Bukan koleksi pinggan mangkuk saya
Salam
Ya betul. Peduli apa kalau orang nak kata. Mulut orang memang macam itu, tak akan habis berkata-kata. Kalau mulut tempayan, memang tak susah. Tutup aje!
Kalau kita cantik dan cari pasangan yang tak segak, orang akan berkata-kata. Kalau kita kaya, kahwin dengan yang tak sama taraf, orang kata juga. Kalau sama duduk sama berdiri pun, akan ada yang berkata-kata. Mesti ada saja yang tak kena. Begitulah keadaannya, tak pernah sempurna. Tapi, apa nak kisah... bila kita mati, semuanya tak bererti lagi.
Dulu, masa saya masih muda dan baru lagi berkahwin, saya suka fikirkan benda-benda merepek. Saya bayangkan kalau saya mati dan suami kahwin lain. Habislah pinggan mangkuk saya yang cantik-cantik tu pergi kepada isteri barunya! Kan bodoh namanya tu kalau nak fikir benda-benda bodoh macam tu. Memang kelakar giler. Dalam kubur nak kisah apa lagi dengan pinggan mangkuk tu! Huhu...
Bila saya dah lebih matang, saya mula tak peduli lagi. Apa nak kisah, fikir saya, bila aku mati, semua tu aku tak bawa ke kubur. Hanya amalanku sahaja.
Sekarang ini, memang betul, saya tak kisah apa-apa sangat pasal soal material. Tak payah fikir sangat tentang apa akan terjadi pada harta bila kita dah mati. Saya tak risau pun kalau suami akan kahwin lagi kalau saya yang pergi dulu. Tak apalah, saya dah mati pun, kan?
Alhamdulillah, mungkin kerana itu juga saya kurang kisah tentang apa-apa harta yang kami beli. Tak kisah pun nak letak nama siapa. Kalau tak ada nama saya pun tak apa. Ada orang beritahu saya, "Tak takut ke kalau tiba-tiba saja suami tinggalkan awak? Atau cari orang lain? Nanti awak melopong tak dapat apa-apa."
Huhu... kalau itulah takdirnya, saya terima sahaja. Lagipun, kalau tiba-tiba sahaja pasangan kita berubah dan sanggup berlaku zalim pada kita, apa lagi yang kita nak kisahkan? Memang itulah dia seperti apa adanya. Tuhan Maha Mengetahui. Insya-Allah saya tak bimbang kerana bagi saya, dunia ini sekadar tumpangan sahaja. Tak guna pun kalau nak berebut harta. Bila mati, tak akan kita bawa semuanya.
Banyak orang tak bersetuju dengan apa yang saya rasa ini. Tapi, tak apalah. Inilah yang saya rasakan. Malah, saya tak pernah ambil kisah pun tentang harta keluarga yang ada, tak pernah nak berebut apa-apa. Bagi saya, ia hanyalah material, dan kadang-kadang ini, harta itu bukan datang kerana usaha kita pun, mungkin di atas usaha orang tua kita. Buat apa nak berebut? Bila mati, tak bawa pun.
Namun, saya sentiasa bersyukur. Alhamdulillah, Tuhan sudah berikan macam-macam untuk saya rasa di dunia ini. Jadi, saya tak perlu bimbang, insya-Allah kerana Tuhan yang memberi segala rezeki.
Pinggan mangkuk ke (kelakar), rumah ke, barang kemas ke, tanah ke... apa-apa saja. Apa nak kisahkan? Bila mati, satu pun kita tak bawa sama.
