Ada rahsia ke?
Salam
Semalam, hujan lebat giler. Sedang saya lepak dengan seorang jiran (konon-konon nak ke rumah seorang teman, tetapi malangnya dia tidak ada di rumah) dalam hujan yang lebat (kami terperangkap tak dapat nak keluar), kami dapat berita daripada seorang jiran lain bahawa salah satu rumah jiran kami disambar petir lalu terbakar bahagian bumbung rumahnya. Dalam hujan juga, kami bergegas pulang. Masa sampai, bomba juga sampai sama. Mujurlah tidak teruk kebakarannya kerana sempat diselamatkan oleh pihak bomba. Apa-apa pun, kita kena berjaga-jaga dalam keadaan cuaca yang tak menentu ini. Bila nak keluar rumah, pastikan alat-alat elektrik sudah ditutup switchnya.
Pagi ini, saya terbaca berita tentang kematian seorang pecetus 'social network' terbaru yang menjadi alternatif kepada 'Facebook'. Ilya Zhitomiskiy yang berumur 22 tahun dan tiga orang rakan lagi telah berusaha untuk hidupkan 'Diaspora' yang dikatakan mempunyai lebih banyak 'privasi' daripada 'Facebook'. Tak tahulah bagus atau tidaknya. Tetapi bagi saya, kadang-kadang 'social network' yang wujud di alam maya sekarang ini mampu memusnahkan kehidupan para remaja, malah boleh juga musnahkan masa depan orang-orang muda kita, kalau tidak mampu mengawalnya.
Ramai yang mengambil peluang untuk sorokkan rahsia mereka, termasuk 'kekasih gelap', 'aktiviti gelap', perbuatan-perbuatan yang sepatutnya merupakan 'aib' mereka dan pelbagai perkara lain yang boleh 'meruntuhkan' kehidupan mereka. Ramai individu terlalu ghairah dengan 'social network' dan merasakan bahawa mereka tidak 'cool' kalau tak ada laman-laman tertentu di mana mereka menjadi ahlinya. Bagaikan ketinggalan zaman. Tetapi masalah besarnya, bila dah menjadi ahli, mereka (dengan sengaja atau tidak) pun mulalah terlibat dalam perkara-perkara tertentu untuk tambahkan 'nilai cool' bagi tatapan mereka yang berpaut pada rangkaian mereka itu.
Banyak orang muda yang seronok 'menunjuk-nunjuk' aktiviti mereka yang dianggap 'cool' tanpa sedar bahawa perbuatan itu boleh merosakkan 'imej' mereka dan kadang-kadang menonjolkan 'keaiban' mereka sendiri. Rasa bijak ke kalau kita buat macam tu?
Bagi pasangan yang sudah bernikah pula, rangkaian sosial ini kadang-kadang dijadikan tempat untuk menyimpan rahsia. Malangnya, di situ jugalah ia akan melakarkan 'akhlak' individu itu yang sebenar.
Setiap hari kita akan dengar hal-hal yang tidak bermaruah yang tersebar di Internet dan sebagai insan Muslim, kalau kita juga turut terlibat sama, itu menunjukkan bahawa kita tidak mempunyai 'akhlak', sama sahaja seperti mereka yang berada di dunia 'Barat' yang mengamalkan segala 'freedom', di mana akhirnya nanti memporak-perandakan kehidupan. Pandai ke kalau kita amalkan hidup yang macam ni?
Perlukah kita berahsia dengan pasangan hidup kita? Kalau kita berahsia, itu bermakna yang kita tidak jujur dan mungkin juga kita tidak mahu pasangan kita tahu siapa diri kita yang sebenar. Kalau kita jujur, kita tidak akan berahsia dalam apa jua aktiviti yang kita lakukan setiap hari. Tanyalah pada diri, adakah kita jenis manusia yang begitu, yang lebih seronok berahsia, lalu kita lakukan apa sahaja dengan andaian bahawa pasangan hidup kita tak akan tahu? Kalau kita menyimpan rahsia kita di rangkaian sosial yang kita anggap 'cool' itu, tidak mustahil rangkaian itu juga yang akan membongkar 'rahsia buruk' kita itu lalu memaparkan sikap kita yang sebenar! Akhirnya akan tonjolkan kita sebagai individu yang 'bodoh'!
Jadi... berjaga-jagalah dengan apa yang kita lakukan setiap hari. Mungkin kita boleh berahsia dengan pasangan hidup kita atau ibu bapa kita, tetapi mampukah kita berahsia dengan Tuhan yang melihat segala perbuatan 'keji' kita?
Wallahua'lam.