Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Tuesday, August 31, 2010

Merdekakah Kita?




Hari ini adalah hari kemerdekaan negara ini. Sudah 53 tahun usianya. Yang pasti, mereka berasal dari generasi lama sahaja yang lebih menghargai hari kebanggaan kita.Itu pun tak semua. Generasi sekarang tidak ramai yang menghadapi kesukaran untuk hidup (dari segi material) dan tidak berdepan dengan kekurangan kemudahan. Semuanya ada. Mungkin kerana itu juga mereka tidak menghargai negara seperti mana orang-orang yang terlebih dahulu daripada mereka.

Kalau dulu, hari kemerdekaan merupakan hari yang kita ternanti-nantikan untuk meraikannya. Di sekolah, pelbagai aktiviti di adakan. Malah, kita dapat rasakannya kerana sebagai remaja ketika itu, kita tidak berpeluang seperti remaja hari ini. Dulu, kalau di kampung, ada yang masih tidak ada kemudahan air dan api. Telefon memang merupakan satu kemewahan, begitu juga kenderaan bermotor. Makan, pakai, alat persekolahan, semuanya berkurangan. Namun, semangat tidak pernah kurang!

Hari ini, kita terus melaung-laungkan kemerdekaan, namun minda kebanyakan orang masih terbelenggu. Fikiran masih jumud. Sekalipun segala kemudahan menjadi perhiasan hidup, masih ramai yang berkira-kira untuk menghargai negara kita. Negara ini seolah-olah tiada identitinya. Rakyatnya masih segan dan malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, namun tak siapa ambil kisah dan hiraukannya. Bahasa lain yang kita agung-agungkan. Malah, ketika kita meraikan hari kemerdekaan itu, tak henti-henti kita melihat pihak media menemuramah mereka yang tidak gunapakai bahasa Melayu. Mungkin mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu kerana tak tahu atau malu untuk menggunakannya. Yang pelik, kita terus melayan dan biarkan ini menjadi budaya kita!

Merdekakah minda kita? merdekakah jiwa kita? banggakah kita dengan negara ini? buat apa kita kibarkan bendera kalau hati dan jiwa tidak berasa apa-apa kepada negara yang kita kata kita cinta? apakah indah kalau kita terus melaung-laungkan satu Malaysia, sedangkan kita tak ada identiti apa-apa!

Kita biarkan individu-individu tertentu mempermainkan bangsa kita, kita juga biarkan laporan sesuka-hati dicetakkan di muka-muka surat khabar. Namun kita masih berlakon dan berpura-pura konon-konon kita sudah merdeka. Merdeka itu apa sebenarnya?

Mungkinkah saya yang keliru, atau memang benar negara sudah tak tahu apa itu MERDEKA!

Monday, August 30, 2010

Kerja Kerana Cinta



Bekerja atas dorongan cinta akan terasa senang tiada jemu dan lelah.

Inilah kata mutiara untuk memberi semangat dan dorongan. Banyak orang berbuat kerja tetapi tidak dengan hati yang ikhlas, mungkin kerana mereka bekerja tidak kerana mencintai kerjanya. Di atas sebab itu, mereka akan berasa letih, bosan dan mungkin akan muncul perasaan benci. Dan ini akan menjadi bahaya sekiranya kita makan gaji. Kerana setiap gaji yang dibayar mestilah di atas dasar perkhidmatan kita. Di antara diri kita dengan majikan, ada perjanjian yang tertera. Kalau kita menerima gaji atau upah tetapi tidak melakukan tugas seperti yang dijanjikan, maka pendapatan yang kita perolehi itu adalah bukan hak kita. Kerana itu, belajarlah untuk mencintai kerja yang kita lakukan, agar kita terus berasa senang, tidak jemu dan tidak lelah. Semoga upah dan gaji yang kita terima adalah sesuatu yang sah buat diri kita. Wallahua'lam.


Kejujuran pula adalah perhiasan jiwa yang lebih bercahaya daripada berlian.
Satu lagi kata mutiara meminta agar kita insan di dunia menghayati sikap kejujuran. Kalau kita tidak jujur dengan apa sahaja yang kita lakukan, maka tiadalah cahayanya dalam hidup kita itu. Sikap kejujuran adalah sesuatu yang boleh kita olok-olokkan, kita perdayakan, namun hati kita Tuhan tetap tahu.

Kita boleh main sandiwara, kita boleh berlakon dan kita boleh jadi seorang yang hipokrit... pandai membelit dan bijak mengatur ayat. Mungkin juga kita cekap menyebar fitnah dan mampu memperdayakan orang lain, namun semua itu Tuhan tetap tahu.
Kerana itu, kita perlu bersikap jujur, jangan kita keluarkan sesuatu yang akhirnya nanti akan makan diri. Nauzubilah. Semoga Allah swt berikan kita hidayah untuk berlaku jujur sesama insan. Sama-samalah kita doakan di bulan yang mulia ini.

Bagi mereka yang minat dengan drama Kau Laksana Bulan, malam ini adalah episod terakhir drama itu. Bagi mereka yang tidak sempat menonton, anda boleh menonton melalui portal TV2, atau juga www.dramamelayu.com. Saya percaya ramai yang ke surau atau masjid untuk tunaikan solat tarawih.

Bagi pembaca-pembaca saya, insya-Allah manuskrip terbaru sudah pun disiapkan. Insya-Allah novel baru akan berada di pasaran mungkin sekitar bulan Oktober. Tajuk? belum pasti... kena tunggu apa kata pihak penerbit.

Salam sayang buat semua.

Saturday, August 28, 2010

Kisah Pisang



Salam, semua

Susah ke nak cari pisang di bulan Ramadhan? Agaknya ramai yang beli pisang untuk buat sedekah di masjid. Tapi takkanlah pisang abu pun nak dihantar ke masjid. Adoi!

Dah berhari-hari saya cari pisang emas, memang susah nak dapat. Kalau terjumpa pun, alahai kecik bebeno! Kecil pun, saya beli juga. Kalau nak cari pisang raja, memang tak akan jumpa. Yang banyak ialah pisang berangan. Saya bukanlah tak makan pisang berangan, tapi tak suka sangat macam pisang emas.

Tetapi semalam memang teringin nak makan pengat pisang. Kalau dapat, hendaklah makan pengat pisang raja, tapi cari merata-rata tak juga jumpa-jumpa. Saya pergi sampai ke pekan Mantin (saya tinggal di Nilai dekat dengan KLIA quarters) tapi tak ada juga. Alahai... kan Mantin tu ada macam-macam kebun buah-buahan, macam mana tak ada pisang ni? Pisang abu pun tak ada! Biasanya kalau di mantin tu, pisang memang banyak, selain dari nangka, cempedak, kelapa muda, buah naga dan macam-macam lagi. Tapi semalam,habuk!

