Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, April 28, 2008

Fakta Mesti Betul.

Semalam, ketika saya sedang dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands, ada seorang pembaca menghubungi saya. Dia ingin menyatakan sesuatu tentang sebuah buku yang sedang dibacanya (bukan buku saya).

Katanya, "Kak Aina... saya tak puas hati baca buku ini."

Saya menyoal. "Kenapa pulak?"

"Fakta dia tak betul. Saya tahulah buku ni buku cinta, tapi kenapa penulis tak selidik dulu?"

"Kenapa? Apa silapnya?" soal saya lagi.

"Dia tulis tentang hukum hakam agama, tapi bendanya tak betul. Ini yang saya malas nak baca ni." Rungutnya lagi.

Saya tak dapat untuk berkat apa-apa. Saya tahu perasaan pembaca itu. Sekalipun sekadar membaca sebuah novel (buku fiksyen), pembaca mengharapkan fakta yang tepat, tak boleh main hentam sahaja. Saya tahu memang ada pembaca yang tak kisah semua itu, tapi ramai yang ambil berat tentang hal seperti itu. Sekalipun bahasa mungkin tak indah, tak berbunga-bunga, fakta tak boleh salah! Kalau kita nak tulis tentang penyakit, semak dulu. Jangan main 'tabi' sahaja. Kalau kita nak tulis tentang undang-undang, termasuk undang-undang syariah, kita tanya orang yang tahu atau semak dalam buku. Macam-macam organisasi yang boleh kita hubungi. Sebagai penulis, kita janganlah malas untuk buat kajian dan jangan mengandaikan kita tahu semua sekalipun kita merupakan graduan universiti.

Sekalipun hendak menulis tentang lagu, pastikan tepat faktanya. Janganlah sebut nama lagu yang dimainkan pada masa yang tak tepat. Semak bila lagu popular itu diterbitkan. Jangan dendangkan lagu itu di masa yang tak betul, pembaca akan tahu. Begitu juga dengan model kereta. Jangan sentuh tentang kereta yang kita tak tahu bila dikeluarkan. Misalnya, cerita kita itu berkisar lima enam tahun yang lalu, tetapi hero sudah menaiki kereta jenis 'Neo Satria', sedangkan orang semua tahu yang kereta itu belum wujud lagi. Sebagai penulis, kita harus prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Kita harus ingatkan diri kita untuk pastikan fakta yang ditulis adalah tepat! Tak guna kalau buku kita jadi 'best seller' tapi maklumatnya tak betul! Kita mesti ingat, ini adalah tanggungjawab kita sebagai penulis. Kita menyampaikan maklumat pada pembaca dan ramai pembaca kita adalah orang muda. Pastikan kita tidak membohongi mereka! Kalau nak tulis, tulislah... tapi tulislah dengan bijaksana.