Nature

Nature
Cinta baru dalam hidupku

Followers

Friday, March 31, 2006

Sibuk tapi Seronok!

Minggu lepas saya sibuk. Minggu hadapan ni pun, sibuk juga. Habis sahaja pesta buku di PWTC nampaknya saya akan berpesta di Kota Bahru pula. Ada pengedar buku yang menjemput ke sana. Apa lagi... ke Kelante lah kita. Saya akan ke sana dengan anak dara saya. Dia tidak pernah ke negeri itu.
"Kawan Nana...ramai yang ada kat sana. Bolehlah jumpa2." Saya pun bersetuju untuk bawa dia bersama. Lagipun, dia sedang bercuti sekarang ini.
"Okey...nanti kita lepak-lepaklah kat sana. Boleh makan-makan." Itulah yang paling saya ingat di Kota Bahru ini. Pelbagai makanan yang sedap-sedap, dan teramat murah!
Pengedar berkenaan akan menjemput kami di lapangan terbang. Saya akan tidur di sana satu malam. Sayang sekali kerana Mimie Afinie tak dapat ikut sekali.
"Tak apalah Mimie... lain kalilah pulak. Apapun... tahniah...kerana Mimie naik pangkat." Itulah sebabnya mengapa Mimie tak dapat mengambil cuti.
Mimie ketawa dalam kecewa. "Saya nak sangat ke Kalantan tu, Kak Aina... dah lama tak ke sana. Sejak anak dara lagi."
"Lain kali kita jalan sama-sama." Saya memujuk. "Tapi 8 April ni jangan lupa, tau? Kita ada perbincangan dengan bakal penulis2 KarnaDya."
"InsyaAllah.... saya datang. Esok pun saya datang kat Pesta Buku tu, Kak Aina. Kan ada kumpulan pembaca kita yang nak jumpa petang esok kat PWTC?"
"Betul tu..."
Sibuk dan sibuk! Tapi...memang seronok!

Sunday, March 26, 2006

Kami berpesta sakan!

Tak sangka langsung yang kami boleh bergembira pada musim pesta buku kali ini. Maklumlah, sejak berpindah penerbit, ramai pembaca dan rakan tak pasti sama ada kami akan berada di pesta buku atau pun tidak.
Alhamdulillah, penyokong saya yang tahu saya berada di tapak pesta buku, telah bersusah payah datang berjumpa dengan saya. Seronoknya! Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih....kepada semua pembaca, dan bloggers yang telah berusaha untuk mencari saya dan rakan-rakan penulis lain.
Suasana kali ini cukup berbeza. Selain daripada berjumpa pembaca, kami juga dicari oleh pengedar...dari pelbagai tempat. Banyak juga infomasi yang kami terima untuk perkembangkan dunia penulisan ini. Semangat saya meningkat...melambung-lambung, walaupun sebelum ini, alhamdulillah tak pernah lemah.
Kami semua berada dalam keadaan yang begitu relaks sekali. Kami berborak, bercerita, melawak, bergurau senda dan merapu. Seronoknya. Ramai bakal penulis yang datang berborak-borak dengan kami. Mereka semua berminat untuk ikut jejak kami.
Walaupun kami cuba bercerita-cerita di antara penulis, tapi malangnya, tak sempat, kerana kebanyakan masa kami berada dengan pembaca dan tetamu-tetamu yang datang. Saya juga seronok kerana ramai kawan-kawan saya yang meluangkan masa untuk memberi sokongan.
Wah Gee....tak sempat nak bercerita, kan? Asyik terputus aje cerita kita tu. Tak apa...hujung minggu depan, kita jumpa lagi. Kak Puteri....tak sempat nak berborak. Nita...ha...akak tengok Nita dah pandai buat promosi. Apa macam, best tak? Mimie.....hah Mimie seronok kerana ramai pembaca datang tak habis2 puji buku dia Maafkanku Sayang. Rasa macam balik kampung pulak!
Izza and Izzul....seronok jumpa awak berdua ni, tapi sayang tak sempat nak bercerita panjang2, kan? Lain kali, ya? Hunjung minggu depan jangan lupa datang, ya? Kalau tak ada, kesian kat pembaca yang nak jumpa dengan penulis glamor ni!
Samsiah....tak apa. Walaupun Samsiah datang sekejap aje, tapi dah banyak info yang Samsiah terima, kan?
Apapun, kami berterima kasih kepada pihak KIDDIBIRD, kerana sudi tumpangkan kami. Terima kasih En. Aziz. Terima kasih juga kepada Rizal dan Irfan. Wah...nampaknya popularnya abang 2 kita ni. Ramainya yang nak berkenalan dengan jejaka2 idaman MALAYA ni!

