Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, July 31, 2013

Kita Bukan Maksum

Assalam

Semestinya bulan Ramadhan adalah tempoh perjuangan buat kita yang mahu mencari barakah-Nya. Ketika kita berpuasa, bukan sekadar bepuasa daripada makan dan minum, tetapi lidah dan mulut juga kita jaga, dan bagi kita di dunia yang serba canggih, kita jaga jari dan tangan, jangan sampai terkeluar kata-kata yang tidak baik untuk orang lain, termasuklah 'kafir-mengafir' orang dan hal yang lain-lain. Kita di dunia ini bukannya maksum, kecuali mereka yang menjadi utusan Allah SWT, dan dengan itu, sekalipun kita rasa kita bijak dan serba tahu, namun tak mungkin kita tidak terlepas daripada buat kesalahan dan kesilapan, hanya Tuhan Yang Maha Tahu. Wallahuaklam.

Tuesday, July 30, 2013

Episod 7- Drama Selamat Malam Kekasih

Assalam.

Kita sedang berada di peringkat 'special' bulan Ramadhan. Biarlah kita berusaha untuk dapatkan yang terbaik, lalu kita akan buat yang terbaik untuk Allah SWT.

Jangan lupa bagi anda yang follow drama 'Selamat Malam Kekasih', malam ini merupakan episod ke 7, di TV Al Hijrah, jam 10 malam. Kalau tak dapat nak tonton pada jam 10, mungkin anda boleh rekodkan.

Wassalam.


Monday, July 29, 2013

Ulang Tahun Perkahwinan

Assalam.

Hari ini ialah hari ulang tahun perkahwinan saya. Tiga puluh lima tahun yang lampau, pada hari ini saya telah bernikah dengan suami saya. Alhamdulillah, walaupun tidak sempurna, tidak seratus peratus 'excellent', saya tetap bersyukur dengan anugerah yang diberikan Allah SWT buat saya dan suami, juga anak-anak. Ya Allah ya Tuhanku... aku bersyukur teramat sangat. Semoga kami akan terus berkekalan hingga akhir hayat dan ke Jannah, amin.

Wassalam.


Sunday, July 28, 2013

Babi Hutan

 Gambar anak babi hutan - cilok dari yahoo

Assalam

Dua tiga hari ini, saya memang agak sibuk, sebab macam-macam yang harus diuruskan dan kebanyakannya hal personal. Tapi pagi ini, walaupun sibuk, saya terasa nak tulis sesuatu, sebab ada seseorang yang search tentang 'Babi hutan di Kota Seriemas' dan termasuk di blog saya ini... hahaha... kebetulan, saya memang tinggal di Kota Seriemas. Cuma nak bercerita lah, di Kota Seriemas ini, kami dikelilingi hutan kelapa sawit dan juga beberapa buah kampung. Kalau ada four wheel drive, masuklah ke bahagian belakang kawasan kami, pasti akn bertembung dengan monyet, kera dan juga babi hutan!

Ada sekali tu, saya sedang bawa cucu-cucu saya berjalan-jalan (dalam keretalah) dan tak berapa jauh dari rumah saya (tapi kawasan tu agak lapang dan terpencil sedikit), saya nampak seorang penjual ais krim sedang berhenti dan sedang melih sesuatu. Saya pun jadi 'curious', nak tahu juga apa yang sedang dilihatnya. Rupa-rupanya ada empat ekor babi hutan sedang bermain-main, berkejar-kejar di tepi kolam kecil. Sangat comel.

Sebenarnya kita janganlah takut sangat dengan babi hutan tu, kerana binatang itu adalah haiwan liar, mereka pun tak suka pada manusia. Kalau mereka tahu di tempat itu ada manusia mereka tak datang dekat.Tapi kita pula kenalah berjaga-jaga, janganlah merayap dalam kawasan yang kita memang tahu ada dia.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, eloklah jangan kita terlebih cakap, mungkin akan sakitkan hati orang lain. Jadi... saya beredar di sini. Semoga kita teruskan beribadah di bulan yang mulia. Wassalam.

Friday, July 26, 2013

Jom Hayati Kitab Suci Kita!

Assalam,

Sempena Nuzul Al Quran, eloklah kita sama-sama membaca dan menghayati setiap huruf dan ayat, lalu memahami segala maksud yang tersirat di dalam kitab suci yang diturunkan Allah SWT. In syaa Allah, di atas usaha kita itu, kita akan diberkati dan dirahmati Allah SWT. Janganlah jemu membaca Al Quran, tapi biarkan diri sentiasa rindukannya.

Wassalam.


Wednesday, July 24, 2013

15 Puasa


Assalam.

Alhamdulillah, hari ini ialah hari ke 15 Ramadhan, bermakna sudah separuh jalan kita mengerjakan ibadah bulan puasa untuk tahun ini. Setakat ini cuaca agak memberansangkan, cuma sekali-sekala berjerebu. Bila jerebu, tekak kita dan mata kita mungkin sakit sedikit, tapi rasanya masih tidak mengganggu puasa kita, in syaa Allah. Setakat ini, puasa saya juga alhamdulillah. Walaupun saya berdepan dengan 'ekzema' berpunca dari asthma saya, namun masih okey lagi, alhamdulillah.