Last-last saya beli pisang tanduk. Itu pun jumpa di Semarak. Biasanya kedai buah tu macam-macam ada, tapi semalam memang tak ada. Mujurlah dah cukup masak pisang tanduk tu, dapat juga kami buat pengat.

Saya bertanya juga pada seorang taukeh kedai (orang Melayu), kenapa susah nak dapat pisang, dia kata sebab tak ada stock. Pisang pun boleh habis stock di bulan Ramadhan ni? wah... macam ni nak buat kebun pisanglah!

Okeylah pembaca semua. Kalau nak tahu, buah pisang memang banyak khasiatnya. Ada cukup protein, cukup karbohidrat, cukup phosphrous, vitamin A, zat besi dan mineral-mineral lain. Buah pisang boleh meredakan kemurungan, boleh buat kita relaks, elak dari anaemia (kurang darah), jauhi stroke dan stres, bagus juga untuk kawal darah tinggi dan sembelit. Huh, banyak tu. Pisang dikatakan elok untuk tingkatkan tenaga dan kalau dibandingkan dengan buah epal, buah pisang jauh lebih hebat!

Di bulan Ramadhan ni, makan pisang memang elok.

Jom kita rajin-rajin makan pisang dan siapa yang ada tanah tu, tanamlah pokok pisang... hasilnya lumayan! Jangan lupa, daun pisang dan batang pisang pun berguna. Insya-Allah.

Wednesday, August 25, 2010

Antara Puasa dan Solat



Mengapa agaknya orang kita lebih senang untuk tunaikan ibadah puasa daripada ibadah solat? Tak usah ambil kiralah mereka yang terus tidak puasa dan solat. Tetapi yang menghairankan ramai yang mudah mengerjakan ibadah puasa tetapi sungguh liat dan berkira-kira untuk tunaikan solat lima waktu. Sedangkan kita semua tahu solat itu adalah tiang keimanan kita dan solat juga merupakan amalan terawal yang akan dihisab apabila akhirat nanti.

Kita boleh berlapar dari masuknya waktu subuh hingga masuk waktu maghrib, tetapi kita tak sanggup untuk turun naik bersujud kepada Tuhan. Berapa minitlah sangat untuk tunaikan setiap waktu solat wajib itu. Apatah lagi untuk tunaikan solat-solat sunat. Kenapa kita berkira-kira dengan Tuhan sedangkan setiap saat dan setiap detik kita di bumi ini adalah di atas ikhsan-Nya. Subhanallah.

Pun begitu, orang kita juga terlalu taksub dengan sambutan Syawal, hinggakan kita terlupa untuk menghargai Ramadhan, sedangkan kita tidak pasti sama ada kita akan bertemu Ramadhan di tahun hadapan.

Jom, kita jadikan amalan solat sebagai pakaian seharian kita. Tak mungkin kita mahu dilihat orang tanpa pakaian. Solat juga membawa kita untuk berhubungan secara 'direct' dengan Tuhan kita. Marilah kita sama-sama mengnikmati bulan Ramadhan yang mulia ini.

Tuesday, August 24, 2010

Syukran



Sebelum kita berjaya melakukan sesuatu, tentu ada seseorang atau beberapa orang yang membakarkan semangat kita, atau mungkin yang menghulurkan bantuan apa cara sekalipun. Memang benar segala usaha yang menjayakan kita datang dari diri kita sendiri, pun begitu tak mungkin kita mampu melakukan semuanya tanpa nasihat, atau tunjuk ajar, atau mungkin juga sekadar pembakar semangat menimbulkan rasa ghairah untuk lakukan sesuatu sebaik mungkin.

Sebagai manusia kita tak akan berhenti belajar. Kita tak pernah sempurna kerana kesempurnaan itu adalah hak Allah swt. Tak mungkin ada di antara kita yang berasakan yang dirinya terlalu hebat hinggakan tidak memerlukan sesiapa pun.

Kalau kita berasakan yang diri sudah melakukan sesuatu yang baik dalam hal kerjaya mungkin, pernahkah kita fikirkan siapa yang telah membantu kita untuk sampai di tempat itu? Alhmadulillah kalau kita tidak pernah lupa untuk bersyukur kepada Tuhan yang maha Esa, tetapi ingatkah kita kepada mereka yang telah memberi pandangan, nasihat dan tunjuk ajar itu?

Sebagai seorang penulis, saya pernah menghubungi beberapa orang yang sudah lama berada di persada dunia penulisan. Sekalipun mereka tidak mengajar saya bagaimana mahu menulis, tetapi mereka memberi nasihat agar diri saya bersedia untuk berada di dunia yang sama. Saya juga mempunyai seorang teman baik, juga pembakar semangat untuk terus menolak saya agar tidak berputus asa. Bukan mudah untuk melakukan sesuatu yang kita tidak biasa buat. Kita perlukan sokongan orang yang terdekat, mungkin tersayang. Kita perlukan bimbingan dan kata nasihat mereka yang lebih tahu.

Alhamdulillah, saya tidak pernah melupakan orang-orang ini, yang pernah suatu ketika memberi kepercayaan agar saya terus menulis. Walaupun sudah berkali-kali saya sebutkan nama mereka dalam buku-buku saya di bahagian penghargaan, saya akan terus mengingati mereka. Budi baik mereka saya hargai hingga ke akhir hayat. Percayalah kata-kata saya ini, teman-teman yang mendorong semangat kita adalah teman-teman yang ikhlas menyayangi kita, insya-Allah. Janganlah kita lupa mereka.

Janganlah kita lupa kepada mereka yang pernah percaya kepada kita ketika kita tiada apa-apa. Saya sentiasa mengingatkan diri, insya-Allah agar tidak melupai mereka yang berada di sebelah saya ketika saya memerlukan. Allah swt sentiasa tahu apa yang tersemat di lubuk hati kita. Janganlah kita terlupa apabila kita rasa kita sudah berjaya.

Monday, August 23, 2010

Dongeng Fatamorgana di Padang Pasir


Salam, semua

Saya terkilan juga, kerana terpaksa menolak jemputan berbuka puasa di rumah seorang VVIP (tak perlulah saya sebut siapa)pada esok malam, di atas sebab-sebab tertentu. Apa pun, saya menghargai jemputan itu.Terima kasih juga kerana menganggap saya sebagai penulis dan penulis blog di negara ini. Syukran.

Pagi ini saya terpanggil untuk bercerita lagi tentang dunia penulisan. Dunia nyata kian berubah dan kita tidak boleh ketinggalan. Dalam begitu, kita harus berjaga-jaga, jangan tertipu dek fatamorgana yang menjadi sebuah ilusi.

