baik sangat, tak pernah buat salah kot. Mungkin lagi baik daripada mereka yang sanggup curang dan ada 'kekasih gelap' atau mereka yang sanggup 'berzina'. Itu... memang tak patut!

Yang komen itu tak kenal dengan penulisnya. Kalau kenal, mungkin tak komen begitu kot. Saya memang jenis tak suka dengan 'perempuan curang'! Lelaki curang pun saya tak suka. Saya tak suka dengan 'pembohongan' kerana membohong itu adalah 'dosa'.

Okeylah... saya tak kisah pun orang nak kata apa, katalah... itu menunjukkan yang mereka sedang enjoy tengok dramanya. Mungkin mereka juga tak tahu ini merupakan salah satu novel saya yang terjual dalam jumlah ratusan ribu. Maknanya, memang banyak yang suka dan kalau kenal saya, saya juga tak suka tulis apa-apa yang membawa kepada hal-hal negatif!

Wassalam.


                                                      Romantiknya tempat ni, kan?



Friday, November 20, 2015

Cerita Kawan lagi

Assalam

Dah nak hujung minggu dah dan dah bermula cuti sekolah. Wahhh... seronoknya. Cikgu-cikgu pun suka dapat berehat panjang dan tak payah layan kerenah anak-anak nakal lagi!

Hari ini kami memang kalut sebab hari ini bermula projek solar di kebun kami di Lenggeng. Tanah kami berada di bahagian dalam, jadi belum ada eletrik lagi. Kerenah untuk masukkan elektrik ni memang macam-macam dan merimaskan kami. Akhirnya saya dan suami bersetuju untuk guna tenaga suria atau solar untuk dapatkan elektrik di tanah kami. Alhamdulillah, walaupun agak tinggi harganya tetapi kami berpuas hati kerana guna tenaga suria ni kira macam 'alam friendly' lah. Kami pun sedang berjuang untuk semua yang 'organic dan nature friendly'. Sangatlah sesuai.

Pun begitu, masih banyak lagi infrastruktur yang belum siap. Perlahan-lahan akan disiapkan jua. Setakat ini dah banyak pokok-pokok buah yang kami tanam. Syukur di atas Nikmat Allah swt buat kami semua. Saya belum bersedia untuk letak apa-apa gambar. Nanti kemudian-kemudianlah, insyaa-Allah.

Malam ini kami akan makan malam di rumah jiran kami yang merupakan kawan baik saya juga. Dia menjemput kami sekeluarga. Saya pening juga kepala kerana bimbangkan cucu-cucu kami yang nakal ni. Maklumlah rumah kawan kami ni baru lagi diubahsuai dan penuh pula dengan barang-barang berharga yang dibawa pulang dari merata pelosok dunia. Maklumlah rakan saya dulu adalah seorang duta. Tapi, dia yang beria-ia mahu semua datang kerana baginya kami adalah kawan dan saudaranya. Dia memang rapat dengan semua anak-anak saya dan sekarang ini mula rapat dengan cucu-cucu kami. Pernah anak saya Irfan pergi ke Paris dan bercuti di rumahnya selama sebulan ketika dia sedang berkhidmat di sana.

Ini adalah cerita lain pula tentang kawan saya yang seorang lagi. Baru-baru ini, anak-anak saya mempunyai urusan dan bisnes dengan sebuah badan kerajaan. Tiba-tiba mereka dimaklumkan bahawa bos bahagian berkenaan ditukar kepad bos baru. Bila anak-anak saya ditemukan barulah sedar yang bos baru itu merupakan salah seorang kawan baik saya! Mereka excited, termasuk kawan saya. Dulu, semasa tinggal di Manchester, kawan saya ini pernah tumpang rumah kami selama sebulan sebelum dapat tempat sendiri. Selepas itu, ketika saya melahirkan anak bongsu, dialah yang tolong jagakan anak-anak saya. Betapa rapatnya anak-anak saya dengannya. Sekarang ini bertambah seronoklah mereka kerana berurusan dengan orang yang mereka kenal sangat-sangat!

Antara saya dan suami, kawan-kawan sayalah yang rapat dengan keluarga saya. Hanya segelintir sahaja kawan-kawan suami yang rapat dengan keluarga kami.

Malah, ada kawan-kawan saya yang rapat sejak sekolah rendah lagi dan mereka juga kenal ahli keluarga saya.

Syukur pada Allah kerana memberi peluang ini buat kami. Alhamdulillah.

Wassalam.

PS: Esok pun ada wedding - anak kawan baik saya Datuk Sal akan berkahwin.





Thursday, November 19, 2015

Mencari Jalan

Assalam

Hari ni saya memang tak masak untuk makan malam sebabnya hanya saya dan cik abang saja yang akan berada di rumah. Yang lain-lain ada aktiviti masing-masing.  Kalau rajin, kami akan makan di luar nanti insyaa-Allah. Malah dalam seminggu, memang lebih banyak makan di luar dari di rumah kerana kadang-kadang kami sibuk dengan hal lain. Semenjak arwah ibu saya tak ada, beginilah keadaannya. Tapi tak apa, kami tetap bersyukur dengan segala Nikmat yang Allah swt berikan. Alhamdulillah.

Hari ini saya nak sembang-sembang tentang kehidupan. Mungkin untuk ingatkan diri sendiri dan semua yang berada di keliling saya. Kalau kita perhatikan betul-betul, setiap hari ada-ada sahaja perkara baru yang terjadi. Mungkin kita perasan, mungkin juga tidak. Pun begitu, memang sangat sihat untuk kita cari perubahan dalam hidup. Perubahan yang menghala kepada sesuatu yang positif.