Wednesday, March 22, 2006

Balik Kampung!

Kampus UKM adalah seperti kampung saya. Kerana saya pernah bertugas di sana selama 17 tahun. Walaupun saya selalu juga masuk ke kampus itu, tapi biasanya saya tak lama di situ. Mungkin sekadar singgah di bank atau ke Fakulti Kejuruteraan untuk bertemu kawan. Minggu lepas, saya ke UKM untuk menghadiri simposium Orang Asli. Tapi, itu adalah di Lestari, sebuah bangunan yang terletak jauh dari bangunan utama di tempat lama saya bekerja.
Bila saya dijemput untuk hadiri sebagai panel diskusi Novel Popular, di Fakuliti Kesusasteraan, saya begitu berbesar hati sekali. Bukannya apa, tapi seronok teramat sangat kerana akan bertemu dengan rakan-rakan lama.
Semalam, pagi-pagi lagi, rakan-rakan penulis saya telah bertemu saya. Kak Puteri dari Kelang, Mimie Afinie dari Senawang, Anita dari Semenyih, dan Fauziah Ashari dari Johor Baru. Jauh tu! Tapi mereka datang untuk bersama-sama saya dan memberi sokongan!
Kami ke kampus beramai-ramai. Di antara orang pertama yang saya berjumpa di sana ialah adik angkat saya, yang saya gelar "Razak". Dia kini sudah pun memegang jawatan penting di fakulti berkenaan. Dia merupakan hos kami pagi itu.
"Wah...Kak Aina...handsomenya adik angkat Kak Aina ni...macam Anuar Ibrahim campur Jalaludin Hassan." Kata seorang rakan penulis. Saya ketawa.
"Memang pun. Dulu...saya hampir diketuk orang...sangkanya saya ada hubungan dengan Razak. Mujurlah saya sempat memberitahu yang saya ketika itu sudah kahwin dan dah ada dua orang anak. Orang tu tersilap orang!" Saya ketawa lagi.
Yang menariknya, sebaik sahaja habis diskusi, ramai betul rakan-rakan lama yang datang menegur saya, terutama kakitangan akademik fakulti itu. Mereka masih ingatkan saya. Betul-betul terasa bagaikan balik kampung! Malah, kawan-kawan penulis saya pun seronok kerana dapat berkenalan dengan pensyarah-pensyarah UKM. Kami juga seronok kerana berkenalan dengan para siswazah, pelajar-pelajar, dan ada juga orang luar yang datang kerana merupakan pengikut novel-novel kami.
Saya sibuk sangat, sehinggakan tak sempat pun nak menjamah makanan yang disediakan oleh urusetia. Apapun, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat untuk menjayakan program itu. Kami berbual-bual di ruang legar dewan hampir satu setengah jam lamanya. Bersembang, bergambar dan ditemubual para wartawan.
Kata 'Razak' kepada saya, "Kak T....nanti kita buat macam ni lagi, ya? Mungkin seminar pulak. Saya pun seronok....ada kerjasama yang baik dari semua."
Malah, pihak dekan juga telah menunjukkan sokongan dengan menghadiri diskusi itu. Yang pasti UKM, kami akan datang lagi, insyaAllah! Terima kasih semua.

