Buatlah apa yang hati kita suka dan apa yang kita tahu Allah akan suka. Buat baik akan dibalas baik...
Nature
Cinta baru dalam hidupku
Followers
Monday, October 10, 2011
Orang Bijak Tahu Bawa Diri
Salam dan selamat pagi.
Teringat pula saya dengan cerita animasi Upin dan Ipin. Bila guru kelasnya masuk ke dalam kelas, ketua murid berkata, "Seeelamat Pagi, Cik Gu," dengan nada suara dan intonasi yang berlagu-lagu, membuatkan kita sentiasa teringat kepada cerita animasi itu. Sekarang ini, saya rajin juga toton Upin dan Ipin, sebab kena 'entertain' cucu-cucu saya! A'ah, budak-budak ni dah pandai tengok TV atau skrin komputer. Malah, dah pandai usik Ipad... huhu. Antara program yang dia orang suka ialah 'Alif Baa Taa', di mana sekumpulan kanak-kanak menghafal Alif Baa Taa sambil menari-nari. Budak-budak ni memang suka, siap bertepuk tangan lagi!
Okeylah, pagi ni saya nak bercerita tentang diri kita. Cuba kita berdiri di depan cermin dan lihat pada wajah kita, lalu bertanyalah pada diri kita, "Aku ni bijak ke tidak?". Kalau kita tak tanya, maka kita tak akan ambil kisah tentang hal ini, dan kerana itu, kita pun tak tahu jawapannya. Jadi, eloklah kita bertanya, mungkin kita jarang-jarang soal diri kita dengan soalan yang begitu. Iyalah, mungkin kita sentiasa anggap diri kita bijak, kan? Buat apa nak tanya lagi?
Memang betul, orang bijak adalah orang yang tahu bawa diri. Kalau orang dulu-dulu, mereka katakan bahawa masuk kandang kambing kita pun mengembek. Takkan masuk kandang kambing kita mengaum? Hahaha... kalau buat macam tu, jawabnya kita tak selamatlah.
Bila kita berkahwin, kita perlu tahu ambil hati mentua dan kaum kerabat suami atau isteri kita. Kita sepatutnya tahu untuk sesuaikan diri dengan mereka, bukan tunggu supaya mereka faham kita. Begitu juga bila kita berkawan, kita kena tahu sesuaikan diri dengan teman-teman, jangan harap supaya orang lain dengar saja cakap kita. Nanti, tak ada siapa yang nak kawan dengan kita!
Bila kita bekerja, sama juga. Kita kena tahu budaya kerja di tempat kerja kita itu. Kita kena bijak bawa diri dengan rakan-rakan kerja, kena tahu jaga hati bos kita dan teman-teman sekerja. Kalau kita suka sakitkan hati orang (tak kira siapa jua), akhirnya nanti kita yang akan makan hati. Lebih mudah sekiranya kita yang pandai bawa diri dan sesuaikan diri kita dengan orang lain.
Kadang-kadang, memang kita boleh buat apa yang kita rasa kita suka buat, tetapi dalam banyak hal, sebagai orang yang bijak, kita perlu tahu mengawal diri agar diri kita tidak tersepit nanti. Kalau kita terlalu ikut hati dan emosi, ke mana sahaja kita pergi, kita tak akan disukai dan akhirnya nanti, pastinya kita akan rugi.
Saya sekadar bercerita, untuk ingatkan diri saya juga.
Pada hujung minggu yang lepas, itulah yang saya perhatikan. Kebetulan, ramai jiran-jiran saya di Laman Kemboja (tempat tinggal saya), Kota Seriemas ni yang buat makan-makan di rumah mereka, jadi kami pun datanglah sebagai tetamu. Alhamdulillah, kami jiran tetangga, masing-masing belajar untuk sesuaikan diri dan kini, kami mampu hidup rukun damai, sayang di antara satu sama lain dan kami lindung-melindungi dan tentunya kami terasa akan keakraban hidup dalam kejiranan yang sangat harmonis. Kalaulah kami masing-masing tak tahu bawa diri, tentulah kami tak dapat hidup begini. Itulah yang saya rasakan.
Okeylah untuk hari ini. Renung-renungkanlah apa yang saya bentangkan ini. Percayalah... kalau hendak hidup aman, belajarlah untuk membawa diri kita, agar tak ada siapa-siapa yang benci pada kita nanti. Insya-Allah, kita sekadar berusaha dan Allah SWT yang menentukannya.
Subscribe to:
Posts (Atom)