Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 12, 2010

Talk To Me...



Inilah ayat yang sepatutnya kita berikan kepada rakan-rakan baik atau orang-orang yang rapat dengan kita. "Talk to me..." atau "Luahkanlah kepadaku...".

Banyak orang ada masalah, atau sedang berdepan dengan sesuatu yang memerit atau menyakitkan, atau mungkin sesuatu yang mengharukan, namun tak tahu hendak berbuat apa-apa. Kebanyakan orang akan hanya menyimpan dalam hati. Malu nak bercerita apatah lagi hendak meluahkannya. Kerana itu, bertambah sakit dan peritlah perasaan. Tak tertanggung dek badan. Perasaan malu inilah kadang-kadang membuat kita menjadi bertambah lemah.

Macam mana kita nak mencari tempat untuk kita luahkan perasaan ini? Kadang-kadang, kita tak ada tempat atau tak ada teman yang kita yakin sanggup mendengar rintihan kita itu. Bukan semua orang sesuai untuk mendengar masalah kita. Tetapi, 'Life must go on'. Sebaik mungkin, carilah tempat untuk kita luahkan perasaan luka kita itu.Tak semestinya orang yang kita pilih itu rapat dengan kita. Pilihlah sesiapa sahaja asalkan kita yakin dan percaya, dia dengan ikhlas sanggup mendengar rintihan hati kita itu. Selain itu, kita kena cari sebab yang boleh membina keyakinan diri kita semula. Apa-apa sahaja perasaan negatif yang wujud dalam diri, kita kena gantikan dengan apa-apa positif yang mampu kita cari. Lihatlah di sekeliling kita. Apakah yang mungkin dapat memberi semangat kepada kita?

Pagi ini, saya mendengar dan melihat di televisyen, keadaan seorang anak muda berketurunan Cina, yang sekitar sebulan sebelum peperiksaan SPM nya, telah dimaklumkan bahawa kakinya yang sakit itu terpaksa dipotong akibat barah yang menyerang. Bayangkanlah, usia semuda itu, dia terpaksa berdepan dengan sesuatu yang sangat meruntunkan hati dan mungkin semangatnya. Namun, dia berterima kasih kerana masih hidup lagi.

Dan dengan semangat itulah dia berjuang dan berdepan dengan segala apa jua perasaan yang terperap di dadanya. Hari ini, lelaki muda itu bersemangat tinggi hinggakan sanggup mendaki dan memanjat segala gunung-ganang yang ada di Malaysia, walaupun hanya mempunyai sebelah kaki sahaja. 'Life goes on' dan dia berjaya menunjukkan kepada semua bahawa sekalipun, ada hanya satu kaki sahaja, dia mampu berjaya dan melakukan lebih daripada mereka yang ada dua kaki!

Okey, apa lagi? kalau kita rasa yang diri kita ini sedang menderita, ingatlah... ada ramai lagi yang lebih teruk daripada kita. Syukur alhamdulillah, kita masih hidup dan ada peluang untuk teruskan hidup kita ini. Kehidupan yang baik di dunia, kita gunakanlah untuk membawa kita ke jalan yang mulia di akhirat nanti. Lakukanlah yang terbaik, yang disukai Allah swt, semoga hidup dan akhirat kita terpelihara. Yakin dan teguhkan iman kita. Percayalah, segala yang kita lihat sebagai tidak indah itu ada hikmahnya.

Luahkanlah hati anda... carilah mereka yang mahu mendengar. Binalah keyakinan diri.