Kadang-kadang kita terperangkap dengan imaginasi yang negatif. Takut untuk melakukan sesuatu yang membawa perubahan. Takut untuk ambil risiko. Sebagai contoh, ramai kaum perempuan takut untuk berpisah dengan suami mereka sekalipun mereka tahu suami mereka itu merupakan tukang dera mental dan fizikal. Malah, banyak suami yang tak bertanggungjawab dan terus hidup tak bertanggungjawab tetapi isteri-isteri mereka masih setia berada di samping sang suami. Mungkin kerana isteri takut digelar 'ibu tunggal', takut bergelar 'janda', lebih rela hidup dengan suami yang tak sayang dan tak hormat mereka!

Kerana takutkan 'stigma' dan gelaran dan juga perasaan ditinggalkan, maka banyak isteri terus kekal dengan sang suami si tukang pendera! Maka ramailah yang hidup terus merana sampai ke tua.

Soalnya, adakah Islam menyuruh kita hidup begitu? Betulkah kalau isteri minta cerai bermaksud si isteri itu jahat?

Banyak orang memutar-belitkan apa yang diamanahkan dalam al-Quran untuk kepentingan masing-masing, maka ramailah yang terus terperangkap dalam kehidupan yang zalim. Siapa yang zalim? Bukan manusiakah?

Begitulah dengan hal-hal yang lain. Kita takut untuk berubah kerjaya, takut untuk lakukan sesuatu yang berbeza konon-konon takutkan risiko walaupun kita tahu keadaannya memeritkan. Malah, ada orang bertani tapi tak sudah-sudah merungut kerana katanya pokok diserang serangga, diserang beruk dan macam-macam lagi! Bukankah ada cara untuk elakkan serangga? Bukankah ada cara untuk takutkan beruk?

Sebenarnya hidup memang penuh dengan risiko, namun sebagai manusia kita harus berani untuk bertapak ke depan. Kalau diuji, kita carilah jalan yang lain. Biasanya juga Allah swt akan membantu mereka yang mempunyai niat yang baik dan berusaha untuk memperbaiki diri dalam apa jua hal.

Kebaikan itulah yang kita cari dan keburukan itulah yang kita wajib elak. Sebagai manusia, kita harus kenal apa itu baik dan apa itu buruk.

Serupalah bila kita berkawan. Carilah kawan yang baik, bukan kawan yang mempunyai perangai buruk yang mampu merosakkan hidup kita.

Pilihlah... pilih jalan yang benar dalam hidup kita. Allah swt sentiasa membantu tetapi kita juga perlu ikhlas mencari keredhaan-Nya, bukan sekadar mencari peluang dan jalan singkat untuk kepentingan diri!

Wallahuaklam.

Wassalam.


                                                          Mencari jalan

Wednesday, November 18, 2015

Buat Kerana Dia

Assalam

Dah bunyi dah pelbagai desas-desus di angin lalu mengatakan bahawa kes serang di Paris adalah serupa dan sama dengan kes serangan September 11 di New York dulu. Kerja puak Zionis. Takkanlah bahlul sangat si tukang bom dan tukang serang nak bawa pasport mereka ke hulu dan ke hilir! Lagipun... buat apa sewa kereta? Pergilah curi saja. Nampak sangat perancangan itu sengaja diatur begitu.... walhasil, kita umat Islam kena berjaga-jagalah. Sekarang ni kalau pakai hijab, memang payah nak merayap di Eropah. Orang tak suka. Lebih baik berbogel, mereka lagi respect!

Di akhir zaman sememangnya begitu kot, walahuaklam. Dalam serba semua yang modern dan canggih, manusia jadi gila!

Malah, orang yang mengaku Islam pun dah tak tahu apa itu Islam. Main ikut-ikut saja, tak payah berfikir lagi. Apa sahaja yang dikatakan orang, main redah kita percaya. Apatah lagi kalau ustaz yang bercakap. Apa-apa sahaja yang dikatakan ustaz TV lagilah kita percaya, seolah-olah orang-orang ini setaraf dengan nabi!

Sebagai insan yang punyai akal, kita sepatutnya bertanya pada diri sendiri sama ada apa yang kita dengar atau baca itu betul atau tidak. Sebab itulah penting untuk kita sendiri membaca al-Quran dan memahaminya. Kalau tidak, kita akan main ikut sahaja dan main percaya sahaja.

Dunia hari ini terlalu banyak putar belitnya. Masing-masing gilakan material hinggakan sanggup buat apa sahaja untuk dapatkan ganjaran yang lumayan. Kebanyakan ustaz-ustaz hari ini tak akan berdakwah secara percuma. Semuany berbayar belaka! Kalau bagi ceramah pun mesti ada upahnya. Kalau dah berbayar, macam mana kita nak percaya kata-katanya? Sebab mungkin kata-katanya juga sama taraf dengan upah yang diberi! Wallahuaklam. Banyak bayaran, semakin ikutlah cakap situkang bayar. Mungkin kita tak berapa nak percaya, tetapi inilah hakikatnya. Malah, sejarah pun boleh diubah-ubah mengikut cakap siapa yang berkuasa.

Kalau nak selamat dunia dan akhirat, biarlah kita ikut apa yang benar seperti yang dimahukan Allah swt. Buat kerana iman, kita percaya pada Tuhan, bukan kerana hal lain, jauh sekali kerana material dan kuasa dunia. Nauzubillah min zalik.

Wassalam.


                                                      Sekadar hiasan. Cilok dari google

Tuesday, November 17, 2015

Isteri Oh Isteri...

Assalam

Ramai orang berkata yang ISIS atau ISIL itu adalah kumpulan Islam yang dibina dengan kekuatan Zionis. Wallahuaklam. Apa-apa pun, kalau anda ada anak muda dalam keluarga, jaga-jagalah... jangan sampai mereka mudah terpedaya dengan perjuangan yang sia-sia. Islam tak pernah minta kita jadi gangster!