Suatu ketika dahulu, tidak kiralah dunia Barat atau di Nusantara ini, mereka yang menulis adalah golongan elit dan yang membaca juga adalah dari golongan yang sama. Suatu ketika dahulu, hanya mereka yang mampu atau bekerja keras sahaja yang boleh membaca sedangkan rata-rata rakyat tertinggal tanpa menikmati keupayaan untuk membaca. Kerana itu juga, suatu ketika dahulu gaya penulisan adalah untuk mereka yang datangnya dari kumpulan elit.

Namun dunia sudah berubah. Kalau di negara kita ini, kini hanya beberapa peratus sahaja yang minat membaca padahal hampir semua golongan boleh membaca dan menulis. Masyarakat hari ini, terutama golongan muda lebih suka berada di depan skrin komputer untuk melayari laman web sosial (bukan membaca artikel atau e-book) sekadar untuk mencari teman. Budaya membaca jadi terpinggir kerana lebih ramai yang suka menonton TV atau mendengar muzik.

Bukan mudah untuk menarik minat orang muda untuk membaca. Malah, untuk mengajak yang tua, turut menjadi sukar. Sebagai penulis, pelbagai cara dan kreativiti perlu diwujudkan agar golongan ini akan berjinak dengan buku. Bayangkanlah kalau kita ke kedai buku hanya terdapat beberapa buku sahaja yang ada di rak-rak yang tersedia, jadi mampukah kita mengajak mereka yang tak suka membaca untuk membaca? Apa pilihan yang ada?

Pernahkah anda tahu bahawa suatu ketika dahulu, di kedai-kedai buku besar dan elit, hampir tiada buku-buku dalam bahasa Melayu. Namun hari ini, ramai yang merungut dan membuat pelbagai tuduhan kepada penulis-penulis tertentu dengan mengatakan bahawa hasil karya yang ditabur dalam pasaran merupakan karya yang tidak berkualiti!

Sekali lagi kita akan berdepan dengan isu 'komersial'. Soal wang akan menjadi tajuk utama, kerana kita beranggapan bahawa ramai yang menulis kerana wang semata-mata. Bagi saya, inilah yang dikatakan lawak jenaka senegara, kerana mereka yang bercakap-cakap tentang soal 'wang' adalah mereka yang serupa. Kalau tidak kerana 'wang' mereka tidak mempertikaikan soal ini. Bukankah orang-orang yang sama juga yang berebut untuk menunggu anugerah-anugerah tertentu yang membawa 'hadiah wang' dan juga peluang untuk karya mereka dijadikan buku teks?... akhirnya membawa keuntungan kewangan yang lumayan untuk mereka juga.

Kalau kita mahu berbincang tentang apa jua isu, mungkin lebih indah kalau kita bincangkan secara adil. Kalau kita mahu melihat dunia penulisan di negara kita maju ke depan, biarlah kita lakukan dengan penuh hemah dan berbudi bahasa. Kalau kita menganggap diri sebagai orang yang berilmu, biarlah kata-kata yang kita keluarkan dan tulisan yang kita paparkan merupakan kata-kata orang yang berilmu. Biar juga ilmu yang ingin disebarkan adalah untuk semua. Jangan biarkan masyarakat tertipu dengan dongeng fatamorgana di padang pasir!
Wallahua'lam.

Friday, August 20, 2010

Lihatlah Dengan Hati




Subhanallah walhamdullillah wa laa illaha Illallah waallahu akbar.

Lihatlah dengan hati kerana pandangan mata selalu gelap, tak mampu menilai hakikat.

MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk.

Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu, suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang bersatu dengan hati busuk.

Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu umpama malaikat.

Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat.

Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.

Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.

Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya.

Kata-kata di atas ini saya ambil daripada Dr. Juanda Jaya.

Renung-renungkanlah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Wallahua'lam

Wednesday, August 18, 2010

Kebebasan Sebagai Penulis



Sebagai penulis, mungkin inilah yang saya cari bila soal kemerdekaan dijadikan isu perbincangan. Saya mahukan kebebasan untuk menulis, bukan sengaja dilabelkan sebagai penulis itu atau ini. Terus terang saya cukup meluat kalau ada di mana-mana (tak kiralah forum, media massa, di blog) perbincangan yang sengaja melabelkan saya sebagai penulis novel cinta atau penulis novel popular. Kenapa tidak menggelar saya sebagai 'penulis' sahaja? Mengapa perlu kategorikan saya sebagai penulis itu atau ini, sedangkan saya tidak menulis buku-buku 'genre' itu sahaja! Dari awal lagi, saya anggap diri saya sebagai penulis, 'full stop'.

Selain dari novel untuk golongan dewasa, saya juga menulis buku kanak-kanak, saya juga menulis buku dokumentasi, saya juga menulis novel genre 'thriller', pernah menulis skrip dan sedang menulis sesuatu yang juga berlainan kategori. Namun, setiap kali nama saya dihighlightkan, mereka masih melabelkan saya sebagai penulis 'novel cinta'.

Sudah berkali-kali juga saya bangkitkan perkara ini, iaitu tentang ilmu dalam penulisan. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menilai ilmu dalam sebuah buku? Bukankah pembaca? Tidakkah kita tahu bahawa nilai ilmu itu berbeza dari seorang ke seorang? dan kerana itu, ada penulis macam saya akan menulis untuk golongan tertentu yang mencari ilmu tertentu. Sepatutnya tidak ada kumpulan termasuklah mereka di dunia akademia yang berhak untuk mentafsirkan apa itu ilmu!

Untuk makluman anda, saya pernah berkhidmat di sebuah universiti tempatan selama 17 tahun dan saya mengenali dunia ilmu yang dimaksudkan. Senang cerita, saya juga berhak untuk berkata bahawa bukan semua orang yang berada di persada akademia itu merupakan 'ilmuwan' yang serba tahu dan pakar menilai apa itu ilmu! Maafkan saya sekiranya apa yang saya tulis ini merupakan sesuatu yang agak 'kontroversi' tetapi inilah hakikatnya. Hanya kerana ada golongan yang berasakan bahawa mereka ada ilmu maka mereka berhak untuk menyukat ilmu untuk orang lain.

Okeylah kalau ada di antara mereka terasa hebat kerana menulis perkara yang 'berilmu' atau ilmiah. Apakah mereka ini sedang usahakan sesuatu untuk membantu masyarakat yang sedang kekeringan semangat 'kasih sayang' di negara ini? atau mereka sedang leka membicarakan hal-hal politik, isu-isu yang penting buat kaum lelaki sahaja, mungkin juga soal agama yang agak berat, sedangkan yang ringan itu diketepikan hinggakan masyarakat umum tidak tahu apa-apa?

Lihatlah di sekeliling kita, tak kira berapa besar ilmu itu, sekalipun sekecil zarah, kalau ia merupakan suatu ilmu untuk segolongan manusia, kenapa harus kita pertikaikan soal ilmu ini lagi? Berilah kebebasan untuk orang lain menimba ilmu.