Adakah anda menulis di bulan Ramadhan bagi mereka yang merupakan penulis? Atau anda tiada masa untuk menulis kerana terlalu sibuk dengan urusan lain?

Saya masih menulis di siang hari, tapi tidak rancak. Saya terpaksa kurangkan kerana ada urusan lain. Di malam hari, memang saya tak tulis. Bila Ramadhan, mungkin rutin kita berubah kerana hendak beri laluan untuk urusan lain yang berkaitan dengan ibadah. Apa pun, apa sekali yang kita mahu lakukan, biarlah kita buat dengan hati yang ikhlas.

Teruskan beribadah di bulan Ramadhan.

Wassalam.

Tuesday, July 23, 2013

Episod Keenam - Drama Selamat Malam Kekasih

Assalam.

Semoga kita sama-sama teruskan perjuangan kita di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Bagi anda yang mempunyai masa, jom kita menonton episod keenam drama Selamat Malam Kekasih yang akan ke udara malam ini jam 10.00 di stesen TV Al Hijrah.

Wassalam.




Monday, July 22, 2013

Dari Jerebu Ke Lenggeng.

 Masjid lama di Lenggeng ni tak jauh dari tempat saya.

Assalam semua.

Alhamdulillah, saya dah tutup pun tawaran untuk dapatkan 'paket angpow' ekslusif yang saya maksudkan seperti  di entri sebelum ini. Selepas ini, saya terpaksa tolak permintaan anda kalau masih ada lagi.

Nampaknya Encik Jerebu dah datang menjenguk lagi. Kawasan saya hari ini memang terasa asap jerebunya, dan terpaksa tutup pintu dan tingkap. Tak ada udara nyaman yang kami nak sedut dari luar lagi. Beginilah nampaknya.

Semalam, saya sempat ke kawasan Lenggeng tak jauh sangat dari tempat saya di Nilai. Satu hari nanti, saya teringin untuk jadikan Lenggeng 'port' kami sekeluarga. Entah mengapa, saya memang suka dengan tempat itu. Walaupun jauh ke dalam, tapi tempatnya cantik. Ada gunung, ada sungai ada kejihauan. Lagipun, taste saya memang macam itu.

Okeylah, di bulan Ramadhan, saya memang tak ada apa sangat nak bercerita. Saya doakan agar kita terus meraih kesempatan untuk melakukan segala ibadah dan amalan baik, semoga Allah SWT menerima amalan  kita in, in syaa Allah.

Wassalam.

Friday, July 19, 2013

Paket Angpow Percuma

Assalam

Seperti yang anda semua maklum, tahun ini alhamdulillah saya menyambut tahun kesepuluh saya bergelar penulis. Untuk menghargai mereka yang menyokong saya selama ini, serta teman dan kenalan, saya ingin memberi 'paket angpow' percuma untuk dijadikan kenangan kita bersama. Sekiranya anda inginkan paket2 ini, anda bole emelkan alamat anda. Sekiranya anda merupakan teman FB saya, sila PM kan alamat anda dan kami akan kirimkan paket2 ini. Untuk makluman, paket ini bukan khusus untuk hari raya, tetapi merupakan paket umum yang anda boleh guna bila nak 'menghulur' ketika pergi ke majlis perkahwinan.

Jangan lupa tau, saya boleh memberi selagi stok masih ada lagi, in syaa Allah.

Wassalam.


Thursday, July 18, 2013

Sihat Sambil Beribadat


Assalam.

Walaupun dalam bulan Ramadhan, rutin harian tetap kena lakukan, termasuklah mengemas rumah. Kalau tak kemas, nanti berlambaklah habuk, lagi payah nak kemas nanti. Baik buat sikit-sikit. Dalam hati, memang rasa nak cari pembantu yang mungkin boleh datang dua kali seminggu (dulu ada, tapi...), malangnya tidak semudah itu. Jadi, hendak tak hendak, buat sahaja sendiri. Apa pun, tetap ada hikmahnya. Tidaklah saya duduk di depan komputer sahaja, tetapi kena buat kerja dan berpeluh-peluh, satu 'exercise' yang bagus! Alhamdulillah, masih Tuhan berikan nikmat ini.

Di rumah saya ini, saya tidak galakkan anak-anak beli makanan luar di bulan Ramadhan. Biar masak sendiri. Biasanya tukang masak rumah kami ialah ibu saya. Sekali-sekala saya akan ke dapur. Sebenarnya bukan saya 'buli' ibu saya, tetapi ibu saya yang suka masak. Jadi, setiap hari kami akan bincangkan menu apa yang perlu disediakan. Kadang-kadang, saya bantu dalam urusan pemanis mulut. Hujung minggu, ibu saya memang tak ke dapur. Masa itu dia berehat. Alhamdulillah, mungkin kerana ibu saya cergas di dapur, dia masih sehat walaupun dalam masa dua tahun ibu saya akan berumur 80 tahun.