Okeylah... saya nak bangkitkan isu lain pula. Baru tadi ini saya terbaca kisah pembunuhan yang berlaku di kawasan Perak, antara puak pendatang Indonesia. Pembunuhan itu berlaku kerana salah seorang daripada puak itu mempunyai seorang isteri yang curang! Malangnya si suami sempat bunuh sepupunya (pakwe isteri) dan isterinya yang curang itu terlepas! Adoii!

Bila terbaca kisah seperti ini, saya terpanggil untuk menulis artikel ini di sini. Mungkin kita hidup di akhir zaman dan kerana itu macam-macam perangai manusia menjadi budaya hidup walaupun kita mengaku kita orang Islam. Di mana letak Islamnya kita pun tak pasti sangat. Misalnya, ramai lelaki yang tak tahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki atau sebagai suami. Mereka hidup dengan kejahilan. Tapi hari ini, saya akan bangkitkan sekali lagi tentang hal wanita. Saya akan terus ingatkan wanita kerana saya rasa sebagai wanita kita punyai peranan yang berat untuk pastikan negara kita dan juga hidup di sekeliling kita tidak mendapat musibah besar.

Kalau kita merupakan seorang isteri, pastikan kita tahu menjaga adab dan tingkah laku kita. Biarlah kalau kita rasa kita lawa dan menarik, pastikan kita simpan semuanya untuk suami sahaja, bukan untuk dikongsi dengan orang lain! Nauzubillah.

Hari ini, banyak para isteri tak tahu menjaga akhlak mereka. Sudah punyai suami dan sudah menikah, tetapi tergamak pula untuk bergayut, bersembang-sembang dengan lelaki lain, tak kiralah sama ada lelaki itu kawan kita, kekasih lama, atau siapa-siapa sahaja. Yang peliknya, ada juga yang sudah berumur, tapi masih tak bijak menjaga akhlak dirinya. Mungkin dia rasa seronok kalau dapat perhatian dengan kelakuannya yang tergedik-gedik itu. Mungkin juga dia rasa dirinya 'laku' sebab itulah ada lelaki lain yang merasakan dirinya menarik!

Mungkin anda rasa 'terkejut' atau pelik membaca artikel ini, tetapi pada hakikatnya memang ramai wanita hidup tak tahu jaga akhlak sebagai seorang isteri! Kalau tidak, tidaklah kita dengar kes curang sana dan sini. Nauzubillah.

Ada tu, tak kisah pun nak tumpang kereta orang lain untuk pergi atau balik kerja sedangkan dia tahu dirinya sedang menggoda si tukang memandu kereta. Baginya, okeylah kerana dirinya masih laku! Mula-mula tumpang kereta, lama-lama pergi singgah pula ke tempat lain. Hotel bajet memang banyak pun... merata-rata ada! Dapat masuk sejam dua pun tak apa. Suami kat rumah tak akan tahu. Malah, kadang-kadang sengaja pilih untuk buat hal dengan suami orang. Mudah kot kerana masing-masing dah ada pasangan, jadi yang ini buat suka-suka sahaja! nauzubillah min zalik.

Walhasil, kalau jadi isteri tetapi tak tahu jaga maruah, lebih baik jangan jadi isteri. Tinggallah seorang diri dan jajalah diri kita sana dan sini agar kita tak pungut banyak dosa sebagai isteri dan suami juga tak terbeban mengumpul dosa si isteri.

Sekali lagi saya ulangkan di sini, jadilah wanita yang teguh imannya, lalu mengambil berat untuk menjaga maruahnya, tak kira apa sekalipun statusnya. Sebagai ibu tunggal, sebagai anak dara, sebagai isteri atau ibu, sebagai wanita yang dah banyak umur atau yang masih muda lagi. Jadilah wanita yang disegani dan yang disayangi Allah swt. Jadilah wanita solehah yang kenal apa dosa dan apa tidak.

Wassalam.


                                                          ambil dari google

Monday, November 16, 2015

Bila Jaga Tepi Kain Orang!

Assalam

Baru-baru ini ada rompakan di kejiranan kami. Memang menakutkan kerana penghuni rumah telah diikat oleh perompak yang masuk rumah sekitar 3.30 pagi. Dah tu, selepas mengambil segala barang elektronik, barang kemas dan wang-ringgit, si perompak-perompak tu boleh ambil pula segala makanan dalam peti sejuk! Allahuakbar, agaknya kebuluran sangat. Atau mungkin juga itu merupakan ritual mereka. Apa-apa pun, semoga tuan rumah dan keluarga tidak fobia akibat perbuatan si perompak-perompak yang tak punyai hati perut.

Pun begitu, memang kecohlah seluruh dunia akibat serangan yang berlaku di kota Paris baru-baru ini. Adik saya yang sedang berada di Sepanyol, terpaksa ubah haluannya, hanya berhenti seketika di lapangan terbang Paris dan pergi ke kota London. Selepas itu dia dan rombongannya akan ke Amsterdam, Belanda sebelum pulang ke Malaysia. Saya dapat bayangkan kekecohan dan ketakutan di seluruh kota Paris. Tahun lepas di bulan Jun, saya, suami dan anak bongsu berada di Sepanyol dan Peranchis dan kami berada di kota Paris lebih dari tiga malam. Kalau tak ada kekecohan, memang kota Paris sangat menarik dan romantik.

