Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Saturday, November 26, 2011

Terasa Malu Dengar Ceramah

      Gambar sekadar hiasan - tiada kaitan dengan entri


Salam

Saya nak tergelak juga bila membaca beberapa blog tentang kursus kahwin bagi pasangan yang hendak berkahwin yang disediakan oleh Jabatan Agama. Bukannya apa, macam-macam yang diceritakan oleh mereka yang menghadiri kursus. Rata-rata mengatakan, tak hadir kursus tu pun tak apa, sebab tak ada apa sangat yang mereka dapat. Ramai juga yang bercerita tentang cara 'ustaz-ustaz' menyampaikan kursus tentang persediaan kahwin. Mungkin kerana nak menyuruh peserta sentiasa dengar apa yang mereka cakap, maka banyak juga yang guna strategi 'cerita mengarut', mengharapkan peserta jangan tertidur.

Ada juga peserta perempuan mengatakan bahawa mereka terasa malu bila mendengar kisah-kisah 'semi lucah' yang diceritakan 'ustaz-ustaz' berkenaan. Ada tu kata, tak tahu nak letak muka di mana. Mungkin ada yang seronok mendengar kisah-kisah dalam kelambu, tetapi ada yang tak selesa. Maklumlah, bukan semua orang kepala otaknya jenis yang 'lucah'.

Saya sangatlah terkejut bila saya membaca kisah yang disampaikan oleh seorang blogger lelaki yang pernah menghadiri kursus kahwin. Katanya dalam blognya, dia berasa pelik bila penceramah sibuk bercerita tentang penceraian, seolah-olah bila berkahwin kita juga kena bersedia untuk bercerai. Katanya, sepatutnya penceramah ambil berat untuk memberi motivasi kepada peserta supaya menjaga tanggungjawab masing-masing sebagai pasangan yang berkahwin. Sepatutnya juga, ceritalah benda-benda baik supaya pasangan rasa seronok untuk masuk alam rumah tangga. Yang paling pelik bagi saya, bila blogger yang sama bercerita tentang seorang ustazah (yang masih muda) yang memberi ceramah dalam penyampaian kursus yang dihadiri itu, dan suka sangat bercerita kisah-kisah lucah. Malah, berani menyebut benda-benda 'lucah' hinggakan peserta lelaki tersipu-sipu, berasa malu. Tak tahulah bagaimana pula perasaan peserta perempuan.

Mungkin juga tujuan 'ustazah' itu sekadar nak buat jenaka agaknya, tetapi memang tak kenalah. Takkan nak buat lawak pun kena buat cerita lucah sekalipun kisah yang diceritakan tu memang betul. Tak elok benar bila seorang 'ustazah' ghairah bercerita tentang hal-hal dalam kelambu (perhubungan seks) dan cara penyampaiannya itu macam nak suruh peserta 'enjoy' mendengar.

 Aduhai, tak tahulah saya nak cakap macam mana. Bila saya baca pun saya jadi malu, sebab ada orang perempuan yang berkelakuan begitu.

Saya percaya bukan semua kursus kahwin yang dianjurkan itu jadinya begitu, tetapi kalau ada yang macam tu, memang buang masalah kita. Bukan setakat buang masa, buang duit juga, terutama buat mereka yang tidak mampu untuk bazirkan duit secara itu. Kalau kita hadir kursus bagi persiapan untuk kahwin, tetapi bila keluar dari tempat kursus, semangat jadi kurang, itu memang sah-sah lah tak bagus namanya. Biarlah bila peserta datang kursus, bila keluar semangat mereka jadi lebih tinggi dan tahu akan tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Wallahua'lam.