Orang Melayu tak punyai pilihan tetapi untuk berubah. Kita tak boleh lagi berkhayalan! Kita tak boleh lagi ralit dengan hiburan dan perkara ini perlu kita sampaikan kepada semua ahli keluarga, kawan-kawan dan orang kampung kita. Kalau kita masih ralit dengan perkara-perkara yang akan musnahkan kita, satu hari nanti orang sudah tak kenal lagi kepada bangsa dan kaum etnik Melayu. Kita jangan harapkan supaya orang lain yang menolong kita untuk berubah, tetapi kita mesti lakukan sendiri.
Orang Melayu juga perlu berubah cara berfikir. Jangan bergantung kepada 'makan gaji' sahaja kerana memang sudah tak ada jawatan untuk kita semua. Bayangkanlah, orang Melayu mengharap kepada jawatan-jawatan awam dan setakat mana mampu pihak awam membantu. Di pihak swasta pula, kebanyakannya adalah bukan hak orang Melayu. Memang kita payah nak tumpang. Alternatif lain ialah untuk berniaga sendiri. Memanglah tak mudah, tapi dengan usaha yang gigih, perniagaan (apa sahaja bidang) dapat membantu. Lihatlah pada orang lain yang bukan Melayu, kenapa mereka boleh?
Terlalu banyak program televisyen yang ditujukan kepada orang Melayu dan program itu semuanya membuat orang kita ralit. Program-program realiti yang menghiburkan berjaya untuk memusnahkan orang Melayu dan menguntungkan orang lain. Lihatlah pada diri kita ini. Masih mahu lagi berhibur-hibur tak henti-henti? Sampai bila kita akan begini?
Beritahulah pada ahli keluarga kita bahawa kita perlu berubah. Jangan buang masa dengan hiburan yang tak berhala-tuju itu. Jangan buang masa berlonggok-longgok di pusat beli-belah. Jangan buang masa dengan apa-apa sahaja yang tak berfaedah. Carilah ilmu kerana hanya dengan ilmu sahaja kita akan berjaya berubah. Lihatlah.... hanya 4% sahaja harta di negara ini dipunyai oleh orang Melayu sedangkan jumlah penduduk, orang Melayu yang mendahului. Sampai bila kita akan begini?
Selama ini, kita mengharapkan bantuan. Selama ini kita mempunyai sikap yang sama... tunggu bantuan dan malangnya buat kita, bantuan itu tidak menolong kita. Bukan itu sahaja, tetapi memang malang buat kita kerana ramai yang diamanahkan untuk membantu tidak tunaikan amanah mereka. Orang Melayu dibiarkan terus berkhayalan... taksub dengan hiburan.
Bagi penulis-penulis yang membaca blog ini, marilah kita ramai-ramai membantu orang Melayu. Kita tulislah perkara-perkara yang boleh menolong orang kita berubah. sekalipun menulis buku cerita atau buku cinta, kita masih boleh lakukan sesuatu untuk menyebarkan ilmu dan mesej yang dapat menolong orang Melayu. Ingatlah... hanya menerusi tulisanlah orang lain akan mendapat mesej dan ilmu yang mahu disampaikan. sekalipun menulis buku kanak-kanak, biarlah kita sampaikan ilmu yang dapat menolong kanak-kanak itu menjadi orang yang amanah, orang yang bekerja kuat, orang yang boleh berfikir waras dan orang yang takut kepada Tuhan.