Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Monday, September 29, 2008

Salam Aidil Fitri

Antara yang menarik tentang ketibaan bulan Syawal, ialah kerana ramai teman-teman yang dah lama tak berhubungan, akan berusaha untuk bertanya khabar. Beginilah setiap tahun. Sekalipun terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadhan dan terus berdoa agar Tuhan panjangkan umur untuk berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang, namun Syawal tetap mulia kerana pada ketibaannya, kita akan secara automatik teringat pada teman-teman, saudara-mara... tak kira dekat atau jauh. Semoga silaturahim terus berkekalan, sama-sama bermaaf-maafan dan sama-sama menghormati yang tua dan yang muda.

Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan Salam Aidil Fitri buat semua pengunjung blog saya. Kepada mereka yang beragama Islam, nikmatilah keindahan agama yang dikurnia Allah SWT buat kita semua. Semoga terjalin ikatan kasih sayang.

Wednesday, September 24, 2008

Kongsi

Sebagai penulis, saya banyak berkongsi ilmu dengan penulis dan bakal penulis lain. Bagi saya, tak mengapa berkongsi ilmu, kerana dalam Islam perkara itu memang digalakkan. Malah, kalau kita mahu kembangkan industri buku dan jadikan budaya membaca sebagai sebahagian daripada hidup kita, maka kita tak bolehlah berkira-kira untuk sampaikan maklumat kepada orang lain. Mungkin cara kita tak serupa dengan orang lain, namun apa sahaja yang kita tahu dan pelajari melalui pengalaman menjadi penulis, eloklah kita kongsikan bersama orang lain. Agar lebih ramai yang tahu dan faham tentang apa yang mereka perlu lalui dan pelajari.

Dalam hal ini, bagi saya antara maklumat terpenting untuk jadi seorang penulis yang komited ialah dengan memastikan fakta yang dimuatkan dalam penulisan adalah tepat. Selain daripada itu, penulis perlu punyai disiplin diri yang tinggi. Tak usah bermimpi untuk jadi penulis kalau kita selalu bertangguh-tangguh atau hangat-hangat tahi ayam. Kita mesti serius. Jangan cakap mahu jadi penulis kalau tak ada satu ayat pun yang sudah kita tulis untuk dinilai oleh orang lain. Kalau rasa nak jadi penulis, jangan buang masa. Tulislah. Kalau gagal, jangan putus harapan. Buat balik. Sekalipun berkali-kali manuskrip kita ditolak, jangan putus asa! Buat lagi dan belajarlah.

Monday, September 22, 2008

Menghayati Islam

Ramai yang bersembahyang, lagi ramai yang berpuasa dan ramai juga yang menghabiskan masa di masjid. Namun begitu, dalam bulan yang mulia ini, masih kedengaran lagi cerita tentang orang Islam yang makan di siang hari. Saya sendiri pernah terserempak dengan sekumpulan lelaki-lelaki Melayu (berbaju pejabat, siap bertali leher) dalam lingkungan pertengahan umur, sedang makan tengah hari di sebuah restoran India di Petaling Jaya, pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan. Kebetulan, saya menyinggah kerana mahu membeli manisan India untuk anak-anak dan kerana saya bertudung, kumpulan lelaki itu terasa malu teramat sangat apabila memandang saya yang masuk ke dalam restoran itu dan terserempak dengan mereka. Sudahlah mereka tak berpuasa, makan pula pada jam orang lain sedang bersolat Jumaat. Pun begitu, bukan tugas saya untuk menghukum mereka.

Apapun, yang penting buat kita semua, ialah untuk menghayati agama itu sendiri. Kalau kita dapat menghayatinya, tak ada tugas yang diperintah Tuhan menjadi berat buat kita. Malah, kita akan sentiasa rasa tak sabar untuk mengerjakannya. Tak sabar untuk menunaikan solat, tak sabar untuk menunggu Ramadhan tiba, tak sabar juga untuk mencari rezeki agar kita boleh tunaikan sedekah dan membayar zakat. Tak ada benda yang disuruh Allah SWT yang menjadi berat.

Bukan itu sahaja, malah kita sentiasa mahu dekat dengan-Nya. Kita mahu disayangi-Nya, kita mahu melakukan semua yang baik untuk-Nya. Kita hidup kerana-Nya dan mati juga untuk kembali pada-Nya.