Saya percaya, kita sama-sama kena cari jalan untuk berlaku aktif dalam pelbagai hal dalam dunia ini. Jangan manjakan diri hinggakan tak mahu buat apa-apa. Jangan biarkan mata sakit kerana melihat rumah yang tunggang-langgang, jangan biar kesihatan kita terjejas kerana majankan diri untuk jadi malas!

Malah, setiap kali kita lakukan ibadah solat, kita juga ber 'exercise'. Begitu juga bila kita membaca 'al-Quran', kita aktifkan otak kita. Perkara-perkara begini dapat meningkatkan kesihatan kita, wallahuaklam.

Jom kita sama-sama ingatkan diri kita agar lakukan pelbagai benda untuk pastikan kita jadi insan yang sihat selain daripada insan yang rajin beribadat. Wallahuaklam.

Wassalam.

Wednesday, July 17, 2013

Jangan Jadi Bunga Plastik



                             Sekadar Hiasan


Assalam.

Alhamdulillah kita masih di sini untuk kerjakan ibadah puasa dan amalan baik yang lain, in syaa Allah.

Hari ini, saja saya nak bersembang tentang pandangan kita tentang wanita yang bertudung. Mungkin kalau kita tak kenal kepada wanita berkenaan, kita mempunyai andaian sendiri bila melihatnya tidak bertudung atau bertudung. Mungkin juga andaian kita mereka yang bertudung itu jauh lebih baik akhlaknya daripada yang tidak bertudung.

Pun begitu, sebagai manusia kerdil di dunia ini, mungkin kita juga perlu berjaga-jaga kerana tidak semestinya mereka yang bertudung litup itu lebih baik akhlaknya atau budi bahasanya daripada mereka yang tidak bertudung.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya sekadar ingin mengingatkan diri saya sendiri dan juga anda yang berada di luar sana. Kadang-kadang, ada orang mahu berhijrah daripada tidak bertudung untuk bertudung bukan kerana Allah SWT, tetapi lebih untuk meningkatkan imejnya di mata masyarakat, terutama kalau masyarakat mempunyai persepsi yang melambangkan wanita berhijab itu sangat mulia. Alhamdulillah, kalau kita mahu berubah daripada tidak berhijab lalu kita pilih untuk berhijab. Tetapi biarlah kita lakukan itu kerana kita ikhlas sayangkan Allah SWT. Janganlah kita lakukan transformasi kerana kita rasa dengan berhijab kita dapat menarik perhatian masyarakat lalu kita akan jadi lebih popular. Tetapi, sebenarnya niat kita untuk berhijab itu hanyalah untuk keuntungan peribadi dari segi pandangan masyarakat dan populariti.

Ada juga yang pilih untuk berhijab kerana melalui peristiwa kecewa dengan kekasih, lalu bila bertudung, konon-konon dia menunjukkan sikap 'baik' lalu mendapat simpati masyarakat. Dalam hal ini, kalau kita hanya berpura-pura baik, Allah tetap tahu. Janganlah kita terus mendusta diri kita dan juga masyarakat yang melihat. Janganlah berhijab untuk meraih simpati, sedangkan hati kita mungkin belum rela lagi. Janganlah jadi bunga plastik, yang nampak segar dan cantik, tetapi hati sangat 'tiruan'. Paling malang, kalau kita merupakan selebriti yang menjadi idola para remaja di luar sana. Di kaca TV, di majalah dan di surat khabar, kita berlakon seperti terlalu baik, tetapi pada realiti kita hanyalah plastik sahaja, yang berpura-pura suka dan gembira hanya di depan kamera!

Bila kita berpakaian seperti seorang Islam yang baik akhlaknya, maka kita wajib melihatkan akhlak yang baik itu dalam semua keadaan. Kalau kita tipu, Tuhan tetap tahu. Wallahuaklam.

Tuesday, July 16, 2013

Sepakat Indah


                       Sepakat Indah

Assalam.

Seperti biasa, hari Selasa di malam harinya, akan ada drama Selamat Malam Kekasih, yang diadaptasikan dari novel saya di TV Al Hijrah jam 10.00 malam. Malam ini ialah episod kelima. Kalau anda berkesempatan, sila tonton.

Pagi ini, saya nak bercerita tentang satu kawasan yang terletak di antara bandar Kajang dan Bandar Baru Bangi (tak jauh dari seksyen 7). Kawasan itu kami panggil 'Sepakat Indah', merupakan kawasan yang penuh dengan apartmen mencakar langit. Apa yang kelainannya tempat ini ialah kerana kawasan ini merupakan kawasan yang menarik minat mereka yang berketurunanTimur Tengah dan berdekatan dengan kawasan itu, seperti sebahagian Afrika, Turki dan juga Iran. Malah mereka yang berketurunan Pakistan, Aghanistan dan tentunya Arab, sangat suka dengan kawasan ini. Rata-rata, tempat ini didiami oleh mereka yang sedang menuntut pengajian di universiti-universiti dan kolej-kolej di sekitar kawasan itu seperti UKM, UPM, Uniten dan lain-lain.