Walaupun saya bersimpati dengan apa yang berlaku di kota tersebut dan saya juga tidak sokong tindakan puak ISIS yang sedang bermaharajalela di merata-rata pelosok, namun itulah hakikatnya. Negara Perancis juga negara Barat yang lain, kena terima kenyataan, kalau kita masuk campur hal orang dan jaga tepi kain orang, itulah padahnya. Serupalah dengan kita manusia biasa, kalau cuba masuk campur hal rumah tangga orang, pasti ada musibah yang datang pada kita. Apatah lagi dunia Arab yang sememangnya banyak konflik. Kalau tak masuk campur, mungkin Syria, Iraq, Libya dan lain-lain, masih aman negara-negaranya. Sekarang ini, semuanya punah dan musnah. Yang tinggal hanyalah perasaan sakit hati. Jadi... nak hairan apa kalau ada puak yang mahu menyerang Perancis atau negara Barat lain. Terima sahajalah padahnya!

Okeylah, malas nak membebel. Saya banyak hal pagi ini. Wassalam.

                                                         Kecoh di Paris

Sunday, November 15, 2015

Drama Setulus Janji - Setakat Ini

Assalam

Minggu yang lepas ni, famili kami sibuk meraikan hari jadi empat orang cucu kami, mula-mula Nabeehah, berumur satu tahun, lepas tu Nilofar berumur tiga tahun, kemudian Firas pula dan selepas itu Ali, kedua-duanya lima tahun. Kebetulan, anak perempuan kami Laila Hana juga meraikan hari jadinya, antara Firas dan Ali. Minggu depan, anak sulung kami pula. Alhamdulillah, memang rancak sakanlah keluarga kami.

Memang bulan November dan Disember merupakan bulan-bulan yang sibuk buat kami.

Okeylah... beralih kepada drama Setulus Janji. Nampaknya Insyirah dah pun berkahwin dengan Dr. Ilham. Saya sangat berpuas hati dengan lakonan Shah Iskandar sebagai Aiman. Pandai dia membawa watak Aiman itu hinggakan ada ketika kita sangat ralit dengan karakternya. Masa marah, terasa sakit hati dan ada ketika, Aiman buat kita rasa sedih. Syabas Shah Iskandar! Saya juga berpuas hati dengan lakonan Fida dan Watie... rasa masuk dengan watak yang dilakonkan. Saya tak berpuas hati sangat dengan Azli Khairy, mungkin sebab cara 'dressing' beliau tak berapa kena dengan watak doktor pakar yang dibawanya. Kalau saya ada ketika 'shooting', pasti saya akan tegur cara 'Dr.Ilham' berpakaian, termasuk kasut yang dipakainya. Ada ketika lakonan Azli nampaklah macam masuk, ada kala agak kurang sikit.

Apa-apa pun, setakat ini saya okey sahaja. Malah, pembaca-pembaca saya semuanya berpuas hati dengan perjalanan drama setakat ini. Kata mereka, "Ikut jalan cerita dalam novel." Kira okeylah tu. Hari Sabtu minggu depan, saya kena misslah pulak drama Setulus Janji ni, sebab kami ada wedding. Tak apalah kot, apa yang penting kita dahulukan. Saya boleh tengok kemudian, insyaa-Allah.

Okeylah, kalau rajin esok pagi saya bercerita lagi.


Wassalam.











Friday, November 13, 2015

Wahai Perempuan...

Assalam

Biasalah... bila hari Jumaat sahaja, banyaklah mesej Islami yang masuk untuk mengingatkan kita tentang kebesaran hari Jumaat itu. Apa-apa pun, pagi ini saya sangat tertarik dengan satu mesej yang bercerita tentang malaikat Jibril a.s.

Baginda Rasullulah ketika gering, bertanya pada Jibril a.s. "Adakah kau akan turun ke bumi setelah aku tiada?"

Kata Jibril a.s., "Masih lagi ya Rasulullah... aku turun ke bumi untuk ambil 10 mutiara hidup peninggalan mu."

Tahukah kita apa dia mutiara yang dikatakan Jibril a.s. itu?

Salah satu di antara yang sepuluh itu ialah 'rasa malu dari wanita.'. Bermakna, ketika wanita tidak menghormati rasa malu dalam diri, maka mutiara itu akan diambil pergi. Banyak mutiara lain yang juga penting, tetapi kerana saya seorang wanita, mungkin elok juga saya bincangkan hal ini di hari yang mulia seperti hari ini. Semoga ia akan mengingatkan diri kita dan semoga sebagai wanita, kita akan menjaga harga diri dan akhlak diri.

Mutiara diri seorang perempuan terletak pada maruahnya. Kalau tak jaga maruah, maknanya diri tak tahu rasa malu. Bila tak jaga rasa malu, seorang wanita akan sanggup lakukan apa sahaja. Sebagai wanita, mungkin kita rasa tak akan mudah 'jual diri', tetapi pada hakikatnya, hari ini terlalu ramai wanita yang tak menghargai diri mereka sendiri, tak kira usia muda atau tua.

Semalam, saya terbaca kisah seorang wanita yang berusia 46 tahun, ditangkap kerana sedang berusaha untuk 'menjual' dirinya bagi mendapatkan 'seks'. Usia tak muda, tapi malangnya wanita Melayu itu tak rasa malu pun, masih sanggup lakukan maksiat mungkin untuk dapatkan duit. Hanya kerana material. Takkanlah dah tak ada kerja lain lagi?

Malangnya juga, masih ada wanita di luar sana, yang sanggup 'jual diri' walaupun dah ada kerja, dah berusia, dah tahu macam-macam tetang agama, namun kerana "NAFSU" mereka sanggup lakukan apa sahaja.

Bayangkanlah, kalau kita begitu... bukankah satu hari nanti, kalau usia masih ada, kita akan jadi tua? Dan terfikirkah kita ketika itu nanti, bagaimana kita mahu berdepan dengan kehidupan sedangkan kita tahu yang diri kita bergelumang dengan dosa dan maksiat?