Sunday, March 19, 2006

Malam Percuma

Kami berebut-rebut untuk sampai ke MTC. Hujan lebat, dan jalan cukup sesak. Saya hantar teks mesej pesanan ringkas kepada ASH.
Tolong belikan tiket, ya? Akak tersangkut ni.
Sampai sahaja kami pun bergegas ke auditorium Tuanku Abdul Rahman untuk menonton pentas bangsawan. ASH sedang menunggu kami.
"Dah beli dah tiket, Ash?" Saya bertanya di pintu masuk.
"Kak... entah kenapa dia orang kata, tak apalah. Tak payah bayar. Free aje untuk akak."
"Eh... kami bertiga ni."
"Tak apa."
Seronoknya. Dapat menonton panggung bangsawan secara percuma. Anak perempuan sayalah yang paling teruja, kerana itu merupakan pertunjukan yang pertama untuknya. Tak pernah menonton bangsawan seumur hidup. Saya sendiri pun, sudah lama tidak menonton.
Pertunjukan memang bagus sekali. Walaupun lama, tapi kami tidak mengantuk, kerana ada pelbagai pertunjukan sampingan di antara babak bangsawan itu. Siapa ada 'Mawi dan M.Nasir' (tapi yang olok2lah... p.s..sebenarnya saya tidaklah minat kepada kedua-duanya itu).
Yang paling menyeronokkan ialah kerana bangsawan itu mengesahkan cerita di negeri Perak. Megat Terawis yang popular! Kebetulan, hero yang melakonkan watak itu, cukup macho orangnya dan pandai bersilat, dan watak jahatnya pula dipegang oleh karakter yang kelihatan begitu jahat sekali. Memang terasa hidup jalan ceritanya.
Hampir 11.30 malam, barulah persembahan selesai. Kami pun keluar dan cuba cari makan. Sebelum datang kami tidak sempat untuk makan malam terlebih dahulu.
"Nak makan di mana ni? I dah lapar sangat ni."
Putar punya putar, akhirnya kami bertemu sebuah tempat yang kelihatan menarik di Kampung Bahru. kami pun masuklah ke dalam restoran. Ramai lagi pengunjungnya di malam itu. Sebaik sahaja kami duduk, datanglah pelayannya.
"Encik... malam ni kami ada jamuan. Encik nak cuba stimbot?" Katanya kepada kami.
"Stimbot? Eh... dah malam benar ni. Tak ada mood pulak nak makan stimbot. Nak makan benda lain boleh tak?"
Tanpa banyak cerita dan dengan senyumannya, si pelayan lelaki itu pun pergi mengambil 'menu' untuk ditunjukkan kepada kami. Sementara itu ramai lagi yang datang untuk makan di tempat itu. Sangka kami ada jamuan khas untuk kumpulan di situ.
Anak perempuan saya memesan fish and chips, apple juice, suami saya, nasi goreng istimewa dan teh tarik, saya pula, nasi goreng juga dengan tomyam campur dan apple juice.
Memang makanan di restoran itu enak dan portion nya cukup besar. Semasa makan, kami melihat sekumpulan selebriti yang terdiri daripada seorang pereka fasyen yang terkemuka dan bebeberapa orang make-up artist yang berada di situ.
Tuan kedai juga ada di situ. Dia mengajak pekerja2nya untuk membaca doa. Kami pun tolong mengaminkan sama. Selesai makan, dan selesai membaca doa, kami pun memanggil pelayan untuk membuat pembayaran.
"Encik... tak payah bayar apa-apa. Hari ni... kami ada jamuan, sambut ulang tahun kedua restoran ni. Bos kata tak payah bayar."
Ya TUHAN... kami rasa bersalah kerana telah membuat pesanan beriya2. Rupa-rupanya malam itu sebenarnya mereka tidak menjual.
Terima kasihlah tuan kedai. Semoga murah lagi rezeki anda.

