Semenjak berada di persada dunia penulisan, banyak perkara yang saya pelajari. Sebagai penulis, syarat pertama yang perlu kita ada selain daripada kebolehan dan bakat untuk menulis, ialah sifat profesionalisme. Kita harus bersifat profesional agar kita akan selalu disenangi oleh siapa sahaja yang berurusan dengan kita. Sebagai penulis, mungkin kita menghantar karya kita ke merata-rata tempat. Itu adalah hak kita dan tiada sesiapa yang boleh menyoalnya. Pun begitu, sebagai penulis, kita juga perlu ada tanggungjawab untuk pastikan apa sahaja 'info' yang kita ada tentang mana-mana pihak penerbit yang berurusan dengan kita, kita tidak menyampaikannya ke tempat lain. Kita perlu menghormati penerbit yang menerbit karya kita, sekalipun mungkin ada perkara tertentu yang kitab kurang senang tentang sesuatu penerbit itu. Percayalah, dunia penerbitan buku di tanah air kita ini, tidak besar mana pun. Lambat-laun, apa-apa yang kita katakan itu akan sampai juga kepada yang berkenaan.
Saya masih teringat lagi sebuah cerita benar yang terjadi di dunia penerbitan buku ini. Adalah seorang penulis (biar saya namakan X), pernah berhubungan dengan sebuah penerbit dan telah berjanji untuk terbitkan sebuah karyanya. Tanpa sedari, pihak berkenaan (penerbit itu, biar saya namakan 'S') telah menceritakan kepadanya tentang kewujudan lain-lain pihak penerbit yang ada termasuklah penerbit W. Tahu-tahu, Si X tadi telah pun berhubung dengan penerbit W ini(seperti yang diceritakan kepadanya dan kebetulan penerbit itu jauh lebih besar daripada penerbit S tadi). Tiba-tiba sahaja penulis X berbuat janji dengan penerbit W ini pula, untuk menghantar karyanya yang sama (yang sudah dijanjikan kepada Penerbit S).
Penerbit S tidak tahu tentang hal yang dilakukan oleh penulis X. Namun karyanya itu tidak pernah sampai, sehinggalah satu ketika apabila penerbit S menerima mesej e-mel daripada Penerbit W, menceritakan kepadanya tentang perbuatan penulis X. Apabila Penerbit W tahu tentang tindakan tidak profesional penulis X, penerbit W telah menolak terus karyanya itu dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan penulis berkenaan. Pun begitu, Penerbit S pula, di atas perasaan simpati, telah menerima karya penulis X (karya yang lain pula).
Namun begitu, mungkin kerana ketiadaan sifat profesional pada penulis X, Penerbit S juga susah hendak berkerjasama dengannya. Malah, sikapnya itu sudah dihebahkan di sana-sini (mungkin banyak kali dia melakukan perkara yang sama dengan penerbit yang lain pula) dan banyak penerbit yang sedar akan sikapnya itu.
Bagi saya, sebagai penulis yang mahu bersifat profesional, biarlah kita berlaku adil kepada mereka yang menerbitkan karya kita, kecualilah kalau penerbit berkenaan tidak berlaku adil kepada kita. Janganlah mudah sangat kita menjaja sana-sini tentang mana-mana penerbit yang kita tak suka dan janganlah kita melambung tinggikan pula penerbit yang menjadi kegemaran kita. Kalau kita bersifat demikian, suatu hari nanti, semua orang akan tahu juga. Percayalah... dunia penerbitan itu tak besar mana pun.