Kerana itu juga, kedai-kedai di kawasan itu kelihatan seperti di negara-negara Arab. Ada banyak restoran Arab dan juga kedai runcit Arab. Kalau anda perlukan bahan-bahan untuk masak masakan Arab, memang eloklah kalau ke kawasan itu. Semuanya ada. Malah, makanan kering seperti kurma, buah tin, buah zaitun, minyak sapi dan macam-macam lagi sangat muarh di situ. Air jus (kotak atau tin dan botol) pelbagai rasa juga sangat murah dan sedap, tidak seperti di pasar raya. Sekali-sekala saya suka ke sana. Sangat mudah nak cari roti Arab,bukan sekadar murah. Saya juga suka beli kacang humus yang dah siap selain daripada air jus yang macam-macam ada.

Saya sekadar mencapaikan maklumat bagi mereka yang tidak tahu tentang tempat ini. Kalau anda tinggal di sekitar kawasan Bangi, Serdang atau Kajang, malah Putrajaya pun okey lagi, mungkin anda boleh cuba pergi ke kawasan Sepakat Indah ini. Wallahukalam.

Monday, July 15, 2013

Makan-Makan di Bulan Ramadhan


                        Sekadar hiasan


Assalam.

Semalam, semasa menonton slot Syahadah di TV1, saya mendapat maklumat bahawa ramai rakyat Belanda kulit putih memilih untuk peluk agama Islam ketika tragedi September 11, yang berlaku di kota New York lebih sepuluh tahun yang lampau. Saya masih ingat ketika itu, banyak insan di dunia ini memandang serong pada agama Islam kerana mereka beranggapan bahawa orang Islam itu adalah pengganas yang suka membunuh. Namun, dengan kuasa Allah SWT, ramai orang bukan Islam mula fikirkan tentang hal itu. Kerana itu juga, mereka cuba mendapat maklumat tentang Islam dan akhirnya, mereka mula terasa bahawa mereka perlu jadi orang Islam kerana dengan agama ini, manusia akan dekat dengan Penciptanya. Masya-Allah.

Apa pun, jom kita bersembang tentang semangat puasa di negara kita ini. Rata-rata, di bulan Ramadhan kita dapat lihat seolah-olah ada satu pesta makanan yang sedang berlaku di sekeliling kita, mungkin di rumah kita juga. Ada berlambak-lambak bazar Ramadhan. Ada juga hidangan 'mewah' di hotel-hotel. Terlalu banyak makanan yang dibazirkan, kerana rata-rata selera dan nafsu manusia di siang hari tak mampu dikawal. Paling malang ada juga pembaziran yang berlaku di kawasan masjid. Sedih juga kalau kita melihat ada masjid-masjid di kawasan mewah menyediakan makanan yang agak mewah juga, sedangkan yang dapat menikmati makanan mewah itu bukan orang miskin, tetapi penduduk di kawasan itu yang sedia mewah.

Mungkin kita boleh fikirkan tentang hal ini, bagaimana kita dapat menghayati bulan Ramadhan dengan lebih sempurna, tanpa lakukan pembaziran yang bertentangan dengan semangat Ramadhan itu. Subhanallah. Wallahuaklam.

Sunday, July 14, 2013

Bila Mereka Jadi Orang Islam


Orang Islam di negara Belanda - termasuk pemain bola

Assalam.

Di bulan Ramadhan yang mulia ini, rutin harian kita juga turut jadi berbeza. Semestinya kerana kita berpuasa di siang hari dan makan hanya di waktu malam. Selain itu, kebanyakan kita akan cuba buat amalan-amalan baik, tunaikan ibadah sebanyak mungkin. Dalam hal ini, saya tak mahu bincangkan sangat tentang apa saya buat, kerana sebenarnya, apa sahaja yang kita lakukan di bulan Ramadhan dan juga di waktu lain, biar Allah SWT sahaja yang tahu. Bagi pandangan saya, mungkin tak ikhlas sangat kalau saya bercerita tentang hal-hal peribadi itu, sedangkan kita lakukan untuk Allah SWT, bukan untuk orang lain pun.

Apa pun, saya suka bulan Ramadhan kerana banyak stesen TV yang menyediakan program tambahan khas untuk Ramadhan. Saya suka melihat keadaan di luar negara terutama ketika mereka berpuasa. Kalau tidak ada program-program seperti ini, kita di Malaysia mungkin tak tahu sangat. Misalnya dalam program 'Syahadah' di TV 1, saya sempat mendapat info tentang masyarakat Muslim yang berada di negara Belanda dan semestinya saya agak terkejut bila diberitahu bahawa sekarang ini negara Holland atau Netherlands itu mempunyai jumlah Muslim melebihi sejuta. Paling menakjubkan kerana ramai orang kulit putih Belanda yang sudah bertukar agama dan memilih Islam! Alhamdulillah.

Saya melihat aktiviti mereka di sana, seperti memberi sedekah makanan di tempat-tempat pelarian orang luar, seperti mereka yang lari dari Iraq dan sebagainya. Setiap hari ada seorang wanita Belanda Muslimah yang menghantar makanan kepada mereka. Masya-Allah.

