Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Wednesday, June 17, 2009

Yang Mana Satu?

Memang payah nak jumpa kaum Hawa yang memilih tak mahu berkahwin. Biasanya, semua orang perempuan mahu berkahwin, cuma terpulang kepada Qada' dan Qadar, jodoh dan ketentuan Tuhan. Ada ketika, sekalipun sejak awal-awal lagi sudah terasa mahu mempunyai teman dan berkahwin, tetapi mungkin kerana tiada rezeki, sehingga umur sudah meningkat, masih tidak juga berkahwin. Pun begitu, siapa tahu apa yang akan terjadi di masa akan datang, kecuali Tuhan yang Maha Esa.

Ada juga keadaan di mana sejak kecil lagi, ibu bapa mengahalang anak perempuan mereka untuk berkenalan dengan kaum lelaki. Mereka takut anak mereka akan terpedaya dengan ucapan dan janji manis sang lelaki. Mereka juga mahu anak perempuan mereka tumpu pada pelajaran. Dan setelah habis belajar, mereka mahu anak perempuan mereka bekerja dan mungkin membantu keluarga. Ada juga kes, sememangnya anak perempuan itu tak biasa dan tak suka berkawan dengan budak lelaki, sekalipun dari jarak jauh. Dalam kes-kes yang begini, banyak anak perempuan yang terus membesar tanpa mengenali mana-mana lelaki yang merupakan bukan muhrimnya.

Bagi saya, dalam kes-kes yang begini, ibu bapa seharusnya berusaha untuk dapatkan orang ketiga bagi mencari pasangan anak perempuan mereka. Janganlah biarkan anak perempuan dibesarkan tanpa berpeluang untuk bertemu jodoh. Sungguhpun jodoh itu ditentukan Tuhan, namun dalam apa jua keadaan, kita sebagai manusia patut berusaha. Lakukan sesuatu agar anak perempuan kita akan hidup seperti orang lain juga.

Pun begitu, ramai yang takut untuk mencuba kerana melihat di sekeliling mereka. Hari ini, perceraian terjadi tak henti-henti bagaikan satu trend yang patut diikuti oleh semua. Perceraian terjadi dalam perkahwinan yang baru dan juga yang lama. Pasangan hari ini bagaikan payah hendak berunding, bagaikan payah hendak bersabar dan masing-masing, tak mahu bertolak-ansur.

Bagi saya, hendak kahwin kita juga yang memilihnya. Hendak bercerai, kita juga yang mencarinya. Yang mana satukah patut menjadi pilihan kita? Bukankah kalau kita memilih untuk berkahwin, kita juga sudah bersedia untuk berdepan dengan apa jua rintangan dan dugaan yang akan datang dalam perkahwinan kita? Dalam kehidupan, memangnya begitu, tak ada yang mudah. Ada naik turunnya. Hidup memang macam roda, ada kala kita di atas dan ada kala kita di bawah. Tetapi kenapa kita mesti dihantui dengan ketakutan untuk berjuang dalam menguruskan rumah tangga?

Mungkinkah kerana keadaan seperti ini juga membuatkan ramai kaum Hawa yang lebih senang untuk memilih tinggal bersendirian tanpa sang lelaki untuk menjadi teman? Lebih baik membujang daripada ada suami yang tak mampu untuk membahagiakan? adakah teori ini tepat? Tapi, kalau tak cuba berkahwin, mana nak tahu, kan?

Apa-apa pun, bagi saya... biarlah kita fikirkan yang indah-indah dan yang baik-baik. Fikirkan yang positif tentang perkahwinan. Usahakan untuk mencari pasangan, tak kira berapa umur kita sekalipun. Carilah jodoh yang paling sesuai untuk kita, insya-Allah, Tuhan akan membantu.