Fikir-fikirkanlah, jangan sampai kita sebagai pakar ilmu hanya sekadar mampu untuk 'syok sendiri' sedangkan kita tak dapat melakukan sebarang perubahan untuk masyarakat umum! Wallahua'lam.

Apa pun, inilah soalnya, saya inginkan kemerdekaan itu! Bebas dari pelbagai label hingga menyukarkan orang seperti saya untuk menulis apa sahaja!

Tuesday, August 17, 2010

Cintailah...




Apakah sebagai Muslim, kita sanggup lakukan apa sahaja untuk agama kita? Banggakah kita kerana menjadi seorang Muslim di dunia yang fana ini? Atau... kita masih berkira-kira lagi, takut kita rugi kalau dihitung sebagai seorang penganut agama Islam.

Beberapa hari yang lalu, saya baca kisah seorang berbangsa Inggeris yang tinggal di United Kingdom dan kebetulan, ayahnya merupakan mantan menteri kesihatan di negara bekas kolonial itu. Nama asalnya ialah Frank Dobson atau nama Islamnya Joe Ahmad Dobson, telah memilih untuk memeluk agama Islam pada bulan Januari tahun 1998.Pada mulanya dia tidak menghebahkan kepada ahli keluarga kerana takut menggugat jawatan ayahnya ketika itu, namun kemudian setelah keluarganya dimaklumkan, mereka menerima dengan hati terbuka, malah setiap perayaan Krismas, ayahnya telah menghadiahkannya pelbagai buku agama Islam untuk pembacaannya.

Kini, Dobson merupakan individu penting dalam masyarakat Islam di UK. Beliau merupakan Pengerusi Majlis Islam dalam Jawatankuasa Pertubuhan Britain Regeneration dan terlibat dalam pelbagai aktiviti masyarakat.

Malah, dikatakan selepas trajedi 11 September di New York, USA, Dobson memainkan peranan dalam mempertahankan Islam yang menjadi mangsa cemuhan dan tuduhan. Ketika itu, walaupun US yang diserang tetapi apa yang berlaku di UK pula, ialah jumlah yang menganut Islam semakin bertambah dengan tiba-tiba. Sebuah masjid di Manchester, melaporkan bahawa 16 orang memeluk Islam dalam tempoh dua minggu selepas trajedi itu berlaku. Allahuakbar.

Itulah yang dikatakan oleh lelaki yang bernama Joe Ahmad ini, "Semakin tinggi seseorang itu menuntut ilmu maka semakin merendah dirinya terhadap Tuhan." Baginya, "Islam mampu menjawab pertanyaan 'mengapa', misalnya mengapa kita perlu menghargai kaum wanita kita. Segala-galanya terjawab dalam al-Quran." Beliau mengagumi kata-kata Allah swt itu, kerana Dia yang mencipta kita, Dia juga tahu apa yang dikehendaki oleh manusia dalam hidup ini.

Mungkin Dobson menghargai agama Islam kerana beliau tidak dilahirkan sebagai Muslim. Apabila menjadi Muslim, beliau merasa nikmatnya yang jauh berbeza dari sebelum itu. Apakah kita yang sedia dilahirkan sebagai Muslim mampu menghargai agama kita seperti mereka yang baru menganutnya? Wallahua'lam. Semoga sebagai Muslim kita berjaya mengahayati agama yang mulia ini bukan sekadar di luar sahaja, tetapi yang penting ialah di hati.

Cintailah agamamu ini.

Sunday, August 15, 2010

Foto Terbaru Yusufia





Salam semua

Dah 25 hari umurnya dan ini gambar terbaru Yusufia.

Friday, August 13, 2010

Susah Nak Cakap Melayu?



Salam, semua.

Sebenarnya saya tak suka bangkitkan hal ini di waktu seperti ini, tetapi kebetulan bulan ini juga merupakan bulan kemerdekaan. Lima puluh tiga tahun kita merdeka dan sibuk pula kita melaung-laungkan tentang Satu Malaysia, tapi apa cerita ni kalau masih ada rakyat Malaysia yang tak tahu dan tak faham bercakap Melayu? Sedih sungguh saya membaca tentang hal ini.

Semalam, perkara ini dibangkitkan di surat khabar kerana kerja pembancian penduduk tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana terdapat terlalu ramai rakyat Malaysia yang tak tahu bercakap Melayu atau Inggeris. Saya tak pedulilah kalau mereka tak tahu berbahasa Inggeris, tapi takkan bahasa Melayu pun tak tahu? Rakyat Malaysia jenis apakah mereka ini? Sepatutnya mereka tidak diberikan kerakyatan dan mengapa mereka perlu mengaku sebagai rakyat Malaysia kalau bahasa Melayu pun tak tahu?

Bagi saya ini adalah satu penghinaan dan kerajaan sepatutnya mengambil tindakan, tidak dibiarkan perkara ini terus-terusan begini. Para penyokong politik sepatutnya mengambil endah tentang hal ini dan jangan sibukkan hal lain sedangkan ada rakyat yang tak tahu bahasa nasional kita.

Paling malang bagi saya kerana di peti televisyen, selalu sangat kita melihat rakyat Malaysia yang ditemuramah (dalam berita) yang tak tahu bercakap Melayu. Mereka menggunakan bahasa Inggeris. Ini bukan sahaja terjadi kepada kaum tertentu sahaja tetapi yang paling sedih bila ada orang kenamaan (sangat VVIP) yang tak pernah pun bertutur dalam bahasa Melayu. Adakah itu kita panggil rakyat Malaysia? Bagi saya tiada alasan untuk tidak tahu bercakap Melayu kalau pendatang yang datang ke negara ini dalam tempoh yang tidak lama pun boleh bertutur dalam bahasa Melayu!

Kaum asli yang tinggal di kawasan pedalaman juga boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik, tidak kira mereka tinggal di Sarawak, Sabah atau di hutan Belum! Malulah kalau kita tinggal di kota dan merupakan orang yang berpendidikan tinggi tetapi bahasa Melayu yang mudah pun kita tak boleh tutur.

Saya harap mereka yang sibukkan tentang politik,akan ambil berat tentang hal ini. Jangan biarkan negara kita ditakluki oleh mereka yang tak tahu dan tidak menghormati bahasa negara ini!

Apa yang saya lihat ialah rakyat kita terlalu lemak dan diberi muka hinggakan perkara seperti ini tidak diambil endah. Malang sungguh.

Thursday, August 12, 2010

Akhirnya Dia Tersenyum



Dia duduk termenung. Lama dia di situ dan Pak Cik Din hanya perhatikan sahaja. Dibiarkan Salim dengan lamunannya. Tiba-tiba Salim bersuara.

"Pak Cik... kenapa susah sangat ya?"

"Apa yang susahnya, Salim?"