Wednesday, March 15, 2006

Hutan dan Hantu

Pagi ini, semasa mahu menulis untuk blog ini, inilah tajuk yang bermain di kepala saya.
Kenapa hutan dan hantu?
Biasanya orang kata di dalam hutan ada hantu. Mungkin kerana hutan itu sunyi, gelap... dalam begitu akan ada bunyi-bunyi yang mungkin juga menggerunkan. Bagi orang yang tidak biasa, mereka akan takut dengan hutan. Yang pasti, ramai yang tak suka hutan kerana mereka sangka dalam hutan ada hantu!
Saya suka hutan. Dari kecil lagi, saya sudah biasa dengan hutan. Kampung saya di Kuala Kangsar, terletak tidak jauh dari sebuah hutan yang kami panggil 'Rimba Queen'. Di belakang rumah saya, malah di sebelah kiri juga, penuh dengan hutan getah. Di belakang hutan2 getah itulah terletaknya 'Rimba Queen'. Rumah kami terletak di hujung kampung, di atas sekeping tanah yang agak luas. Suatu ketika dahulu, kawasan rumah saya itu terletak di kawasan hitam (ketika zaman komunis).
Dari kecil lagi, saya sudah biasa masuk ke dalam hutan-hutan itu. Itulah tempat kami bermain. Saya mempunyai adik beradik yang ramai. Orang kampung kami, ramai yang bekerja sebagai penoreh getah.
Saya masih ingat lagi, bila cuti sekolah sahaja, untuk mengelak daripada kebosanan, kami (saya, adik-beradik dan rakan2) sering mengikut orang kampung masuk ke dalam hutan. Bila mereka menoreh, kami akan berlari-lari dalam hutan dan bermain-main. Semasa main itu, kadang-kadang kami terdengar bunyi harimau. Semestinya kami akan lari lintang pukang. Kami takut dengan binatang liar. Tapi tak pernah takut dengan hantu!
Kadang-kadang, kawasan rumah kami didatangi binatang liar seperti anak harimau dan kucing hutan. Sementara bintang2 liar seperti ular (pelbagai jenis) dan biawak, sentiasa bersepah2. Semestinya kami mempunyai pelbagai cerita2 lucu mengenai bintang2 ini. Tapi saya tidak akan bercerita kali ini.
Dalam hutan kami selalu bermain permainan yang kami panggil 'tarzan and jane'. Kebanyakkan kami memang cekap memanjat pokok (malangnya, saya tidak). Adik2 lelaki saya, bukan hanya pandai memanjat, mereka juga berani terjun ke dalam sungai dari atas pokok yang tinggi. Memang menakutkan.
Apapun, saya memang sayangkan hutan. Itu merupakan sebahagian daripada memori silam saya dan adik-beradik saya. Saya dan adik lelaki saya, Fikri, selalu membawa keluarga kami masuk ke dalam hutan. Kami suka bercuti di tempat-tempat yang boleh membawa kami masuk ke dalam hutan. Misalnya Taman Negara, Taman2 Negeri, dan kawasan2 pergunungan yang mempunyai hutan tebal.
Adik saya Fikri, tidak pernah takutkan hantu. Dari kecil sampailah ke hari ini. Semasa remaja, saya juga tidak pernah takutkan hantu, walaupun telah mengalami beberapa kejadian misteri. Sekarang ini, saya tidaklah takut sangat, tapi rasanya tidaklah seberani dulu. Namun, yang mengkagumkan saya, anak saya Irfan, telah mengikut jejak adik saya, Fikri. Dia suka kepada hutan, dan tidak takut kepada hantu!
Kanak2 sekarang, maksud saya anak-anak saya, tidak merasa keadaan yang 'adventurous' seperti yang pernah saya alami semasa budak2. Sekarang ini cuti sekolah. Apa yang anak-anak saya lakukan sekarang semestinya terlalu jauh beza daripada apa yang saya lalui semasa zaman kanak-kanak.
Lain kali, bila mood saya bagus, saya akan bercerita mengenai kejadian2 misteri yang saya pernah alami!

Sunday, March 12, 2006

SIBUK LAGI!