Saya juga difahamkan bahawa 20 buah gereja di Belanda telah dibeli oleh orang Islam untuk dijadikan masjid. Selain daripada masjid2 itu, masih ada masjid lain yang dibina oleh orang-orang Muslim di sana. Kebanyakan orang Islam, selain daripada orang asal Belanda, adalah kelompok keturunan orang Turki, orang Indonesia dan juga orang Surinam. Mereka sudah menetap di ngara Belanda dan sangat selesa mengamalkan agama Islam. Syukur alhamdulillah. Dulu2, ketika saya ke Belanda, memang sukar untuk temui orang Islam, kerana mungkin tak ramai dan mungkin juga mereka tidak dapat amalkan ajaran Islam seperti sekarang ini.

Saya juga mendengar cerita tentang seorang aktivis Belanda yang kuat menentang agama Islam, dan akhirnya apabila dia duduk dan mendengar ceramah dan juga membaca buku tentang Islam, dia dengan rela hati memeluk agama Allah SWT dan dikhabarkan sedang berada di Mekah dan Madinah sekarang ini. Subhanallah.

Mungkin akan menjadi lebih indah sekiranya stesen TV di Malaysia ini banyak menyediakan slot-slot seperti ini bukan hanya di bulan Ramadhan, tetapi di bulan-bulan lain sepanjang tahun. Kerana saya percaya, slot sebegini mampu membuat kita di Malaysia mencerminkan diri kita yang sejak dulu lagi mengamal agama Islam, tetapi tahap penghayatan kita mungkin tidak seindah saudara-saudara baru di luar sana. Wallahuaklam.

Friday, July 12, 2013

Tulis Yang Baik, Baca Yang Baik

                     Bunga Tulip

Assalam.

Di bulan yang mulia, di hari yang baik, sama-samalah kita berdoa agar Tuhan lindungi kita daripada segala kejahatan dan selamatkan kita dunia dan akhirat.

Di bulan Ramadhan ini, kadang-kadang rutin harian kita berubah, mengikut kesesuaian apa yang kita harus lakukan. In syaa Allah, apa sekalipun yang kita mahu lakukan, biarlah kita lakukan dengan perasaan penuh takwa.

Bagi mereka yang menulis, teruskanlah menulis yang baik-baik dan bagi mereka yang membaca, bacalah bahan yang baik-baik, semoga kita tidak terperangkap dengan pemikiran yang akan merasuk jiwa, lalu melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Wallahuaklam.

Wassalam.

Thursday, July 11, 2013

Elok Diam Sahaja

   Lebih baik tutup mulut daripada mengata-ngata


Assalamualaikum.

Ya pagi tadi saya telah dijemput menjadi tetamu program 'Assalamualaikum' di TV Al Hijrah. Saya tiba di stesen itu lambat sebab hari ini Lebuh Raya KL-Seremban memang jem gila. Sampai di tol Sungai Besi, kenderaan tak bergerak langsung. Mujurlah saya cool lah jugak, tak adalah panik sangat. Produser 'Assalamulaikum' call saya berkali-kali untuk pastikan saya tetap akan datang. Alhamdulillah, walaupun terlambat sikit, saya tiba juga. Mujur juga anak perempuan saya yang bawak kereta. Saya bersyukur juga, bila di depan kamera saya tak gementar, mungkin sempat kawal semput naik tangga menuju ke lobi stesen TV itu. Apa pun, semuanya berjalan lancar, alhamdulillah.

Okeylah, hari ini kita berpuasa untuk hari kedua. Ada negara-negara di luar sana, yang sudah pun berpuasa untuk hari ketiga. Tak apa, yang penting kita tunaikan tanggungjawab kita sebaik mungkin. Dalam hal ini, sekali lagi saya nak sentuh tentang cara kita bercakap dan juga menyampaikan sesuatu yang mungkin kita tak gemar tentang sesuatu hal itu. Saya rasa, sebagai orang Islam, kita wajib jaga akhlak kita, jangan sampai terkeluar kata-kata kesat tentang seseorang atau tentang hal yang ada kaitan dengan manusia, misalnya syarikat tempat kerja, majikan kita, saudara mara kita, karya orang, atau apa sahaja. Sekalipun kita tak puas hati dengan sesuatu itu, elok kita runding atau cakap baik-baik, atau diamkan diri sahaja, tanpa komen yang pedas atau menyinggungkan mana-mana hati, terutama di laman-laman sosial di mana orang lain akan membaca atau melihat. Bila kita mengaibkan orang dengan apa cara sekalipun, walau sebesar zarrah, pasti kita juga sedang mengaibkan diri kita sendiri. Tanpa sedar, kita sedang mengkhabarkan kepada orang lain tentang sikap angkuh kita itu. Nauzubillah.

Kadang-kadang, jauh lagi baik untuk tidak berkata apa-apa, walaupun kita tak suka.

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, biarlah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT memberi barakah dan rahmat, agar kita diizinkan untuk mempunyai akhlak yang baik, sentiasa menjaga mulut dan jari (di dunia laman sosial), jaga juga hati. In syaa Allah.