"Saya dah cuba lakukan semua yang saya rasa terbaik, tapi orang luar masih sangka buruk pada saya. Itu yang saya rasa susah ni." Keluhnya.

"Kan itu namanya manusia. Kebanyakan manusia memang begitu, Salim. Susah nak terima baik orang, tetapi suka lihat yang tak baik pada orang."

"Pak Cik kan tahu, Pak Cik... saya tak pernah tinggal solat wajib. Solat sunat pun saya banyak buat. Saya suka bersedekah, saya buat baik pada orang, tolong orang lain... saya tak duduk mengata orang pun, tapi masih orang-orang ni tak suka dengan saya."

"Salim... kita buat baik bukan untuk orang lain, tetapi untuk Tuhan kita, kan? Jadi... Salim tak usah ambil hati dengan orang-orang ni. Biarkan sahaja. Kalau mereka nak sangka buruk, biarkan juga. Salim jangan pedulikan. Teruskan usaha Salim tu. Memang biasa begini, Salim. Kita lakukan sesuatu kerana berniat yang baik, tetapi orang lain tak nampak. Mereka akan buat andaian sendiri dan biasanya kebanyakan manusia lebih senang membuat andaian yang negatif."

"Saya ni muda lagi, Pak Cik... tapi saya selalu berkecil hati dengan orang sekeliling saya. Apa sahaja yang saya lakukan, semuanya tak kena. Semuanya salah. Kalau saya buat benda yang jahat tak apalah marahkan saya, tapi buat benda baik pun dia orang tak suka juga. Bila saya bersedekah, mereka kata saya nak menunjuk-nunjuk. Bila saya tolong budak-budak tu bagi tuisyen free, dia orang kata saya ada niat tak baik pada budak-budak tu. Saya solat kat masjid pun tak kena juga. Dia orang kata saya berlagak macam orang alim. Habis tu... apa saya nak buat, Pak Cik? Agaknya kalau saya merempit kat atas jalan dan kacau anak dara orang lagi baik! dah tentunya saya buat tak baik."

"Astaghfirullah... Salim, kan Pak Cik kata biarkan sahaja mereka semua. Lama-lama nanti mereka akan jemu mengata kamu. Kebanyakan manusia dah memang sifatnya begitu, kita tak boleh buat apa-apa. Itu adalah urusan Tuhan, untuk mengadili dan menghukum. Kita jalankan sahaja kewajipan kita. Betulkan niat kita dan abaikan apa orang nak kata pada kita."

Dia termenung seketika. "Okeylah Pak Cik... saya akan belajar untuk bersabar. Saya akan berdoa pada Tuhan untuk kuatkan kesabaran saya tu. Insya-Allah, Pak Cik... dalam bulan Ramadhan ni, itulah yang akan saya usahakan. Berdoa banyak-banyak pada Tuhan."

"Ha kan baik macam tu, Salim. Pedulikan dengan mulut orang, yang penting ialah hati kita. Dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu, orang-orang tu boleh teka yang tak elok sahaja. Teruskan dengan perbuatan yang baik-baik, amalkan kebajikan yang kamu suka buat tu. Insya-Allah, kamu buat untuk Tuhan, kan?"

Salim mengangguk dan akhirnya dia tersenyum.

Wednesday, August 11, 2010

Sesungguhnya...



Bulan Ramadhan ialah bulan yang diturunkan al kitab.

Pada hari jumaat 2 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali sebagai Perang Badar. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ. Tentera Islam seramai 313 berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Makkah yang lengkap bersenjata. Tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan dan yang baki telah melarikan diri.

Peperangan ini sememangnya luar biasa. Tentera Islam yang kurang jumlahnya, lemah dari sudut kelengkapan dan berpuasa pula, memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas, sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah swt.

Jadi... sama-samalah kita sebagai umat Islam teruskan perjuangan harian kita. Lakukan perkara yang terbaik, carilah rezeki yang halal, banyakkanlah bersedekah, ingatlah kepada Tuhan. Insya-Allah... kita akan mendapat ganjaran dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Allah menolong kita pada bila-bila masa sahaja asalkan kita bertaqwa kepada-Nya.

Tuesday, August 10, 2010

Renung-Renungkanlah...


Marhaban Ya Ramadhan.

Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia, semoga kita sama-sama mengerjakan amal ibadah dan mengejar segala ganjaran yang dijanjikan.

Awal pagi tadi semasa suami saya ingin ke tempat kerja, saya bersarapan dengannya. Dia sempat bercerita tentang 'gejala rasuah' yang melular di kalangan orang Melayu. Sangatlah sedih saya mendengarnya. Yang diceritakannya bukan tentang mereka yang berada di perkhidmatan awam sahaja tetapi mereka yang sedang bertugas di syarikat-syarikat swasta. Setiap kali ada pembayaran yang perlu dibuat oleh pihak kliennya, ada-ada sahaja permintaan kakitangan di pihak sana. Datangnya bukan dari mereka yang bukan Melayu, tetapi daripada orang Melayu!

Kata suami saya, tak ada yang berani meminta daripadanya kerana mereka segan dengan suami saya. Tetapi dengan staf bukan Melayu, mereka memang tak segan. Disuruhnya staf bukan Melayu membawa mereka ke pusat-pusat kareoke dan juga kelab atau pub untuk minum-minum (kalau setakat minum air teh atau kopi tak apalah juga).

Kebetulan, salah seorang staf yang bertugas di syarikat tempat kerja suami saya merupakan seorang wanita yang bertudung labuh. Dan tugasnya ialah untuk berhubungan dengan mana-mana pihak yang ada kaitan dengan syarikat suami saya ini. Kata wanita itu, "Saya pun dia orang nak mintak itu ini. Memang muka tak malu betul lah! takkanlah saya pun nak amal rasuah? Jangan kan nak ambik, nak bagi pun saya tak ingin."

Suami saya katakan kepada wanita ini supaya jangan layan mereka yang suka minta itu dan ini. Biarkan sahaja. Lama-lama nanti mereka tak akan minta lagi.

Begitu juga dengan syarikat kami (KarnaDya). Kami pastikan kami tidak mengamal apa-apa kerja rasuah, tak kisahlah siapa yang mahu minta itu dan ini. Saya dah pesan pada anak-anak saya, "Jangan layan. Kalau kita layan, maka tak akan tamatlah perbuatan keji ini, sudah itu, kita pula akan terlibat sama."

Bagi saya, biarlah tak dapat urusan dengan mereka. Kalau dia rasa orang tak nampak, dia terlupa yang Tuhan sentiasa melihat. Rezeki kita ada di mana-mana sahaja dan Tuhan yang menentukannya.

Di bulan yang mulia ini, sama-samalah kita fikirkan, kenapa agaknya masalah sosial di negara ini kian hari kian menjadi-jadi? Mungkinkah ada kaitan dengan RASUAH yang sudah menjadi darah daging mereka yang mengamalkannya? Nauzubilah.