Bila hujung minggu sahaja, saya pun jadi sibuk. Pagi-pagi lagi dah macam-macam yang nak kena buat. Telefon sana, dan telefon sini. Dapat panggilan dari Wan (peminat setia saya)... "kirim salam kat Nita, ya... Wan ada di KL ni... dengan parents." Pesan Wan kepada saya.
Hari ini ada dua undangan majlis perkahwinan. Satu di Lenggeng dan satu di KL. Lepas tu ada temujanji dengan bakal penulis. Terpaksa susun betul-betul.
"Alamak Nita! Entah kat manalah akak letak kad jemputan ni. Tapi, akak pasti datang. Breakfast boleh?" Saya hubungi Anita Abdullah. Dia yang menjemput saya untuk menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya.
Pukul 11.00 pagi, Saya, suami saya dan anak yang bongsu, Nabil, terus mengarah ke Semenyih, Broga dan ke Lenggeng. Sudah lama tak menghala ke sana. Rupa-rupanya dah banyak perubahan. "Bestnya ada University of Nottingham kat sini. Amboi, terasa macam kat England pulak." Saya bersuara kepada suami. "Cantiknya gunung-ganang kat sini, ya?" Tambah saya lagi.
Memang seronok bila diberi peluang untuk meronda-ronda di kawasan perkampungan. Agaknya terasa rindukan kampung saya di Kuala Kangsar. Penuh dengan pokok getah yang daunnya mula bertukar warna.
"Boleh tahan jauh, ya?" Sekali lagi saya bersuara.
"Okeylah ni... kita tak biasa lagi." Jawab suami saya pula.
Akhirnya, kami tiba juga di destinasi yang mahu dituju. Jalan menghala ke rumah ibu Anita Abdullah agak sempit juga, dan terpaksa berhenti beberapa kali untuk beri laluan kepada kereta yang bertembung. "Pemandu nak kena sporting, kalau tak... " kata suami saya.
Apapun, kami cukup seronok menghadiri majlis yang diatur oleh keluarga Anita Abdullah, penulis novel Rindu Saliha, terbitan Kaki Novel. Layanan yang first class. Terima kasih Anita. Walaupun itu merupakan pertama kali saya bersua dengannya, Anita memang peramah orangnya. Seronok dapat berjumpa dengan peminat2 saya... ada kawan Anita, kenalan dan saudara maranya. seronok dapat berbual dengan Anita secara 'live'.... biasa berborak melalui telefon sahaja. Anita ni...orangnya rendah diri, memang peramah, dan PR dia....aduh mak! Memang klasik! Macam-macam orang yang ditemukan dengan saya. Dalam begitu, dia juga sempat berlakon... bestlah Nita!
Selepas itu, kami ke KL pula. Kali ini kami ke majlis undangan perkahwinan kawan suami saya, berjawatan CEO dengan sebuah badan korporat ternama. Ini merupakan perkahwinannya yang kedua. Yang pertama dengan 'Mem', tapi dah lama berpisah, tapi nampaknya yang kedua pun 'Mem' jugak. Agaknya dah biasa kot. Apa2 pun, majlis yang simple itu ada citarasa yang elegan. Seperti biasa, suami saya memang seronok kalau dapat berjumpa dengan kawan2 sekolahnya (semua tetamu adalah kawan2 sekolahnya dulu).
Saya makan sedikit saja, sebab masih kenyang. Kami tidak lama sangat di situ kerana terpaksa berjumpa dengan pelanggan.
"Kita jumpa di RTM, okey?" Katanya kepada saya.
"Okey... tak ada masalah."
KL sibuk. Penuh sesak dengan kenderaan. Maklumlah cuti sekolah. Lama juga kami nak sampai ke Angkasapuri dari Jalan Sultan Ismail. Walaupun dah penat, saya seronok berbincang dengan bakal penulis ini. Dia seorang veteran, dan dah banyak pengalaman. Yang penting, dia bersetuju dengan cadangan saya. Kami berjanji untuk berjumpa lagi.
Dalam perjalanan balik, kami singgah seketika di Kajang. Ada barang yang terpaksa dibeli. Sampai sahaja di rumah, banyak perkara yang saya bincangkan dengan Irfan. Esok dia akan ke Pulau Pinang. Penerbangannya pukul 7.00 pagi. Saya pula akan ke UKM, ada Simposium Orang Asli.
"Jangan lupa ambil video kat simposium tu, ya..." Pesan Irfan. Memang itu merupakan sebahagian daripada program yang sedang kami aturkan.
Mmmm.... penatnya... tapi saya tetap seronok. Ni dah lewat dah... saya teringat kepada Nita. Memang Nita ni... mempunyai karakter yang istimewa. Terima kasih Nita... kerana sentiasa ceria, walaupun Kak Aina tahu banyak benda yang Nita sedang fikirkan. Nanti kita jumpa lagi, ya Nita???

Thursday, March 09, 2006

Apa yang kita boleh buat di KL?

Memang tidak mudah untuk 'update'kan blog. Ada kala saya terlalu sibuk dengan urusan lain. Misalnya minggu ini, saya mempunyai terlalu banyak aktiviti yang perlu diuruskan. Tapi, kelmarin dan semalam juga, saya membaca kisah-kisah 'bloggers' dalam surat-surat khabar. Masing-masing sentiasa teruja untuk muatkan pelbagai tajuk yang boleh dicoretkan dalam blog masing-masing.

Kerana teruja dengan apa yang mereka katakan, walaupun sibuk, saya curi sedikit masa untuk ceritakan.... apa benda yang membuat saya terlalu sibuk itu.

