Sekadar Hiasan
Salam
Antara subjek yang menjadi tarikan orang luar masuk ke blog saya ialah tentang 'panggilan buat kekasih' atau apa yang kita panggil atau gelar pada orang yang kita sayang. Saya bincangkan isu ini di entri saya bertarikh 1 November, 2009. Hampir setiap hari, ada sahaja yang masuk untuk membaca isu itu. Mungkin bila ada yang baru jatuh cinta dengan seseorang, itulah yang mereka fikirkan. "Nak panggil apa pada si dia?" Hehe... mungkin bila nak kahwin, hal ini menjadi lagi penting. Tak mahulah panggil 'hoi hoi' aje. Jangan ketawa tau, memang ada yang panggil pasangannya macam tu. Agaknya dia malu nak panggil 'abang' atau 'sayang' di depan orang, jadi panggil ajelah 'hoi'. Adoi... kesiannya.
Ada tu pula, masa bercintan-cintun, bukan main lagi. 'Sayang' lah, 'darling' lah, tapi bila dah lama kahwin, dah berubah pulak. 'Eh bapaknya...' Alamak, lagi tak kaw! Ada ke panggil macam tu. Saya tengok, ramai juga yang suka panggil suami atau isteri dengan panggilan 'papa' atau 'mama', atau ada juga 'ayah' atau 'ibu'. Alasannya kerana nak ajar anak panggil ayah dan emaknya dengan nama yang betul. Iyalah nak ajar anak, tapi takkan terus menerus panggil pasangan kita 'papa' dan 'mama'. Tak pelik ke? Pasangan kita bukan mak atau ayah kita. Lagipun... haiya, mana ada romantik macam tu! Lama-lama mesti jadi bosan.
Nasihat saya, janganlah panggil macam tu terus-terusan. Takut hilang serinya. Macam mana kita nak berlaku romantis kalau nama 'papa' dan 'mama' yang kita gunakan untuk pasangan?
Dari dulu sampai sekarang, saya memang tak bersetuju dengan nama 'bie' atau 'hubby' untuk pasangan lelaki kita. Kalau 'baby' okeylah jugak, walaupun sebenarnya lagi sesuai nama 'baby' untuk pasangan perempuan. Lembut aje bunyinya. Kalau kita panggil pasangan lelaki 'hubby', habis tu pasangan lelaki nak panggil yang perempuan apa pulak? Takkan 'wife' kot? Lagilah pelik. Memang tak sesuai langsung, macam orang zaman dulu-dulu yang hidup di zaman batu! Hehe...
Saya tak tahulah orang lain, tapi apa yang saya tengok dan apa yang saya amalkan, bila kita panggil nama yang elok-elok buat pasangan kita, biasanya jarang-jarang kita nak bercakap kasar dengannya. Takkanlah dah beriya-iya panggil 'sayang' tapi cakap garang macam singa? Tak kena, kan? Sebab tu lah saya galakkan pasangan memanggil suami atau isteri mereka dengan nama-nama yang cantik, romantis dan sejuk di telinga.
Dalam pada itu, bila kita benci seseorang itu, jangan pula kita panggil dengan nama yang buruk. Mat salih kata 'calling names'. Kalau kita jenis manusia yang begitu, memang akhlak kita teramat rendah. Bila suka, kita hormat dan panggil 'Kak...', 'Mak Cik...', 'Abang...', bila kita benci, kita panggil nama yang bukan-bukan, mungkin juga gelaran yang boleh mengaibkan seseorang. Kita kena ingat, perkara ini sangat dibenci oleh Allah SWT. Jadi... janganlah kita buat macam tu. Sebagai ibu atau ayah, kelakuan kita akan menjadi contoh buat anak-anak.
Okeylah... jom kita guna nama yang baik-baik bukan sekadar buat pasangan kita, tetapi juga buat kenalan, kawan, jiran dan saudara-mara kita. Semoga Tuhan berkati dunia dan akhirat kita. Amin.