Apakah kita tahu bila kita akan mati?

Kalau tak sempat bertaubat atau taubat tak diterima Tuhan, bagaimana nanti?

Tak takutkah kita?

Atau mungkin kita tak kisah semuanya? Asal sahaja kita dapat apa yang kita mahukan, kita lelong sahaja diri kita seperti anjing betina jalanan, yang ke hulu dan ke hilir untuk mengisi 'nafsunya'?

Kalau kita seorang wanita, biarlah kita pelihara akhlak kita, jaga maruah kita, agar nanti 'rasa malu' itu tidak diambil pergi! Tak kisahlah kita tua atau muda, tak kisah juga apa status kita, tak kisahlah kita lawa atau tidak! Tapi kalau kita hargai 'Nikmat' yang dianugerahkan Ilahi buat kita, jagalah 'rasa malu' itu!

Wahai perempuan... janganlah mudah jual badan!

Wassalam.



Thursday, November 12, 2015

Aku Tulis Kerana Cinta...

Assalam

Ramai yang masuk ke blog saya ini sebab nak cari tempat bercuti yang menarik. Bangkok lah, Istanbul lah, Phuket lah, Sri Lanka lah dan macam-macam lagi. Maklumlah dah masuk November. Bulan depan memang bulan cuti-cuti sebab ramai yang nak habiskan cuti masing-masing. Hujung tahun ini, saya dan cik abang tak bercadang untuk ke mana-mana. Kami nak selesaikan projek di Lenggeng. Lagipun, insyaa-Allah dah pasang rancangan untuk berjalan-jalan lebih sikit tahun hadapan. Jadi cik abang kena simpan cuti banyak-banyak sikit. Mujurlah tahun ini kami tak banyak berjalan, hanya sempat ke Morocco dan Jakarta dua kali. Tahun depan, ada umur dan rezeki, rasa macam nak jalan jauh lagi, insyaa-Allah. Apa apa pun, Lenggeng kini di hati kami dan kami bercadang untuk banyak melepak di sana, insyaa-Allah.

Ada juga yang bertanya pada saya, "Kak Aina dah tak banyak menulis ke?"

Huhu... begitulah nampaknya. Saya terpaksa 'slow down' sikit. Lagipun, dunia kreativiti ini sangat luas, bila dah bosan dengan satu bab, kita boleh berubah ke bab lain. Dulu masa saya mula-mula menulis, saya memang sedang 'angau' untuk menulis. Rasa seronok nak 'share' ilmu dan pengalaman dengan orang lain. Tetapi, sejak-sejak kebelakangan ini, saya tak rasa yang dunia buku di Malaysia menarik lagi. Terlampau 'merapu' sangat di pasaran, hinggakan 'kualiti' dah tak ada lagi. Siapa-siapa pun boleh jadi penulis sekalipun tak punyai cukup ilmu pengetahuan dan cukup pengalaman, tak ada 'exposure' pun boleh tulis apa-apa sahaja hinggakan 'pembaca' mula lari dari membaca dan saya sebagai penulis, mula hilang mood dan momentum. Kedai-kedai buku cekik darah, penerbit pun mula belit sana-sini dan terbit apa saja, last-last penulis yang betul-betul ikhlas menulis dah malas nak tulis lagi. Yang berlambak kini adalah penulis baru seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Saya menulis kerana 'passion' atau minat yang mendalam, bukan kerana wang atau nama. Insyaa-Allah saya tak kejar itu semua dan saya percaya Allah berikan yang terbaik buat saya. Jadi...  yang terbaik sekarang ini ialah apa yang sedang saya lakukan. Ubah haluan. Saya tidak tinggalkan penulisan, namun saya tidak lagi rancak seperti dulu. Saya tak kisah pun kalau karya saya tak banyak keluar sekarang ini. Lagipun... saya tak mahu menulis sekadar apa-apa sahaja. Saya juga tak mahu menulis kerana sesuatu 'trend' kerana itu akan merosakkan 'passion' saya. Saya menulis kerana 'cinta' bukan kerana duit, jadi tak apa-apalah... saya tak mahu jadi macam anjing di tepi jalan, main rembat siapa-siapa sahaja untuk menerbit, menjual dan membaca buku saya. Insyaa-Allah, kalau kita punyai niat yang baik, Allah juga akan berikan yang terbaik.

Saya idamkan ketenangan dan kebahagian dalam apa jua yang saya lakukan di dunia ini dan semestinya, apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk bekalan akhirat jua. Insyaa-Allah dan aamiin.

Wassalam.



                                                          Kerana Cinta

Wednesday, November 11, 2015

I'm Gonna Love You Like I'm Gonna Lose You

Assalam

Rasa macam dah lama tak update entri... huhu. Orang lain yang beraya, orang lain pula yang sibuk sakan. Adoii... memang sibuk, keluar masuk menghantar barang hinggkan jiran kami di Nilai jadi risau. "Eh nak pindah rumah ke?" Maklumlah, dia segan nak tinggal tanpa jiran terdekat. Jawab anak perempuan saya, "Tak adalah... kami hantar barang ke Lenggeng aje..."

Okeylah...  kalau kita punyai ramai adik-beradik, pasti ada di antaranya yang sangat rapat dengan kita, kan? Begitulah saya, antara abang-abang yang saya ada, salah seorangnya memang rapat dengan saya. Sejak saya di sekolah rendah lagi. Walaupun jarak umur abang saya dengan saya agak luas juga, namun kami tetap rapat. Hinggalah ke hari ini masih rapat.