Monday, August 09, 2010

Hargailah Nikmat Tuhan



Salam, semua.

Alhamdulillah, pada pagi yang dingin, saya bersyukur kerana masih dikurniakan Allah swt usia, akal, kebahagiaan, kesederhanaan hidup, kecerian, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi... semuanya di atas kehendak-Nya.

Saya tidak ke mana-mana pada hujung minggu yang lepas, kecuali makan malam bersama suami (meraikan hari ulang tahun perkahwinan-belated). Malas nak keluar kerana Kuala Lumpur kesibukan. Malah, Lembah Klang bagaikan ada pesta manusia. Pesta nak sambut Ramadhan. Tapi rasanya, lebih ramai yang sibuk mencari barang-barang untuk Hari Raya, pada hal puasa pun belum. Aduhai... memang begitulah kita agaknya. Saya memang dah lama tak pernah ambil kisah kerana tak ada anak kecil. Anak saya semuanya dah besar. Dapatlah saya relaks ketika orang lain sibuk mencari itu dan ini.

Sudahkah kita bersedia untuk menyambut Ramadhan? maksud saya mereka yang berhutang puasa, dah habis ke bayar hutang? Secara rohaninya, adalah kita menantikan Ramadhan? Atau mungkin ada yang takut, bimbang tak dapat nak makan banyak masa bulan puasa ni. Atau mungkin, bulan Ramadhan kita lagi banyak makan?

Cuba kita renung-renungkan. Ramai di dunia ini susah nak dapat makan. Malah, dikatakan lebih dari 70% manusia di dunia terdiri daripada mereka yang miskin. Kalau kita di Malaysia, sekalipun ada yang agak miskin, bila sampai bulan Ramadhan, biasanya tak ada hal untuk dapatkan makanan. Ramai yang rajin bersedekah dalam bulan yang mulia ini. Tapi... janganlah nanti kerana rezeki melimpah-limpah di bulan Ramadhan, kita jadi orang yang tak tahu bersyukur. Kita jadi 'eksyen' dan memilih-milih.

Tahun ini, saya berjaga-jaga untuk memberi sumbangan bulan Ramadhan. Takut jadi macam tahun lepas. Sekalipun kami dah buat 'tempahan' untuk menyumbang dan meraikan anak-anak yatim pada bulan Ramadhan, tetapi pada hari yang ditetapkan itu, pengurus rumah anak yatim berkenaan sudah pun menerima undangan orang lain yang lebih mewah dan 'gah'. Terpaksalah kami yang kerdil ini bawakan sumbangan kami ke tempat lain. Memang sedih yang kami rasakan.

Begitulah kita... kadang-kadang dikaburi juga dengan sesuatu yang lebih mewah dan lebih 'menonjol'. Bukanlah saya berkecil hati sangat, cumanya saya rasa kalau kita nak bersedekah, biarlah orang yang menerimanya terasa akan nikmatnya. Kalau tidak, macam tak berkesanlah pulak. Sebab itu juga saya suka menghantar sumbangan ke negara luar yang kadar kemiskinannya jauh lebih tinggi dan mereka juga jauh lebih memerlukan.

Wallahu a'lam.

Friday, August 06, 2010

Bujang Kahwin Janda... Salah Ke?



"Mesti mak aku mengamuk!"

"Kenapa?"

"Sebab awek aku janda anak dua."

"Pasal pulak nak mengamuk?"

"Aku ni kan bujang? dah tu, dia tua dua tahun dari aku."

"Cakaplah baik-baik dengan mak kau tu. Dulu, masa Nabi Muhammad s.a.w. kahwin dengan Siti Khadijah r.a., baginda juga bujang dan isterinya itu janda dan lebih tua daripadanya. Sampai akhir hayat Siti Khadijah r.a., baginda sentiasa mencintainya, malah masih kekal menyayanginya walaupun isterinya itu sudah tiada lagi. Kalau Nabi (s.a.w.) boleh buat begitu, siapalah kita ni?"

"Itulah masalahnya... nanti mak aku kata aku bukannya nabi pun. Aku ni manusia biasa."

"Kenapa kita kena sukat manusia ni dan kita bahagikan mereka ikut status? sedangkan dalam Islam tak ada semua tu. Manusia adalah manusia. Peluang yang Tuhan bagi sama sahaja. Kalau dah itu suratan kita, kenapa pulak kita nak mempertikaikannya?"

"Pandailah kau cakap! kalau mak aku macam tu, senanglah..."

"Memanglah tak senang. Tapi kau kena jelaskan baik-baik. Mak kau tu hatinya lembut. Kan dia perempuan? kalau keras pun, akan jadi lembut juga kalau kau pandai pujuk. Macam kerak nasi. Keras pun, kalau kena air akan jadi lembut juga."

"Yalah... aku nak cuba strateji kau ni. Nak tengok lut ke tidak."

Okeylah... saja nak buat drama satu babak ni. Kisah Mamat dengan Man berbincang tentang calon isteri. Hari ini, sudah jadi trend ramai lelaki bujang suka kahwin dengan janda. Bagi mereka, janda lagi matang fikirannya, lagi mudah dibawa berbincang dan lagi tak banyak songeh.

Bagi saya, tak kisahlah anak dara atau janda. Yang penting ialah hati budinya. Kalau anak dara pun, tetapi hatinya tak indah, tak guna juga beristeri dengan anak dara. Kalau rasa hati boleh jadi aman damai kerana berkahwin dengan janda, apa salahnya? APA-APA PUN BOLEH.

Thursday, August 05, 2010

Bukan Untuk Dimiliki Tetapi Untuk Dikongsi



Saya jarang-jarang membaca novel saya sendiri dan kalau terpaksa membaca pun adalah kerana sebab-sebab tertentu. Novel-novel terawal saya, baru sahaja saya mengulanginya, itu pun kerana kami sedang proses menerbit semula novel-novel itu. Saya terpaksa menyemak dan mestilah kena baca. Begitu juga novel Kau Laksana Bulan, saya terpaksa membaca kerana membuat skripnya.

Baru-baru ini ada beberapa orang pembaca memberitahu saya yang mereka mengulang baca novel saya, 'Bunga-Bunga Kemboja'. Kebetulan, pembaca-pembaca saya ini merupakan antara yang meminati sangat-sangat kepada BBK. Masa tu, saya tak tergerak pula untuk membaca BBK. Lepas itu, ada seseorang yang 'approach' saya kerana BBK juga. Kali ini, saya terpaksa membacanya.

Kelakarlah pulak, sekalipun saya tidaklah lupa jalan ceritanya, tetapi saya dah lupa 'detail-detail'nya. Sebetulanya, bagi saya novel ini ada kelainannya. Satu... kerana saya menulis dari sudut mata hati lelaki, dan saya juga menulis dengan menggunakan 'Aku' bukan 'Dia'.