Wassalam.

Wednesday, July 10, 2013

Sambung Cerita S.A.


                       Sekadar hiasan

Assalamualaikum.

Selamat berpuasa untuk semua yang berkunjung ke mari. Pagi ini, saya bercadang untuk sambung kisah S.A. yang pernah saya ceritakan di entri tarikh 3 Julai, 2013. Sebelum itu, saya ingin maklumkan bahawa esok pagi, saya akan berada di program 'Assalamualaikum' TV Al Hijrah, jam 8.00 pagi. Kalau anda ada kesempatan, jomlah tonton!

Okey, kisah S.A. yang saya ceritakan tidak berakhir di situ sahaja. Katanya kepada saya, "Masa saya budak-budak, saya teramat rindukan sebuah keluarga yang mampu memberi kasih sayang kepada saya dan adik beradik. Kami terlalu dahagakan kasih daripada seorang ibu dan ayah, tapi kami payah nak rasa semua itu." Mungkin kerana itu, bila sahaja S.A. bertemu dengan F, S.A. jatuh hati dan sangat senang dengan keluarga F yang menyayangi dirinya seadanya. Dalam usia yang muda (ketika masih menuntut di luar negara) S.A. buat keputusan untuk menikah dengan F. Ketika itu, S.A. masih berada di luar negara, begitu juga F (mereka berada di negara yang berbeza) Masing-masing pulang bercuti dan langsung menikah di Malaysia. Selepas itu, masing-masing sambung belajar.

Akhirnya, S.A. pulang ke Malaysia dan mula berkhidmat, begitu juga dengan suaminya F. S.A. merasa kebahagiaan kerana keluarga F sangat menyayanginya terutama ibu mertua dan ibu saudara suaminya. Ibu mertua S.A. mengisi ruang kosong di hatinya dan katanya, "Mak mertua saya layan saya macam puteri. Saya sayang sangat keluarga F."

Saya melihat foto F, memang sangat segak orangnya. Malah, sangat bersesuaian dengan S.A. yang mempunyai lesung pipit di kedua pipinya. Kata S.A., suaminya itu sangat baik hati dan kebetulan, S.A. sangat sibuk dengan tugasnya. Memang saya faham, jawatan S.A memerlukan tumpuan dan masanya. "Saya selalu sibuk... nak buat macam mana, dah memang kerja saya."

S.A. berkahwin dengan F selama lebih empat tahun bila tiba-tiba sahaja dia mendapat panggilan telefon daripada suaminya itu. Katanya, "S.A.... saya tak mampu untuk menyayangi awak lagi kerana sekarang ini hati saya sudah berada dengan A."

A merupakan kawan lama F. Kata S.A. mungkin suatu ketika dahulu, F pernah meminati A, tapi tak menjadi. A sudah pun berkahwin dengan orang lain dan merupakan isteri kedua. Mungkin juga A sedang berdepan dengan masala rumah tangga, dan F dijadikan tempat mengadu. Tahu-tahu, mereka sudah berada di alam percintaan. Kerana itu,  F terpaksa melepaskan S.A. Maka remuklah hati dan perasaa S.A.

"Saya jadi bingung sekejap. Saya tak tahu pun yang kedua-dua mereka sedang ada 'affair'... saya tak sedar. Bila tahu, saya rasa macam nak mati aje..."

Ibu mertua S.A. mengamuk bila tahu yang F mahu mencerai S.A. dan dia tidak mahu menerima A. Namun apakan dayanya. A bercerai dengan suaminya dan baru baru ini berkahwin dengan F. A sudah mempunyai seorang cahaya mata.

"Saya tak ada anak, sebab F kata dia belum bersedia untuk pikul tanggungjawab sebagai ayah. Tahu-tahu dia berkahwin dengan A dan terima anak A dengan baik. Hancur hati saya... sebab saya tinggal seorang diri."

Sudah tiga tahun S.A. berpisah dengan suaminya itu dan kini, dia hidup bersendirian. Kisah S.A., bagaikan episod dalam sebuah drama, tetapi itulah realiti hidupnya.

"Saya tetap bersyukur kerana Tuhan izinkan saya merasa sebuah kebahagiaan walaupun sekadar sementara sahaja. Lagipun... apa yang abadi di dunia ini? Tak ada, kan? Semuanya sementara. Tapi... saya harap suatu hari nanti, hati saya akan terbuka untuk terima orang lain pula."

Saya sangat bersimpati pada wanita muda ini. Banyak ujiannya, namun hatinya tetap cekal.

"Banyak lagi orang lain yang jauh lagi susah daripada saya. Susah-susah saya pun, masih ada kerja yang baik. Ada bumbung, ada makanan yang cukup, ada kenderaan sendiri... alhamdulillah. Jauh lagi baik dari dulu. Cuma kadang-kadang saya berasa sunyi dan kosong."


Tuesday, July 09, 2013

Selamat Malam Kekasih - Kemunculan Scha Al Yahya

Assalam.

Ada yang mengingatkan saya, "Kak Aina bila nak sambung cerita S.A tu?"