Baru-baru ini, abang saya hantar sebuah video lagu dan dia mahu saya meneliti lirik lagu itu. Saya memang biasa dengar lagu berkenaan, cuma tak perasankan liriknya. Kali ini saya dengar betul-betul. Adoii... sangat touching dan bermakna. Lagu nyanyian Meghan Trainor ft John Legend, "Like I'm Gonna Lose You". Antara lirik yang menarik, berbunyi:

So I'm gonna love you
Like I'm gonna lose you
I'm gonna hold you
Like I'm saying goodbye 

wherever we're standing
I won't take you for granted 'cause we'll never know when
When we'll run out of time

so I'm gonna love you
Like I'm gonna lose you
I'm gonna love you like I'm gonna lose you


 Betul, kan? kadang-kadang  kita terlupa untuk ambil tahu yang masa itu bukan kita punya. Bila-bila masa pun masa itu boleh tamat untuk kita. Bererti, bila-bila masa jua kita boleh dimatikan. Bermakna, sekalipun kita sayang akan seseorang itu, satu hari nanti, kita akan berpisah jua. Jadi... selagi ada masa, gunalah masa itu seolah-olah masa itu akan tamat dalam sedikit masa. Bila sayangkan seseorang, tunjuklah sayang kita.

Wassalam.


Monday, November 09, 2015

Bila Tak Ada Adab

Assalam

Bermulalah kita menjalankan tugas dengan penuh amanah. Sangat penting, sekalipun apa yang kita mahu lakukan, kita buat kerana Allah dan dengan cara yang terbaik. Semoga Allah limpahkan barakah dan selamatkan kita dunia akhirat. Aamiin.

Mungkin anda tersentak juga bila melihat judul yang saya berikan untuk entri kali ini. Bukannya apa, tetapi saya rasa rata-rata pada hari ini, ramai yang tak ambil berat lagi tentang adab, terutama bila kita bincangkan tajuk ini dengan kaitan dunia moden hari ini. Ramai yang ralit dengan handphone masing-masing hinggakan buat apa pun dah tak peduli lagi! Nauzubillah.

Okeylah... jom kita tengok apa sebenarnya maksud adab. Adab membawa erti "norma atau aturan mengenai sopan santun yang didasarkan atas aturan agama, terutama Agama Islam. Norma tentang adab ini digunakan dalam pergaulan antara manusia, antara tetangga, dan antara kaum." Semuanya ada kaitan dengan perilaku seseorang dan perbuatannya.

Kalau dulu-dulu, adab yang baik bila kita berkomunikasi melalui telefon, ialah untuk tidak membuat panggilan di awal pagi atau di sebelah malam. Kiranya, bila waktu Maghrib sahaja sehinggalah mungkin ke jam lapan pagi keesokannya, biasanya orang tak buat panggilan telefon kecuali kalau ada kecemasan. Bermakna, itulah kegunaan telefon. Berkomuikasi bila perlu sahaja. Itulah adab yang baik dalam hal perilaku dan bersopan santun.

Tapi hari ini, memang berlainan sangat-sangat. Telefon bimbit sebenarnya telah merosakkan budaya adab yang baik. Masing-masing tak peduli lagi, bila sahaja nak hantar mesej, akan dihantarnya, sampaikan lewat malam pun masih ada mesej yang masuk. Awal pagi lagi dah mula berbunyi-bunyi. Malah, masing-masing asyik pegang handphone seolah-olah tanpa pegang, maka matilah dia! Nauzubillah. Ke mana sahaja kita pergi, itulah yang kita lihat. Masing-masing ralit dengan handphone hinggakan kita jadi manusia yang tak beradab lagi! Allahuakbar. Betapa rosaknya budaya dan kelakuan kita.

Trend seperti ini memang mampu untuk melingkupkan komunikasi baik antara manusia. Melalui media sosial, macam-macam yang buruk berlaku dan banyak rumah tangga yang jahanam dek perbuatan manusia itu sendiri. Betapa jahilnya kita, hanya kerana gadget2 canggih ini, kita menjadi hamba kepadanya. Nauzubillah.

Pernah tak kita duduk dan berfikir? Mengapa kita biarkan hidup kita dikelilingi dengan benda-benda  yang merosakkan adab kita sebagai seorang manusia yang beriman?

Wassalam.


                                                          Penyakit gila gadget

Friday, November 06, 2015

Jangan Terlalu Percaya Dan Sayang

Assalam dan Salam Jumaat buat semua.

Alhamdulillah dapat selesai banyak kerja hari ini walaupun rasa letih juga badan, tapi puas hati. Apa-apa pun, saya tetap bersyukur di atas segala kurniaan dan nikmat yang Tuhan berikan.

Pernah tak anda rasa macam sesuatu yang berlaku itu tiba-tiba sahaja terjadi seolah-olah tak berhenti-henti. Lepas satu, satu lagi. Hehe... orang Melayu kata macam dah jatuh ditimpa tangga pula. Baru-baru ini, adalah sesuatu yang terjadi pada ahli keluarga kami. Lepas satu, satu lagi. Bukanlah masalah besar, tetapi terasalah juga. Jadi... ahli keluarga kami itu berasa sedihlah. Kata saya kepadanya, "Jangan sedih-sedih. Bersyukurlah sebab ujian yang diberikan Allah itu sedikit sahaja dan biasanya, bila Allah menduga iman kita, Allah juga akan berikan sesuatu yang jauh lagi baik lagi, hanya kita perlu bersabar." Bab ini, saya memang percaya sangat-sangat. Allah itu maha adil dan tahu akan kemampuan dan keupayaan hamba-Nya. Sebagai manusia beriman, kita jangan risau kalau ada sesuatu yang menimpa kita, atau sesuatu berlaku untuk menguji kita. Malah, kita patut bersyukur kerana sebenarnya, Allah sayangkan kita dan Allah mahu kita tetapkan iman kita. Kalau Allah tak uji, kemungkinan besar, iman kita goyah pun kita tak sedar.