Ada juga segelintir pembaca perempuan saya marah-marah kerana BBK ini. Mereka tak suka watak utama... kerana hatinya berubah-ubah. (Hehe... mungkin sensitif kot, tambah pulak dia terfikir tentang nak kahwin lebih dari satu). Tetapi bagi saya, itulah kenyataan. Ramai lelaki di luar sana yang begitu dan bagi saya, itu bukanlah merupakan satu kesalahan tetapi kenyataan. Kebetulan juga, pembaca-pembaca lelaki saya suka dengan novel ini. Mereka kata saya mampu menulis sesuatu yang dekat dengan hati mereka... huhu. Tak kisahlah... bagi saya BBK hanyalah sebuah fiksyen. Tetapi... cerita itu sebenarnya saya ambil dari sesuatu yang pernah terjadi, dekat dengan saya. Tak payahlah saya bercerita di sini.

Apa pun, saya menangis membaca semula BBK. Ada episod-episod yang menyentuh hati saya. Walaupun novel itu saya yang tulis sendiri, tetapi seperti mana yang saya katakan, banyak juga yang saya dah lupa. Dalam novel ini saya memang kesian dengan Nabil. Mungkin saya faham hati lelaki kerana mempunyai ramai abang dan adik-adik lelaki dan juga anak lelaki. Dulu pun masa saya kerja di UKM, saya juga mempunyai ramai adik angkat lelaki... pegawai junior, yang baik dengan saya. Mungkin kisah ini ada kaitan dengan salah seorang daripada mereka.

Saya tersentuh apabila Nur Qahira bertanya pada Nabil tentang 'Sayang' dan 'Cinta'. saya juga suka dengan semangat 'kongsi' dalam bercinta. Yang menarik tentang BBK, banyak unsur dalaman, terutama perasaan insan dengan Tuhannya. Kita sebagai manusia tak pernah lari dari melakukan kesilapan kerana kita tidak pernah sempurna.

Saya suka dengan watak Veha Muhammad, budak genius yang berasal dari Kemboja.

'Biar kujadi bunga-bunga kemboja yang terlekat di tangkainya, bukan yang berguguran di atas tanah...'- harap-harap pembaca saya faham.

Huhu... blog saya, bolehlah saya tulis apa yang saya dah tulis ni.

Okeylah... saya sedang fikir-fikir ni, nak jadikan BBK sebagai drama bersiri macam KLB atau sebuah filem? Huhu... atau biarkan sahaja BBK sebagai novel koleksi saya... bukan untuk mana-mana skrin.

Wednesday, August 04, 2010

Hujan...



Awal pagi tadi hujan lebat. Masa nak tidur malam tadi, cik abang saya called... dia masih berada di Timur Tengah. Kata dia di sana sedang hujan lebat. Agaknya di Sana'a selalu hujan, dan mungkin teringatkan hujan di sana, maka Tuhan izinkan hujan juga turun di sini... hehe

Okeylah, mood saya bagus pagi ini, mungkin kerana malam nanti cik abang saya akan tiba dari sana, insya-Allah tepat pada waktunya. Kalau diikutkan, memang seronok makan angin atau berjalan-jalan, terutamanya ke ngara yang jauh-jauh. tetapi bila teringatkan perjalanan, terutama terpaksa duduk dalam kapal terbang berjam-jam, aduhai... itu yang tak syok tu. Perjalanan yang paling lama saya pernah lalui ialah ketika hendak ke Canada. Satu perjalanan sahaja sudah melebehi 24 jam (Rasa saya 26 jam). Memang meletihkan.

Sebab tu mungkin saya lagi seronok berjalan ke negara-negara yang berdekatan, seperti Thailand, Indonesia dan juga Kemboja. Satu hari nanti, saya nak cuba ke Filipina pula. Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan ke sebuah negara di sebelah Timur, yang selama ini saya belum pergi lagi dan kali ini saya akan ikut suami saya.

Okeylah, bagi pembaca-pembaca blog saya yang tak pernah ke mana-mana (luar negara), janganlah rasa terkilan, insya-Allah kita doakan suatu hari nanti anda juga akan ke sana. Lagipun, bagi saya di Malaysia ini juga banyak tempat yang kita boleh pergi. Saya suka berbual dengan sesiapa sahaja dan bila saya tanyakan kampung mereka saya akan berkata kepadanya, "Oh saya tahu tempat anda tu... saya pernah pergi." Tak kisahlah di mana pun, bagi saya semua tempat di dunia ini istimewa. Begitulah dengan manusia... kita semua mempunyai keistimewaan masing-masing. Tak kisahlah cantik ke tidak,pandai atau tidak, asalkan hati kita baik, itulah yang penting. Kalau hati kita indah, maka indahlah juga di mata...

Hari masih mendung dan hujan masih turun...

Tuesday, August 03, 2010

Hidup Dalam Dunia...



Hidup dalam dunia ni, kalau tak ada masalah mungkin pelik lah kot. Maknanya tak ada apa-apa yang terjadi pada kita. Agaknya kita hidup dalam gua. Takkanlah kot. Ah, biasalah kan, mana mungkin segala-galanya berjalan dengan sempurna, kerana kesempurnaan itu bukan kita yang punya. Setiap hari, ada-ada sahaja, kalau tak besar pun, mesti ada yang kecil. Tak apalah... jangan kita terlalu ambil kisah sangat, walaupun ada kala memang terpaksa kita ambil kisah juga, terutama kalau ia berkaitan dengan wang ringgit. Hari ini, kalau tak cukup wang, memang susah, kan? tapi nak cukup macam mana? Ada kala, kalau ikutkan selera kita, mungkin wang tak akan cukup-cukup. Kata orang Perak 'semedang tak cukup'. Huh!

Okeylah, berbalik kepada soal masalah hidup ni. Sebagai penulis macam saya ni, kadang-kadang lali juga dengan kata-kata orang di luar sana. Ada-ada sahaja cerita mereka tentang penulis macam saya ni. Ada-ada sahaja yang rasa tak puas hati. Paling bagus kerana penulis macam saya ni selalu diletakkan merata-rata dalam dunia penulisan. Tapi, tak usahlah sebut pasal dunia sastera kerana bagi mereka, penulis macam saya tak akan layak digolongkan dalam kumpulan sastera. Ada juga suka melabel penulis macam saya sebagai cebisan sastera yang dikenalkan sebagai sastera popular... itu pun kalau bernasib baik, kalau tidak, penulis macam saya sekadar dikategorikan sebagai penulis picisan.

Okeylah... semalam saya ada terbaca satu ulasan tentang 'Sastera'. Datangnya tentulah daripada mereka yang melabelkan diri mereka sebagai orang 'Sastera'. Kononnya, penulisan yang dianggap sebagai sastera itu adalah penulisan yang berilmu. Dalam hal ini, ilmu yang dikaitkannya mesti tentang isu negara, politik, agama... apa-apa sahaja yang dianggap berat dan penting untuk masa depan rakyat.

