Percaya tak? Biasanya apa yang kita tak gemari itu, itulah yang kita akan dapat. Misalnya, kawan saya ni. Dia tak suka benar pada orang-orang yang datang dari negeri X ni. Katanya, kalau dia nak cari pasangan hidupnya, tak boleh orang negeri X. Dia tak suka. Tetapi, Tuhan lebih mengetahui. Kebetulan pasangan yang telah menambat hatinya adalah orang dari negeri X. Aduhai... terpaksa tukar pandangan.
Begitu juga kisah dengan kawan saya seorang lagi ini. Dia pula paling tak suka orang yang berketurunan S. Macam pantang tok nenek dia, tak boleh langsung sebut pasal orang-orang yang berketurunan itu. Tetapi, seperti kawan saya tadi, itulah pasangannya. Dia telah berkahwin dengan orang yang berketurunan S itu.
Cerita seorang kawan saya lagi, dia pula paling meluat dengan M, rakan pejabatnya. Ada-ada sahaja yang tak kena pasal M tu. M sombonglah, M berlagaklah... macam-macam lagi. Tetapi akhirnya, M telah menjadi rakan baiknya. Hinggalah ke hari ini.
Seorang kawan pejabat saya dahulu (lelaki), selalu berkata yang dia mahu mencari isteri yang cantik dan bergaya. Malah,semua makwe-makwenya memang begitu.Tastenya memang tinggi. Nak yang cantik dan bergaya sahaja. Tetapi akhirnya, dia telah berkahwin dengan seorang wanita yang biasa-biasa sahaja, dari segi rupa dan juga gaya. Malah, ada juga kawan-kawan yang terkejut apabila melihat pilihannya itu. Saya masih teringat lagi saat bertemu dengan isteri yang baru dinikahinya. Memang terbalik daripada apa yang kami sangkakan.
Sebenarnya, sebagai manusia, apa yang mampu kita lakukan ialah berdoa untuk dapat yang baik-baik sahaja, sama ada sebagai teman atau pasangan hidup. Jangan kita sukat orang dari segi paras rupanya, keturunannya, atau tempat asalnya. Lihatlah hati mereka. Kadang-kadang kita sekadar mampu membuat andaian, dan biasanya 'First Impression' tak mestinya tepat. Tuhan lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.
Tuhan sebenarnya sengaja menduga lalu mengaturkan sesuatu untuk kita kerana apa yang berada di hati kita itu.
Wallahu'alam