Selain daripada menulis, banyak urusan keluarga yang perlu dilakukan. Misalnya untuk bawa ibu saya ke klinik. Ibu saya memang tinggal dengan saya. Dalam begitu, saya juga suka mengambil peluang untuk hadir apa-apa persembahan atau pertunjukan yang diundang untuk saya.

Dua malam yang lepas, saya telah ke MTC, untuk menonton teater rakyat, WAYANG KULIT.

Saya percaya, ramai yang tak pernah menonton wayang kulit seumur hidup mereka. Semasa saya merupakan pelajar (Puluhan tahun yang lalu), salah satu 'paper' saya ialah TEATER ASIA TENGGARA. Pensayarah saya ialah Kishen Jit. Dulu2, saya sering 'lepak' dengan kawan-kawan untuk menonton pelbagai teater rakyat di sekitar Kuala Lumpur. Paling saya suka ialah Wayang Kulit dan Mak Yong.

Kawan-kawan saya (terutama yang lelakilah) memang suka tengok teater2 rakyat ini. Wayang Kulit, kerana ada unsur2 'lucah tersorok', dan Mak Yong pula kerana penari2nya cantik2 belaka. paling seronok kerana kami boleh ke belakang panggung untuk bersembang2 dengan penari.

Wayang kulit yang saya tonton di MTC baru2 ini, ada unsur2 moden sedikit. Tapi saya sangat suka kepada 'background music' yang dimainkan oleh pelajar2 Akademi Seni Kebangsaan. Memang hebat! Saya rasa, daripada menonton entah apa-apa persembahan yang mengarut2 di KL, lebih baiklah berjinak2 dengan peresembahan teater. Pelajar2 Akademi seni Kebangsaan sering mengadakan pelbagai persembahan, termasuk teater moden, wayang kulit, puisi warisan, dan macam-macam lagi. Ada yang diaturkan di tempat mereka, dan ada juga di tempat lain. Yang penting, persembahan2 ini adalah percuma. Yang seronoknya kita dapat berjumpa dengan 'future' pelakon-pelakon teater dan drama. Mereka semua mempunyai bakat, kalau tidak, tidaklah mereka menjadi pelajar di Akademi Seni Kebangsaan itu.

Kalau anda tak tahu nak buat apa di KL ni, kenapa tidak ke Akademi Seni Kebangsaan dan lihat program yang diaturkan? Pasti anda tidak akan menyesal!