Wednesday, September 17, 2008

Mencari Perubahan

Semasa saya mengikuti program ijazah sarjana dalam bidang pengurusan, bertahun-tahun yang lalu, di University of Liverpool, antara perkara penting yang saya pelajari ialah kekuatan 'Perubahan' dalam hidup kita untuk mencapai kejayaan. Semasa saya pulang ke UKM dan bertugas semula di Bahagian Latihan, itulah perkara utama yang saya cuba sebarkan dalam masyarakat di universiti itu... 'PERUBAHAN'.

Banyak orang menganggapkan bahawa manusia susah berubah dan tak suka untuk berubah. Mungkin teori itu ada betulnya. Namun, tahukah kita bahawa setiap insan boleh menjadi lebih baik lagi dengan melakukan perubahan dalam diri dan amalan. Kita boleh berubah melalui latihan yang diberi. Yang penting, kita perlu usahakan untuk mengubah sikap yang negatif kepada yang positif.

Ada orang suka menggunakan perkataan 'no' lebih kerap daripada 'yes'. Apa sahaja yang mahu dilakukan atau disarankan untuk dilakukan, dia akan berkata 'no' atau 'tak boleh', payah untuk dia berkata 'yes' atau 'ya, boleh'. Dia beranggapan, apa sahaja yang mahu dilakukan adalah payah dan kerana susah, lebih baik jangan buat. Kerana itu, apa sahaja yang disarankan tak akan dilakukannya kerana dia beranggapan perkara itu tak boleh dilakukan.

Untuk mencari perubahan, kadang-kadang kita perlu 'berhijrah'. Mungkin dari satu tempat kerja ke tempat kerja yang lain. Dari satu syarikat ke satu syarikat yang lain. Ada ketika, kita perlu berpindah rumah. Bertukar kerjaya. Kalau kita melihat 'perubahan' sebagai sesuatu yang positif, otak kita akan menerima ia sebagai sesuatu yang positif dan itu akan membawa kepada suatu perubahan yang positif juga.

Insya-Allah, kalau kita mahu mencari kejayaan dalam hidup, kita perlu bertindak positif dengan mencari perubahan dalam hidup. Tak mungkin kita boleh berubah kalau kita punyai sikap yang negatif tentang hidup kita dan perubahan yang perlu kita lalui. 'PERUBAHAN' adalah dalam pelbagai perkara dalam hidup kita. Jangan takut untuk mencari perubahan kerana biasanya, hanya perubahan yang mampu membawa kecemerlangan, kepuasan dan kejayaan dalam hidup. Kadang-kadang, kita perlukan ketua yang berbeza atau perubahan dalam 'leadership' untuk mencari kejayaan!

Renung-renungkanlah.

Sunday, September 14, 2008

Apabila Tertekan

Macam-macam boleh terjadi apabila manusia rasa tertekan. Cuba kita lihat di beberapa negara di Afrika. Kebanyakan rakyat negara-negara ini adalah golongan yang kurang berpelajaran dan miskin. Apabila mereka tertekan kerana tak punyai makanan dan pelajaran, mereka mula bertindak secara agresif. Nyawa manusia tak ada beza dengan nyawa musang di hutan. Mereka boleh berbunuhan dan melihat mayat sesama sendiri bergelimpangan. Semuanya tak ada harga dan nilai. Mereka bertindak begitu untuk lepaskan perasaan yang tertekan.

Tetapi di negara yang rakyatnya berpelajaran dan tidak papa kedana, mereka akan berfikir sebelum melakukan sesuatu untuk mencari perubahan. Kita tengok di Eropah Timur ketika kerajaan berubah tangan meninggalkan komunisme. Sekalipun ada negara yang berdepan dengan kacau-bilau dan peperangan, ia terjadi kerana pergaduhan antara agama, antara negara yang berjiran dan campur tangan negara lain. Pun begitu, mereka sesama sendiri tidaklah berbunuhan kecuali dengan puak yang dianggap musuh.

Lihat pula negara seperti Iraq. Hingga hari ini, negara itu musnah belum dapat dipulihkan lagi, gara-gara campur tangan pihak luar dan gara-gara tak sekepala untuk memilih ketua hanya kerana masing-masing punyai fahaman agama yang berbeza (sekalipun Islam merupakan agama utama). Mereka terus berbunuhan semasa sendiri. Tetapi, tahukah anda bahawa kebanyakan negara seperti ini, golongan elitnya tidak berada di negara itu? Mereka sudah lama meninggalkan negara untuk menyorok di tempat lain. Yang tinggal adalah rakyat biasa yang masih sayangkan negara mereka.

