Semasa saya kecil, saya merupakan seorang anak yang suka sangat merajuk. Dalam ramai-ramai adik beradik, sayalah yang paling pendiam. Saya tidak suka mengganggu orang, dan kerana itu juga saya tidak suka diganggu! Saya kerap bersendirian, dan semestinya saya suka bercakap seorang diri, seolah-olah saya mempunyai alam yang asing daripada orang lain.
Kalau ada yang tidak kena, saya akan merajuk, dan biasanya rajuk saya itu memanjang. Tidak mudah untuk mengambil hati saya semula.
Namun, bila saya dewasa, perangai itu mula berubah. Pada awal perkahwinan, saya sememangnya sensitif, tetapi bila sudah mula ada anak, rajuk saya mula menipis.
Alhamdulilah, dalam usia yang meningkat, saya sudah berjaya untuk mengawal diri. Saya tidak sesensitif seperti dulu lagi. Malah, saya cuba tebalkan hati agar tidak tersinggung bila ada perkara-perkara sensitif diperkatakan. Semestinya tidak mudah, tetapi saya cuba mengatasinya.
Orang kata, perangai susah untuk diubah. Tetapi saya percaya, apa-apa sahaja boleh kita atasi kalau kita cuba perkuatkan diri. Hidup sebenarnya merupakan satu perjalanan panjang yang mempunyai banyak perubahan. Ada kala, perubahan itu terpaksa kita lalui, ada ketika kitalah yang perlu mengubahkannya agar laluan menjadi mudah. Apa-apa pun, kita tak mungkin lari daripada perubahan dalam hidup.
Sebagai ibu, saya kerap terangkan perkara ini kepada anak-anak. Jangan takut pada perubahan. Kalau kita takut, maka perjalanan hidup akan menjadi rumit.
Setiap kali bila kita terpaksa melaluinya, kita cubalah bertindak positif. Fikirkan alternatif yang positif, insya-Allah, TUHAN akan tunjukkan jalannya. Bila bimbang berdepan dengan sebarang perubahan, paling efektif ialah berdoa kepada TUHAN. ALLAH SWT melihat dan mendengar kepada hati yang ikhlas.