Hehe.... bukan lupa, tapi nak tarik nafas dalam-dalam dulu. Nanti Kak Aina akan sambung ya.

Bagi peminat drama Selama Malam Kekasih, jangan lupa untuk menonton episod keempat pada malam ini di TV Al Hijrah, jam 10.00 malam. Selepas buat tarawikh yang pertama malam ini, relakslah sekejap sambil menonton sambungan SMK. Kalau anda nak tahu, sebenarnya Scha Al Yahya yang hendak berlakon dalam drama ini kerana akan berhijab (mungkin nak berjinak-jinak kot), tetapi malangnya Scha tak berkesempatan untuk berlakon dan memegang watak yang lebih kuat kerana komitmennya di tempat lain. Apa pun, jom kita tengok Scha berlakon malam ini.

Sekali lagi kita sama-sama bersyukur di atas ketibaan Ramadhan, semoga kita dapat lakukan ibadah dengan hati yang tenang dan senang. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,

Wassalam.

     Scha Al Yahya - sebagai Liyana dalam drama SMK

Monday, July 08, 2013

Marhaban ya Ramadhan

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, dah selamat berkumpul di Kuala Kangsar dan dah selamat pun pulang ke Nilai. Rahmat Tuhan kerana mengizinkan kami untuk mengeratkan silaturahim antara ahli keluarga, yang jauh dan dekat, yang begitu dan begini. Maklumlah, keluarga besar, bukannya mudah nak dikumpulkan. Masih ramai yang tak dapat hadir, in syaa Allah lain kali kita cuba lagi. Apa pun, alhamdulillah dapat balik kampung, tengok tempat-tempat yang penuh dengan nostalgia. Round Sungai Perak  naik bot beraamai-ramai. Makan malam, makan pagi, tengah hari beramai-ramai. Riuh rendah terutama dengan cucu-cucu kami, berlari sana si, adi Ulu Kenas bermand-manda. Maklumlah, budak-budak tu memang jarang2 ke sungai. Kami juga menziarahi pusara arwah ayah kami dan kaum kerabat yang lain, sertake Sekolah Agama di Ketior. Macam-macam lagi aktiviti yang diaturkan dan semuanya berjalan lancar. Sekali lagi alhamdulillah.

Sama-sama kita menyambut Ramadhan al Mubarak, semoga kita dapat tunaikan kewajipan dengan sempurna, in syaa Allah. Marhaban ya Ramadhan.

Wassalam.

PS: Gambar kami pada malam pertama di Kuala Kangsar. Dinner di tepi Sungai Perak.

        Adik beradik perempuan
      Cucu-cucu menyanyi
                        Kaum Wanita
        Kaum lelaki veteran sahaja
                      makan Kuale
                        Adik dan abang saya
                          Nana and Firas
                         The ladies
                          Niloufar sedang dibuai mimpi

                      Adik saya dan abang saya
                               Ahli keluarga saya
                        Di pusara arwah ayah kami

Friday, July 05, 2013

Balik Kuale!




Assalam

Semalam, saya agak kesibukan. Itu yang tak sempat nak sambung cerita. Mungkin Isnin nanti saya akan sambung cerita tentang S.A., sebab hari ini, in syaa Allah saya akan pulang ke kampung, ia itu ke Kuala Kangsar, Perak Kami adik beradik akan berkumpul di sana buat pertama kalinya. Dijangka sekitar 82 orang akan hadir dalam perjumpaan 3 hari dua malam ini. Pelbagai aktiviti sudah disediakan oleh pihak penganjur, ia itu adik saya, Fikri. Kami terpaksa duduk di dua tempat, satu di rumah rehat dan satu lagi di Lakeside Resort, sebab tak muat  di satu tempat sahaja. Rumah kampung kami memang dah lama tak ada, yang ada hanya tapaknya sahaja. Tentu sekali masih ada kampung.

In syaa Allah, kami akan ke pusara Allahyarham ayahnda kami dan kerabat yang lain yang dikebumikan di situ. Kami juga akan ke sebuah sekolah agama, kemudian ke Ulu Kenas (tempat lepak kami adik beradik semasa budak-budak dulu). Kami akan meronda naik bot di Sungai Perak, dan macam-macam aktiviti yang lain. Semoga perjumpaan ini akan mengukuhkan silaturrahim kami sekeluarga besar. Kalau nak tahu, masih ada ramai lagi ahli keluarga kami yang tak hadir kerana tak berkesempatan dan juga kerana jarak yang jauh.

Semoga kami mendapat keberkatan Allah SWT, in syaa Allah.

Wassalam.

Wednesday, July 03, 2013

Sebuah Cerita Menarik Tentang S.A.


       Sekadar hiasan - cilok dari yahoo

Assalamualaikum

Semua penulis cuba nak buat cerita yang best-best, tapi kadang-kadang kita rasa best, mungkin orang lain tidak begitu. Kadang-kadang memang ada pembaca yang suka cerita kita, maklumlah, biasanya juga kita suka apa-apa cerita yang ada kena-mengena dengan kita. Cerita macam itulah kita kata best. Tapi... lain orang lain pula cita rasanya. Sebagai penulis, saya dah biasa sangat mendengarnya.