Satu lagi kisah menarik yang ingin saya kemukakan di sini. Ramai orang beranggapan apabila rakyat tertekan kerana harga barangan naik melambung, apabila mereka tak punyai cukup wang, antara barang yang tak akan menjadi pilihan mereka yang membeli, ialah buku. Kata mereka, ramai yang membeli buku menggunakan wang lebih daripada pendapatan. Betulkah? Saya tak berapa percaya, kerana saya tahu ramai yang suka membaca buku akan terus membelinya sekalipun wang dalam poket sudah berkurangan. Ini terjadi kerana bagi mereka, hati mereka dapat dihiburkan dengan membaca. Membaca merupakan tabiat mereka. Tak boleh hilang. Malah, ada buku yang dapat menjadi terapi dan penawar jiwa yang tertekan.

Bukti yang ketara ialah semasa zaman 'depression' di Eropah dan England, sekitar 1920-an dahulu. Zaman itu membawa kegelapan ekonomi negara dan rakyat. Masing-masing hidup tertekan. Ketika itulah, syarikat penerbitan buku Mills and Boon, telah mengalami lonjakan penjualan bukunya. Sejak itu juga, Mills and Boon meningkatkan penjualan buku mereka dan mula berkembang secara global. Rakyat Britain, tentunya wanita, cuba mencari penawar untuk menghiburkan hati yang lara. Hari ini, Mills and Boon masih kuat dan kental di seluruh dunia dan merupakan antara syarikat penerbitan buku yang terkaya di dunia!



Friday, September 12, 2008

Tangisan Tak Berlagu

Haha... bukan tajuk baharu novel saya, tetapi tajuk yang saya ingin bincangkan dengan pembaca blog sekelian. Sekali lagi saya ingin berkongsi perasaan tentang bahasa Melayu.

Saya tak faham mengapa masih ramai rakyat Malaysia, terutama orang Melayu yang beranggapan bahawa bahasa kita tak setaraf dengan bahasa lain di dunia ini. Memang tak salah kalau kita mahu belajar lebih daripada satu bahasa, bertambah tak salah kalau kita boleh bertutur dalam pelbagai bahasa. Tetapi, kita bersalah kalau mahu menolak tepi bahasa ibunda kita. Bukan sekadar bersalah, tetapi kita juga tak bermaruah kerana tak menghormati bahasa sendiri. Manusia jenis apakah kita kalau memandang rendah pada bahasa sendiri? Kalau kita buat begitu, sama seperti kita memandang rendah pada bangsa kita sendiri. Mungkinkah kerana sikap buruk seperti itu yang sedang kukuh dalam hati dan jiwa, maka orang Melayu hari ini hidup bagaikan tak ada identiti?

Saya sedang membaca sebuah artikel yang ditulis oleh seorang cendekiawan Melayu, pernah menjadi bos saya semasa saya di UKM dulu dan beliau berbincang tentang kerugian orang Melayu kerana tak mahu menghormati bahasa sendiri. Artikel itu membincangkan betapa salahnya kerajaan kita hari ini kerana memaksa pelajar sekolah mempelajari subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

Itulah ungkapan yang digunakan beliau. Tangisan Tak Berlagu. Satu hari nanti, itulah yang akan terjadi kepada orang Melayu yang hidup di bumi sendiri tetapi sekadar sebagai penumpang yang tak punyai harga diri. Kenapa kita tak boleh jadi macam bangsa lain seperti orang German, orang Perancis, orang Korea, orang Jepun... yang maju dengan bahasa sendiri?

Gunalah bahasa Inggeris apabila kita mahu berkomunikasi dengan orang luar di tempat lain. Mungkin tak salah juga kalau kita mahu menggunkan bahasa pengantar itu di sini apabila kita berhubungan dengan orang asing. Tetapi, kenapa kita malu nak bercakap dalam bahasa sendiri apabila kita berbincang atau berbual sesama sendiri?

Orang Melayu memang pelik. Kalau disua belacan dengan tempoyak, memang tak tolak. Tapi... dalam begitu, kita begitu bangga dengan keju, seolah-olah kejulah makanan asal kita. Ah, memang lupa daratan!