Dalam pada itu, sebagai insan yang beriman, kita janganlah cepat melatah kalau ada sesuatu yang menimpa kita. Kadang-kadang sesuatu itu terjadi untuk membolehkan kita mencerminkan diri. Ada ketika, kita berasa yang diri kita terlalu betul atau terlalu baik, maka kita pun lakukan sesuatu dan sesuatu itu mungkin sedang menyakitkan hati orang lain dan kerana itulah, kita diuji pula. Sebenarnya, Allah mahu kita melihat pada diri kita sendiri dan perbetulkan segala yang tidak betul. Kadang-kadang, kerana kita 'careless', apa yang kita sayang mungkin akan terbang melayang! Wallahuaklam.

Sebenarnya, kita perlu sentiasa beringat dan jangan 'take things for granted'. Misalnya, bila kita percayakan seseorang, kita jangan terlalu 'over' percaya. Begitu juga bila kita sayangkan seseorang, jangan sayang teramat sangat. Yang penting, kita tak lupakan pada Allah dan sentiasa jadikan Allah 'the best' dalam hidup kita ini. Allahuakbar.

Wassalam.

PS: Jangan lupa esok dan lusa malam, drama Setulus Janji di RTM1 jam 7.05 malam



Thursday, November 05, 2015

Mencari Dosa

Assalam

Hari ini dah ada kat rumah. Alhamdulillah, sempat pergi ke Lenggeng. Semuanya okey. Hari ini, tamat sudah ulangtayang drama Selamat Malam Kekasih di TV Al Hijrah dan saya tak sempat tengok pun... hihi... lagipun dah banyak kali tengok. Insyaa-Allah, saya percaya TV Al Hijrah akan ulangtayang lagi.

Baru-baru ini, saya bersembang-sembang dengan rakan lama saya dan dia bangkitkan tentang dosa yang sering dilakukan orang tanpa sedar atau secara sedar. Iyalah... nama pun manusia kan, pasti tak lari daripada melakukan dosa, kecil atau besar. Kalau buat dosa kecil ni, mungkin setiap hari ada sahaja, tetapi minta-minta kita dijauhkan daripada buat dosa besar.

Pun begitu, tak menghairankan kalau ada yang mudah buat dosa besar. Baginya... tak apa kot, nanti boleh minta ampun pada Tuhan. Ada yang terus-menerus melakukan dosa-dosa yang begini, seolah-olah hidupnya tak lengkap. Kalau kaki minum, akan terus minum. Kalau kaki buat zina, akan terus melakukannya seolah-olah okey sahaja. Ada tu pula, solat tetap tak tinggal, tapi dosa begini tetap diteruskan, seolah-olah solatnya mampu menghapus segala dosa yang dilakukan saban hari. Allahuakbar!

Bagi orang lelaki, memang ada yang mudah terperangkap dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menjeratkannya dalam kancah dosa. Pun begitu, memang ramai juga kaum wanita yang sama juga tingkah lakunya. Malah... memang ramai kaum perempuan yang mampu menjadikan lelaki terjerat dan seterusnya melakukan dosa. Kalau difikir-fikirkan, mungkin kita rasa pelik teramat sangat kenapa ada manusia mencari dosa! Tetapi itulah hakikatnya, ramai suka mencari dan buat dosa sama ada mereka sedar ataupun tidak! Wallahuaklam.

Yang penting buat kita yang mengaku mempunyai iman, biarlah kita sentiasa mengingatkan diri agar tidak mendekati sebarang aktiviti atau kawan dan kenalan yang mampu membawa kita ke kancah maksiat dan dosa! Berjaga-jagalah dan banyaklah berdoa, agar Allah swt melindungi kita dunia dan akhirat kerana kalau dunia kita sesat, maka ke neraka jahanamlah kita bila tiba akhirat nanti. Nauzubillah.

Wassalam.


Tuesday, November 03, 2015

Lemah Atau Memang Tak Cerdik?

Assalam

Esok saya dan suami akan berada di luar, 'out station', jadi tak dapatlah nak update blog ini. Sebab itulah saya update malam-malam. Apa-apa pun, semoga anda semua hidup dengan semangat yang tinggi, pastikan ada kebaikan untuk dunia dan akhirat, aamiin.

Okeylah, saya nak bercerita tentang group-group whatsapp ni. Sekarang ini memang dah jadi trendy. Dulu... sibuk berkomunikasi melalui Facebook, hinggakan ada yang bercerai-berai. Maklumlah, tiba-tiba sahaja dapat berkomunikasi dengan 'pakwe lama atau makwe lama', tiba-tiba jiwa tergedik-gedik dan meronta-ronta, mahu mengubah selera. Jadi... bye-bye lah kepada suami atau isteri, hello pula kepada buah hati! Hehe... lepas tu tak tahu apa yang dah jadi! Rupa-rupanya awak menipu diri sendiri. Itulah pukulan FB!

Sekarang ni pula, sibuk bergroup whatsapp. Kadang-kadang tu memang baiklah kalau tujuannya baik. Ada kumpulan whatsapp untuk jiran tetangga, ada pula untuk saudara mara. Ada juga untuk rakan-rakan sekolah. Ada pula rakan sekerja. Kalau tujuannya elok, mungkin boleh jadi elok.

