Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, October 16, 2013

Doa Yang Terbaik

Assalam

Semalam, kami semua menyambut Hari Raya Aidil Adha di rumah adik saya di Gombak. Kami berkumpul di sana buat pertama kalinya. Seronok juga. Sayalah paling seronok sebab dapat relaks di hari raya. Alhamdulillah, semuanya baik-baik belaka. Kami sampai di rumah semula sekitar 8.00 malam. Lepas solat, kami relaks-relaks sahaja.

Saya dan suami, kami sempat bualkan tentang 'doa'. Kadang-kadang, bila kita berdoa, kita sering minta itu dan ini daripada Allah SWT. Memang bagus begitu kerana walaupun Allah tahu apa yang kita mahukan, Allah tetap mahu kita berdoa pada-Nya, biar kita meminta-minta kerana kita ini merupakan manusia kerdil yang mengharapkan belas kasihan Tuhan yang maha kuasa.

Kadang-kadang juga, bila kita berdoa, terutama bila kita tunaikan solat istikhorah, kita terlalu rigid dengan apa yang kita mahukan. Kita minta Allah tunjukkan A atau B, kadang-kadang kita minta Allah berikan 'A' kerana itu yang kita mahukan. Mungkin kerana itu juga kita sangka 'A' yang kita mahukan merupakan sesuatu yang diizinkan Allah, maka kita dipermudahkan untuk mendapat 'A' seperti yang dimahukan.

Saya masih ingat lagi ketika saya tunaikan ibadah umrah beberapa tahun yang lalu. Beberapa orang pembaca saya meminta saya doakan mereka di depan Kaabah. Kebanyakan mereka minta itu dan ini. Saya doakan semuanya, tetapi saya minta dan pohon pada Allah agar berikan mereka yang 'terbaik'. Mungkin ketika itu mereka sangkakan 'A' atau 'B' merupakan yang terbaik, tetapi sebenarnya Allah SWT lebih mengetahui apa yang paling terbaik untuk mereka.

Bagi saya, sekalipun saya berdoa untuk itu dan ini, saya sentiasa minta Tuhan berikan yang terbaik buat saya di dunia dan akhirat, dan semua orang yang tersayang, kerana sebenarnya kita tidak pernah tahu rahsia Tuhan. Apa yang kita sangkakan baik itu mungkin tidak baik buat kita. Kalau kita percaya Tuhan akan berikan yang terbaik, kita doakanlah begitu, sekalipun ketika lakukan solat Istikhorah. Biar Tuhan berikan kita yang terbaik, walaupun kita tidak terus melihat hikmah dan hidayah-Nya. Masya-Allah.

Saya doakan yang terbaik buat kita semua, terutama mereka yang saya sayang.

Wassalam.