Beginilah jadinya kalau sudah ditakdirkan tidak sihat. Saya memang berkobar-kobar untuk ke Gunung Ledang. Dah lama sangat nak pergi ke sana. Memanglah tak ada niat nak panjat sampai ke hujung, tapi cadangnya tu, nak tengok-tengoklah tempat tu. Jadi, hari Rabu yang lepas saya pun bertolaklah dari Nilai. Satu jam sahaja saya dah tiba pekan Tangkak. Okeylah tu. Lima belas minit lagi, dah sampai di kaki gunung. Kami pun bersedialah untuk naik tinggi sikit. Sempatlah saya mengintai-intai di Resort Gunung Ledang yang terletak di kaki bukit. Okey jugak resort tu... penuh pun. Memang sesuai untuk keluarga bercuti di situ. Kami terus berjalan untuk naik ke atas lagi, sambil perhatikan orang ramai yang sedang bermandi-manda di sungai. Air sungainya bersih (maklumlah datangnya dari atas gunung) dan berbatu-batu besar dan berair terjun. Riuh rendah di kawasan itu.
Dalam perjalanan, terserempak pulak dengan buaya. Eh,bukan buaya, tapi biawak! Terkejut kami sebab biawak tu memang besar... macam anak buaya. Dah tu, biawak tu main lepak aje kat tepi lorong yang kami lalui tu. Menggerunkan!
Mula-mula, saya okey saja, sebab tangga yang saya naiki tak adalah yang teruk. Tetapi, sebaik sahaja saya terpaksa naiki tangga curam yang disediakan untuk naik ke atas lagi, terpaksalah juga saya lakukan. Perlahan-lahan, berjaya juga saya menapak sampai ke hujung tangga itu, tapi malangnya mungkin kerana saya memang dah tak sihat (darah rendah), saya hampir pitam. Dada saya sesak. Macam tak ada oksigen. Terus terduduk (mujurlah ada bangku yang disediakan) dan tak bergerak-gerak lagi. Kepala saya jadi macam besar dan pemandangan saya terus jadi gelap. Saya tak boleh nak buka mata dan tak boleh berdiri lagi. Jenuhlah kena rehat di sekitar kawasan itu kerana saya dah tak boleh pergi ke mana-mana lagi.
Setelah berehat lama dan setelah rasa agak okey, kami pun turun semula. Terpaksalah kami tinggalkan kawasan Gunung Ledang dan pergi terus ke pekan Sagil. Mujurlah saya bawa anak bongsu saya sekali, kerana dialah yang terpaksa membawa kereta kami. Walaupun dia baru lagi dapat lesen memandu, saya terpaksa menyuruh dia memandu kerana saya sudah tidak berdaya. Kemudiannya kami menghala ke Bukit Gambir untuk singgah di rumah kakak saya (kakak saya berkahwin dengan orang sana). Sebaik sahaja saya tiba di rumahnya, saya terus berbaring merehatkan badan. Rupa-rupanya saya demam. Terpaksalah makan ubat pulak. Tekanan darah saya rendah. Terpaksalah anak saya yang memandu untuk pulang ke rumah kami lewat petang itu. Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah, tetapi sehingga ke hari ini, saya masih belum sihat.
Apa nak buat... hajat saya untuk ke sana sudah pun ditunaikan, cuma saya tak puas melihat tempat itu. Lain kali, terpaksalah saya berjaga-jaga kalau hendak mendaki bukit. Saya juga kena pastikan yang badan saya betul-betul bersedia.