Tapi dalam pada itu, kita semua perlulah berjaga-jaga. Bukan semua yang kita sangkakan baik akan jadi baik. Ada ketika, mula-mula sahaja baik, lepas itu mungkin mampu terpesong. Masing-masing ada ketika nak tunjuk pandai, atau nak tunjuk bagus. Maka keluarlah kata-kata yang mungkin menyinggung hati orang lain. Kalau kita berwhatsapp dengan seseorang individu itu, bermakna kepada dia sahaja yang kita tuju maksud kita. Tapi bila dalam group ni... kadang-kadang boleh jadi lain. Last-last bergaduh dan keluar dari group dalam keadaan yang sakit hati!

Tapi... ada juga cerita di mana ahli-ahli group itu dah jadi cerita macam kat FB pula. Maklumlah, bila duk usik-mengusik antara lelaki dan wanita, terutama bila tak ada pasangannya dalam group itu, tahu-tahu dah lain pula ceritanya. Tahu-tahu dah ada private call pula di mana ahli lain dalam group tak tahu-menahu. Memang berbahaya tu. Kalau kena kat orang, kita gelaklah, tapi kalau kena kat batang hidung... mesti marah, kan?

Walhasil, jadi lelaki dan wanita ni, kita mesti sentiasa beringat dan sentiasa jaga tata-tertib dan maruah diri. Jangan dek kerana seronok yang sedikit tu sampaikan runtuh pula rumah tangga kita. Itu bermakna yang kita ni tak tahu menilai apa yang baik dan apa pula yang tak elok, atau mungkin kita ni memang jenis lemah dan tak berapa cerdik. Sorry ya.

Okeylah... nak rehat, sebab esok nak jalan jauh. Wassalam and take care.


Drama Dan Drama Lagi!

Assalam

Petang semalam, ketika jam 2.30 petang, di TV Al Hijrah ada ulangtayang drama Selamat Malam Kekasih, episod ke 10. Episod itu memang popular dan kelakar. Ramai yang masuk ke blog saya sebaik sahaja drama habis. Hahaha... memang lucu, sebab walaupun dah berkali-kali diulangtayang drama itu, masih ramai yang nak tengok dan enjoy menontonnya. Terima kasih kepada pelakon Aidil Aziz dan Sharifah Anis kerana berjaya membawa watak Misyal dan Maya.

Malam tadi pula, kami ke RTM untuk buat promosi drama Setulus Janji di Galaksimuzik.rtm.com.my
Saya dan Fida Ibrahim yang membawa watak Insyarah yang berada di konti. Galaksimuzik bersiar secara live dan online. Memang canggihlah! Maknannya mereka radio tapi boleh dapat visual.

Dah lama tak jumpa Fida, bila jumpa banyaklah cerita kami. Fida pun memang friendly. Kebetulan pelakon-pelakon yang lain tak dapat join sekali kerana masing-masing ada hal atau tugasan. Katanya Azli Khairi ada di Brunei, Shah Iskandar pula sibuk shooting. Kata Fida, ramai juga yang memarahnya sebagai Insyirah kerana tak setia pada Aiman. "Ya, kak... dia orang marahkan saya. Kata dia orang, apalah Insyirah ni... tak setia langsung! Mentang-mentanglah Aiman dah tak berduit."

Saya ketawa mendengar celoteh Fida. Iyalah kalau tak pernah baca novel Setulus Janji, pasti tak tahu mengapa Insyirah kelihatan seperti tak setia. Sebab tu lah kena baca novelnya... barulah dapat rasa apa yang Insyirah rasa.

Okeylah... bagi anda yang tak ke mana-mana, jom tengok drama SMK petang nanti dan sambung tengok drama Setulus Janji hujung minggu ni, setiap 7.05 malam Sabtu dan Ahad. Kalau miss, boleh saja pergi ke website RTM untuk menontonnya... no problem!




                                                                  Rafida Ibrahim

Promosi Drama Setulus Janji

Assalam

Promosi drama Setulus Janji di Galaksimuzik.rtm.com.my

Saya bersama DJ Alif dan Fida Ibrahim yang membawa watak Insyirah dalam drama Setulus Janji.




Monday, November 02, 2015

On Air Di Galaksimuzik Malam Ini.

Assalam

Semoga kita bermula kerja dengan semangat yang tinggi, insyaa-Allah.

Semalam, saya sibuk di Lenggeng kerana ada kenduri cukur jambul. Kali pertama saya dan suami hadirkan diri dalam majlis orang kampung di kawasan tanah kebun kami. Alhamdulillah, seronok bersembang-sembang dengan orang kampung berkenaan. Sedap juga makan kari kambing kampung yang dimasak oleh orang kampung. Kaw kaw, walaupun bukan orang utara yang masak kari. Syukur alhamdulillah. Petangnya pula, kami lepak-lepak dengan beberapa orang muda kampung untuk bercerita tentang potensi kampung. Memang banyak ceritanya.

Masa kami bersembang tu, hujan turun... tapi best giler! kerana selepas itu kami dikelilingi kabus tebal. Memang sedap betul duduk di kampung ni. Syukur di atas nikmat pemberian Allah swt.

Malam Sabtu dan Ahad, kami sempat menonton drama Setulus Janji. So far so good. Saya nampak yang Fida dan Shah Iskandar berlakon dengan bersungguh-sungguh, terasa akan kehadiran Insyirah dan Aiman. Siapa yang miss tu... boleh saja ke link Pereka cerita yang saya dah bagi di entri sebelum ini.

Malam ini, insyaa-Allah saya dan Fida Ibrahim akan berada 'on air' di Galaksimuzik.rtm.com.my pada jam 9.00 malam untuk bercerita tentang drama Setulus Janji. Dikatakan juga program ini boleh juga dilihat secara visual online. Jadi... kalau anda ada kesempatan, jom dengar-dengar Galaksimuzik malam ini okey?

Semoga kita dilindungi Allah swt. Wassalam.