Monday, March 06, 2006

Ami dan Tante

Pagi ini, emel yang dikirimkan oleh sepupu saya, Nilofar dari California, membuatkan air mata saya mengalir. Dia telah bersusah payah menterjemahkan satu salasilah lama keluarga agar kami semua dapat membacanya. Sebenarnya ini adalah permintaan anak saya, Faiz yang berada di UK. Dia yang beriya-iya mahu tahu dari mana datangnya nama keturunan kami(sebelah saya) iaitu Al Nasry. Salasilah lama itu kini berada dengan bapa saudara saya, yang saya panggil Ami Mustafa. Beliau adalah adik bongsu ayah saya yang tinggal di Amerika Syarikat.
Salasilah itu telah menjejaki semua keturunan keluarga kami sehingga kepada Nabi Muhammad SAW, bapanya dan datuknya juga. Itulah yang membuatkan saya terharu. Semestinya saya sudah tahu dari kecil lagi, tetapi bila melihat salasilah itu tertera di depan mata, itulah yang membuat saya berasa sedih.
Saya kembali terkenangkan Ami saya itu. Baru-baru ini, dia telah datang dari Amerika untuk melawat kami semua. Umurnya sudah mencecah 84 tahun. Kalau ayah saya masih hidup, umurnya kini ialah 1o9 tahun. Ami saya itu selalu mengingatkan kami agar sentiasa menghubungi di antara satu dengan yang lain. Maklumlah, ahli keluarga kami bukan hanya besar tetapi bertaburan di merata ceruk dunia ini. Yang paling ramai ialah di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Kami masih ada ahli keluarga yang tinggal di Saudi, di Turkey, Australia, UK, selain daripada USA.
Pernah suatu ketika dahulu, Ami saya itu menyuruh saya ke Indonesia untuk melawat Tante saya, yang tidak pernah saya bertemu sebelum ini. Ami telah berkata kepada saya, "kamu boleh pergi tempat-tempat yang jauh, tetapi begitu susahnya kamu nak ke Indonesia. Tante Amnah adalah ibu saudara kamu yang terakhir yang masih hidup."
Saya rasa bersalah. Satu hari, sekitar tiga tahun yang lepas (saya pernah ke Indonesia semasa remaja, tetapi atas urusan universiti saya dulu) tiba-tiba sahaja saya mengajak suami saya ke Indonesia.
"Jom kita ke Jakarta Jumaat ini."
Suami saya tidak kisah. Kami terus tempah tiket dan pergi ke Jakarta. Saya mempunyai ramai sepupu di sana. Kemudian saya telah ke Bogor untuk melawat abang sulung saya, Omar, yang kini sudah berusia sekitar 80-an. Kami seterusnya ke Bandung untuk bertemu Tante Amnah. Ibu saudara saya itu kini berumur 89 tahun. Dia adalah seorang wanita yang sungguh cantik. Matanya berwarna kelabu (ibunya, iaitu ibu yang sama dengan Ami Mustafa, adalah dari keturunan Syria). Memang saya terharu, kerana baru tergerak untuk datang melawatnya.
Tahun berikutnya, saya datang lagi dengan semua anak-anak saya untuk mengunjungi saudara mara di Jakarta, Bandung dan Bogor. Tahun lepas, saya telah ke Surabaya untuk bertemu kakak saya yang tinggal di Pulau Madura. Kakak saya berumur 71 tahun.
Kini saya tahu mengapa Ami saya sentiasa mengingatkan kami agar berusaha untuk menghubungi ahli-ahli keluarga. Pertalian ini sebenarnya begitu tinggi sekali nilainya. Satu hari nanti, Ami dan Tante saya akan meninggalkan dunia ini, dan kami, anak-anak saudaranya akan menjadi pengganti mereka. Semangat untuk mengekalkan silaturahin itu mesti ada, kalau tidak, kami tidak akan tahu siapa diri kami sebenarnya. Insya-Allah, saya dan adik-adik, dan juga anak-anak, akan berusaha untuk menghubungi kaum kerabat, di mana sahaja mereka berada.

Saturday, March 04, 2006

Anak Siapa?