Apa pun, saya nak bercerita sedikit tentang sesuatu yang berlaku pada saya baru-baru ini. Saya bertemu dengan seseorang yang belum pernah saya jumpa sebelum ini, namun saya pernah dengar tentangnya. Biar saya namakan dia sebagai  S. A. Dia mempunyai sebuah latar belakang yang penuh dengan drama yang agak trajis. Sejak usianya 7 tahun, dia dan adik-beradiknya (7 beradik) telah berdepan dengan sebuah 'perceraian' antara ibu dan bapanya. Sejak itu, mereka terumbang-ambing. Ayah tidak benarkan mereka berjumpa dengan ibu lagi. Namun, ke mana sahaja mereka pergi, tiada yang suka kerana mereka 'ramai'... macam kereta api! Kata S.A. kepada saya, "Saya biasa buat kerja macam-macam sejak kecil lagi. Jual kuih rayalah, kerja kat kedai lah. Tidur pun merata-rata. Tidur kat bus stop pun pernah."

Bila saya dengar ceritanya, kecut terasa di ulu hati, membayangkan kanak-kanak yang terpaksa lalui sebuah kehidupan yang memeritkan.

"Bila besar sikit, saya selalu kena pukul dengan ayah sampai berlebam-lebam. Sebenarnya ayah nak lepaskan geram pada emak saya. Kebetulan, saya yang paling sayangkan emak. Jadi, sayalah yang jadi mangsa."

Suatu ketika, S.A. lari dan tinggalkan rumahnya kerana tak sanggup dihentam oleh ayahnya lagi. "Masa tu saya dah form four dan bersekolah asrama penuh. Saya terus tinggalkan rumah dan tak mahu pulang lagi."

Tapi, dengan kuasa Allah SWT, S.A., seorang anak yang pintar, telah berjaya dalam bidang akademik dan kerana kepintarannya, dia telah mendapat biasaiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang profesional di luar negara.

"Saya hairanlah... macam mana awak boleh belajar dalam keadaan yang macam itu?" Itulah soalan saya padanya.

"Saya pun tak tahu... anugerah Tuhan pada saya. Walaupun macam-macam yang dah jadi pada saya dan adik beradik, kami tetap belajar dan berjaya dalam pelajaran."

Hari ini, S.A. merupakan seorang wanita muda yang berjaya dalam bidang kerjayanya. Tetapi masih ada cerita tentangnya lagi. Saya akan sambung lagi, in syaa Allah.

Wassalam.

Tuesday, July 02, 2013

Episod Tiga Selamat Malam Kekasih, Jom Tonton!

Assalam.

Jangan lupa tonton episod ketiga Selamat Malam Kekasih, jam 10.00 malam di TV AL Hijrah.!


Monday, July 01, 2013

Perginya Kekandaku

Assalamualaikum.

Dah lama saya tak update blog ni, memang saya terlalu sibuk. Ke Utara dan juga ke Selatan. Namun dalam semua hal yang merupakan sebuah kesibukan, tentunya hal kepulangan ke rahmatullah kekanda saya, Asmah Emir, merupakan agenda teratas sekali. Kekanda saya sememangnya tinggal di Alor Star, walaupun dia dilahirkan di Indonesia (ibunya rakyat Indonesia). Sepanjang usia saya, saya hanya tahu bahawa Kak Asmah tinggal di Alor Star. Dalam ramai adik beradik kami yang juga ramai, Kak Asmah lah yang mempunyai antara banyak anak. Anaknya seramai 13 orang, salah seorang, sudah pun meninggal dunia. Orang kata bila dah banyak anak semestinya banyak cucu juga.

Ketika saya ke Alor Star untuk melawat Kak Asmah yang semasa itu sedang gering, sempat saya bertemu dengan anak-anak saudara saya yang kebanyakannya dah lama saya tak jumpa. Saya juga berjumpa dengan cucu-cucunya dan salah seorang telah beritahu saya yang dia tinggal tidak jauh dari tempat saya sekarang. Secara automatik, kami jadi rapat dalam tempoh singkat saya berada di Alor Star.

Sungguhpun Kak Asmah sudah tiada lagi, namun saya harapkan pemergiannya itu juga membawa rahmat kepada kami ahli keluargnya. Yang jauh menjadi dekat dan rapat.

Saya doakan roh kakak saya aman di alam barzakh. Semoga dia diampunkan Tuhan di atas segala dosa-dosanya, rohnya dirahmati Allah SWT dan semoga anak-anak serta cucu-cicitnya, adik-beradiknya akan sentiasa mendoakan Kak Asmah yang kami sayangi.

Sebuah kematian itu sebenarnya adalah satu peringatan buat kita yang hidup. Dunia ini hanya sementara. Lebih baik kita jauhkan segala kejahatan dan buatlah sebanyak mungkin amalan-amalan mulia, semoga kita dilindungi Allah SWT dunia dan akhirat. Ameen.

Al Fatihah buat roh Kak Asmah Emir.