Saya bertanya juga pada diri saya ini, apakah yang dianggap berat dan berilmu itu? Dan macam mana kita sukat apa yang berilmu dan apa yang tidak? dan saya bertanya lagi, apakah hal-hal dan isu-isu sosial, isu kehidupan seharian, isu kasih sayang dalam keluarga, isu remaja hari ini, isu rumah tangga... semua ini bukan isu penting dan tidak kita lihat sebagi berat? tak mustahak untuk negara? dan bukan merupakan hal sastera?

Okeylah... mungkin saya tak cerdik sangat, tapi saya bertanya lagi pada diri, soal berat dan isu yang mereka anggap penting itu, sebenarnya untuk siapa? untuk masyarakat biasa-biasa? dan kalau isu ini dibangkitkan dalam novel yang ditulis, apakah masyarakat biasa-biasa ini akan membacanya?

Saya bertanya lagi. Hebatkah kalau kita tulis hebat-hebat dan berat-berat tetapi tak berapa kerat sahaja yang membacanya?

Sebagai penulis, tidakkah kita perlu melihat apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dan dari situ kita cuba mendekati masyarakat dan bawakan sama isu-isu yang sering menjadi isu mereka yang membaca? apakah kalau kita buat begitu kita masih dianggap penulis yang tak bijak dan tidak menilai estetika sastera?

Tidakkah kita melihat hal sosial hari ini merupakan isu berat? hal kekeluargaan, hal kasih sayang turut merupakan isu penting? Salahkah orang-orang seperti saya menulis perkara-perkara ini yang saya anggap penting? dalam hal ini, penulis seperti saya selitkan juga isu-isu keagamaan agar pembacanya tidak terlupa kepada Tuhan dan lali dengan hal dunia semata-mata.

Cara penulisan orang-orang seperti saya kurang kelihatan berat kerana targetnya ialah masyarakat umum, tetapi yang penting bagi penulis seperti saya ialah apa yang saya tulis akan dibaca orang. Dan salahkah orang-orang seperti saya ini, kalau karya kami menyentuh hati pembaca lalu mereka membelinya? apakah masih kami akan dituduh sebagai mereka yang gilakan duit semata-mata, bukan pentingkan hal-hal estetika sastera?

Alamak... letih juka bila difikirkan hal-hal ini. Jadi... biasalah, penulis seperti saya akan terus menulis, kerana kalau kita nak ambil hati dengan kata-kata mereka yang sememangnya tak suka dengan kita, maka kita tak akan mampu menulis lagi. Takkanlah kita nak kosongkan ruang-ruang yang disediakan untuk 'buku-buku Melayu' di kedai-kedai buku? Nanti tak ada siapa pula yang nak mengisikannya. Kesian orang Melayu, terus tak payah baca. Bukan senang nak tulis benda-benda berat dan bukan senang juga untuk diterbitkan buku-buku ini!

Okeylah... kita cerita sikit pasal drama KLB malam tadi. Not so bad lah... tapi saja lah saya suka nak bercerita, semenjak ada drama ni, ramai juga yang bertanya tentang cerita tu. Kalau nak tahu... KLB mengisahkan seorang penulis dan kehidupan sehariannya sebagai seorang insan yang cuba mencari rezeki dari sudut itu. Kehidupan seorang wanita muda yang kadang-kadang terperangkap dengan pilihan-pilihannya dan tekanan yang datang berdepan dengannya. KLB adalah cerita simple tetapi mungkin dekat dengan kita, kerana ia bukan kisah anak Datuk atau Datin, bukan kisah orang kaya-raya, tapi sekadar cerita orang biasa-biasa, duduk di kawasan biasa-biasa, di mana ramai yang suka bergosip tentang jiran tetangga. Biasa, kan?

Righto! Saya nak terus menulis. Insya-Allah.

Monday, August 02, 2010

Dia Tahu Apa Yang Ada Di Hati...




Mungkin anda tak perasan pun lirik lagu ini, kerana ini merupakan lagu lama (taklah lama giler), tapi saya memang suka dari dulu lagi lirik lagu ini. Macam ada yang terkesan dengan jiwa saya, atau mungkin juga ada kaitan dengan diri saya. Di bawah ini adalah sebahagian sahaja lirik lagu dari 'Savage Garden' yang berjudul 'I Knew I loved You'. Lagu tu memang sedap, tapi saya suka liriknya. Bagi saya, kalau lirik lagu tu sedap, sedaplah lagu tu.

I knew I loved you before I met you
I think I dreamed you into life
I knew I loved you before I met you
I have been waiting all my life
A thousand angels dance around you
I am complete now that I've found you
I knew I loved you before I met you
I think I dreamed you into life
I knew I loved you before I met you
I have been waiting all my life
I knew I loved you before I met you
I think I dreamed you into life
I knew I loved you before I met you
I have been waiting all my life

Okeylah... hujung minggu yang sibuk juga buat saya walaupun suami saya tak ada di sini. Hari Sabtu... saya ke Janda Baik dan hari Ahad pula saya menghadiri satu kursus yang berkaitan dengan penulisan. Saja suka-suka nak pergi, atau lebih tepat, saja seronok nak jumpa orang lain yang ada kena-mengena dengan bidang penulisan. Mungkin saya pergi kursus tu pun sebab hujung minggu ni suami saya tak ada. Jadi tak adalah rasa bersalah kalau sibukkan diri.

Hari Isnin macam ni, ada eloknya juga kalau kita bermula dengan semangat yang kuat untuk lakukan apa sahaja yang kita hendak lakukan. Tak kisahlah apa orang lain kata tentang diri kita, tapi kita teruskan usaha kita. Inilah pengalaman saya, tak kiralah macam mana kita cuba nak berlaku baik dengan orang lain, akan ada yang membenci kita. Jadi, tak usahlah kita ambil kisah tentang orang lain yang tak suka kita atau bersangkaburuk tentang kita. Kita teruskan sahaja perancangan kita untuk lakukan apa sahaja yang kita mahu lakukan atau idam-idamkan.

Tak usahlah kita tunggu orang kata okey, atau nak puji kita baru kita nak buat sesuatu. Buat sahajalah. Kita buat juga sekalipun orang mengutuk kita. Yang penting, kita berusaha dan kita berdoa pada Tuhan Maha Esa. Kalau berdoa tapi tak berusaha, tak jadi juga. Kalau berusaha tapi tak kisahkan Tuhan, lagi tak jadi. Kena ada dua-dua. Teruskan dengan semangat kuat kita dan buatlah apa yang kita nak buat! Insya-Allah... Tuhan melihat kita dan tahu apa yang ada di hati kita.