Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Thursday, October 08, 2009

Berilah Semangat...



Kadang-kadang dalam hidup ini kita perlukan teman yang rajin memberi semangat kepada kita. Kata-kata semangat, fikiran yang positif, dorongan dan sokongan... bukan kata-kata yang boleh melemahkan semangat kita. Kalau kita mempunyai teman atau kenalan yang suka melemahkan semangat kita, elok kita jauhkan. Kerana teman yang suka buat begitu kepada kita sebenarnya mahu melihat kita jadi orang yang lemah, bukan gagah.

Sebagai penulis, kita perlukan teman-teman yang rajin meluahkan kata-kata semangat kepada kita. Sebagai manusia biasa, tentu kita tak dapat memenuhi permintaan semua orang, namun kita buat apa yang kita rasa terbaik buat kita. Memang tidak mudah untuk puaskan hati semua orang, tetapi kalau ramai yang berpuas hati dengan usaha kita, jangan bimbang. Itu bermakna kerja kita okey. Pedulikan kepada mereka yang berasakan yang usaha kita tak sebaik mana. Memang manusia begitu. Ada yang suka cari kesalahan. Ada yang hanya pentingkan diri mereka sahaja, apa-apa yang orang lain buat yang tidak memenuhi selera mereka, itu bermakna usaha itu tidak elok. Tidak mencapai standard yang ditetapkannya.

Sebagai penulis, kita mempunyai keluasan fikiran untuk menulis. Jangan biarkan orang lain mengepung hidup kita. Mengecilkan skop kita untuk menulis. Kita harus bijak mencari kelainan dan jangan biarkan mereka yang tak suka pada kelainan, merasuk dan merosakkan cara kita. Memang ada di luar sana yang suka mengecil-ngecilkan kebolehan kita dan dengan itu melemahkan semangat kita untuk menulis.

Kalau ada orang yang cuba buat begitu kepada kita, biarkan sahaja. Kita teruskan usaha, buat yang terbaik, percaya pada diri sendiri dan yakinlah... kita boleh lakukannya! Insya-Allah.

Berilah semangat...

Setiap Saat Hidupku...


Setiap hari, beginilah hidup kita. Ada ketika, semuanya indah belaka, dan ada kala, macam-macam yang datang membebankan perasaan. Namun, itulah sebuah kehidupan. Setiap dugaan yang datang, ia adalah satu 'moment' yang terjadi mungkin ketika ia berlaku, kita tidak melihat akan hikmahnya. Mungkin suatu hari nanti, kita akan tersedar dan tahu mengapa ia sebenarnya berlaku. Tuhan yang maha mengetahui.

Setiap apa yang terjadi, ada sebabnya. Itulah keindahan sebuah kehidupan. Sama ada kita sedang berada di atas atau di bawah, tak ada apa-apa yang berlaku itu tiada harganya. Tuhan mengizinkan kita untuk merasa, segala rasa yang ada. Yang cantik, yang buruk, yang sedap, yang tawar, yang pahit, yang sihat dan yang sakit. Tidak pernah sama. Kalau setiap hari itu sama saja, bayangkanlah... kita akan merana dan sengsara, kerana hidup menjadi bosan. Tuhan mengerti hamba-Nya. Bersyukurlah selagi kita masih bernafas, selagi kita terasa sihat dan masih berpeluang untuk menikmati kehidupan.

Setiap dugaan yang datang itu, sebenarnya akan mendekatkan kita kepada-Nya. Bayangkanlah kalau tiada apa-apa yang menggugat hidup kita, mungkin Tuhan pun kita lupa. Kerana Dia sayangkan kitalah, maka akan datang pelbagai rintangan untuk mengejutkan kita. Sayangilah Dia seperti mana Dia menyayangi kita. Tak sedetik pun Dia terlupakan kita. Tak sesaat pun Dia tiada bersama kita. Hargailah setiap masa yang kita ada,semoga setiap rasa yang datang, kita akan rasa keindahannya.


*ps: malam tadi suami saya sudah pun belayar. Semoga selamat pergi dan selamat kembali.