Kalau tidak orang Melayu dan orang Malaysia yang bangga dengan bahasa Melayu, takkan kita nak tunggu 'mat salih' beritahu kita bahawa sebenarnya bahasa Melayu itu ada nilai komersilnya... barulah nanti kita pun terhegeh-hegeh nak sibukkan bahasa kita ini! Hisy... takut semasa itu kita sudah menangis tak berlagu!

Tuesday, September 09, 2008

Tak Ada Akal?

Kita selalu terdengar ungkapan ini. "Tak ada akal ke?" Apabila kita marah pada seseorang kerana perbuatannya yang tidak menggunakan fikiran, mungkin itulah yang akan kita terjahkan. Namun kini, malang sekali kerana kita sentiasa diperlakukan seolah-olah kita tak berakal. Cuba kita baca surat khabar, tak kisahlah sama ada surat khabar arus perdana atau yang dimiliki pihak pembangkang... sama saja. Cuba kita melihat berita di TV, tak kira stesen apa, sama saja.

Masing-masing cuba tonjolkan kebaikan masing-masing dan bentang kejahatan pihak lain, seolah-olah rakyat hari ini semuanya sudah tak ada akal untuk berfikir. Mungkin di dunia hari ini, tak ada negara yang dapat menandingi kehebatan Malaysia dalam hal ini... hal yang sentiasa mengaibkan negara! Tak habis-habis dan membosankan! Masing-masing cuba menunjuk handal sampai terlupa bahawa rakyat masih ada dan perlukan perhatian!

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, sama-samalah kita melihat pada diri, semoga amalan kita akan diberkati.

Sunday, September 07, 2008

Tanggungjawab

Sebagai orang Islam, kita sentiasa mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kesucian agama kita. Salah satu cara ialah dengan mengamalkannya. Tak guna kalau kita sekadar berkata-kata sahaja, tetapi tidak melakukannya. Tak guna juga kalau kita tunjuk pada orang cara kita berpakaian (berimej sopan bagi wanita dan lelaki), namun hati dan perangai kita, Allah swt sahaja yang tahu betapa tidak eloknya ia.

Kalau kita mahu orang luar (bukan Islam) menghormati kita, kita kena tunjukkan sifat sepatutnya sebagai orang Islam. Kita tidak boleh menghina orang sewenang-wenangnya, sekalipun dia bukan Islam, kerana itu bukan cara Islam, terutamanya kalau orang bukan Islam itu merupakan rakan sekerja kita, jiran kita, masyarakat setempat kita dan mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghina kita.

Kalau kita menunjukkan sifat yang baik sebagai orang Islam, mereka akan menghormati kita dan agama kita. Kalau mereka sudah menghormati cara hidup kita, mungkin mereka mahu tahu lebih daripada itu, mungkin juga mahu tahu tentang agama kita itu sebenarnya. Tetapi kalau kita berlaku kurang sopan dan tidak beradab pada mereka, tak mungkin mereka berminat untuk ambil tahu, malah mereka akan beranggapan yang agama kita itu tidak baik dan akan terus menjauhkan diri daripada kita dan agama kita. Jangan biarkan orang bukan Islam memandang negatif pada agama kita hanya kerana sifat kita yang membuatkan mereka terasa begitu. Memang tanggungjawab kita untuk menyebarkan syiar Islam.

Salam Ramadhan!

Thursday, September 04, 2008

Penulis di Bulan Ramadhan

Alhamdulillah, saya rasa kita dapat menulis dengan lebih banyak dan baik lagi dalam bulan Ramadhan ini. Konsentrasi dan fokus adalah lebih baik. Mungkin bagi mereka yang belum biasa lagi, ada yang berasa agak payah atau berat untuk berfikir banyak-banyak. Kalau anda rasa begitu, lebih baik anda cari bahan bacaan untuk dibaca. Dari situ, mungkin akan timbul ilham. Kalau anda merupakan penulis sepenuh masa, saya percaya bulan Ramadhanlah merupakan bulan yang terbaik untuk anda menulis kerana tak banyak gangguan. Saya percaya ramai yang menggunakan masa untuk membaca al-Quran dan juga buat sembahyang Tarawikh, tetapi di celah-celah aktiviti itu, pasti anda akan punyai masa yang lebih daripada bulan-bulan yang lain. Bagi kaum perempuan, anda tak perlu duduk terlalu lama di dapur kerana tak perlu banyak memasak. Malah, ada yang lebih seronok membeli sahaja. Selamat mengerjakan ibadah puasa dan selamat menulis!