Malam tadi, saya dan suami terpaksa ke pusat kota Kuala Lumpur untuk menghantar anak perempuan kami dan kawannya (juga perempuan) menghadiri jamuan makan malam yang dianjurkan oleh kumpulan graduan universiti tempat pengajiannya (kebetulan anak lelaki kami yang baru sahaja tamat pengajiannya merupakan ahli jawatan kuasa).
Selepas menghantar mereka (anak lelaki saya pergi sendiri), saya dan suami pergi makan malam tidak jauh dari tempat itu.
"Lepas ni kita nak pergi mana?" saya bertanya. Kami terpaksa tunggu untuk menjemput anak perempuan kami dan kawannya setelah selesai jamuan nanti. Nak pulang ke Bangi, jauh sangat.
"Lambat lagi dia nak habis ni. I mengantuk sangat2." Suami saya bersuara.
Memang kami letih dan mengantuk, kerana siang tadi kami baru sahaja pulang dari Johor Bahru (JB). Kami pergi ke JB kerana melawat sepupu suami yang pulang ke rahmatullah. Kami pergi ke sana pada malam sebelumnya, dan terpaksa tidur lewat malam itu.
"Nak tidur di mana?" Saya bertanya lagi.
"Entah."
Kami meronda-ronda di sekitar Kuala Lumpur buat seketika, menghala ke kawasan KL Sentral hingga ke Bricksfields. "I mengantuklah. Jom kita park kat mana-mana."
Saya tak tahu bagaimana mahu cadangkan tempat yang baik untuk kami berhenti dan berehat. Yang pasti kami mahu cari tempat yang ada orang ramai dan terang.
Akhirnya, kami pilih di kawasan dekat dengan Dataran Merdeka. Kami lihat ada ramai orang di situ, dan kawasan itu memang sibuk. Kami berhenti dan kerana sudah tidak tahan lagi, suami saya pun tidur. Saya pun ikut sama. Lama juga kami melelapkan mata, tiba-tiba terdengar bunyi bising-bising di luar sana.
"Bunyi apa ni?" Saya hairan. Saya nampak banyak motorsikal berkeliaran. Ratusan jumlahnya. "Kenapa banyak sangat ni?" Saya jadi panik. Suami saya pun menghidupkan enjin kereta kerana sudah tidak selesa berada di tempat itu.
"Dia orang ni... nak berlumba ni." Kata suami saya.
Saya pernah terserempak dengan perlumbaan motor haram, berkali-kali di Kuala Lumpur. Tapi malam itu, pertama kalinya kami dikelilingi oleh ahli-ahli yang mahu berlumba.
Hebat sungguh mereka! Semuanya Melayu. Lagi hebat kerana rata-rata orang ramai sedang merungut kerana kerajaan menaikkan harga minyak. Tapi remaja kita tidak rasa apa-apa. Untuk mereka, 'life goes on' seperti biasa sahaja.
Anak siapakah budak-budak ini? Di manakah ibubapa mereka?
Saya berasa sungguh hairan. Bukan setakat lelaki, tetapi budak-budak perempuan pun ramai di situ. Begitu ghairah untuk mendengar bunyi kuat enjin motorsikal yang sedang dan akan berlumba.
Mereka tidak pernah serik! Pada hal sudah berkali-kali perkara ini dikemukakan dalam surat khabar dan televisyen. Saya masih tertanya-tanya. Mana pergi keluarga mereka ini?
Tak kira anak lelaki atau perempuan, saya sentiasa mahu tahu ke mana mereka pergi. Kalau pulang lewat sedikit, saya sudah hubungi mereka, kerana bimbangkan keselamatan mereka. Dengan anak perempuan, memang saya tidak benarkan dia ke mana-mana di malam hari, tanpa saya sendiri yang menghantarnya.
Apa nak jadi dengan anak muda kita? Saya gerun melihat keadaan seperti itu. Di sekitar kawasan Dataran Merdeka hingga sepanjang Jalan Raja Laut dan di sekelilingnya, bagaikan ada satu pesta besar-besaran. Riuh-rendah bagaikan kawasan itu mereka yang punya!
Sedih saya melihatnya. Walaupun sudah lama tahu, setiap kali berdepan atau terserempak dengan perlumbaan haram ini, saya akan terasa sedih lagi. Kenapa sampai jadi begitu? Hari sudah lewat malam, anak-anak muda ini terus berkeliaran seolah-olah mereka tiada rumah untuk pulang!

Thursday, March 02, 2006

Cerita Lain Pula

Mahu sambung cerita semalam? Mmm....(saya berfikir).
Pagi ini, tak ada mood pula untuk menyambung cerita itu. Entah mengapa, malam tadi saya asyik teringat satu memori silam, yang membuat saya tersenyum berkali-kali. Rasanya elok kalau saya bawa anda kembali kepada cerita lama itu, semasa saya tinggal di Greater Manchester, sekitar 16 tahun yang lampau.
Pagi itu suami saya maklumkan, "hari ini pelajar-pelajar baru, sampai dari Malaysia. Pihak MSD kata pelajar yang akan belajar di Manchester ni ramai, dan tak ada tempat tinggal. Semua famili di Manchester kena ambil beberapa orang untuk tumpangkan sementara, di rumah masing-masing."
"Habis tu... kita pun kena tumpangkan ke?"
"Iyalah. Kita kan ada bilik." Jawab suami saya.
"Okey. Tapi... I tak nak perempuan. Ambil budak lelaki sahaja. Budak perempuan ni... cerewet. Budak lelaki senang sikit. Apa yang I masak, dia orang makan saja. Kalau budak perempuan... nanti payah." Terus-terang saya beritahu suami saya semasa dia hendak keluar.
Kebetulan, saya sudah biasa dengan pelajar lelaki yang selalu melepak di rumah kami. Saya selesa dengan keadaan itu. Lagipun, ketika itu saya ada dua orang anak lelaki (10 dan 6 tahun), dan seorang anak perempuan (2 tahun).
Sebelum suami saya pulang membawa pelajar-pelajar baru itu, dia terlebih dahulu telah menghubungi saya di rumah. Ketika itu, kawan baik saya, F, juga berada dengan saya.
"Eh... I tak dapatlah budak lelaki. Semua dah diambil famili lain."
"Habis tu?" Soal saya balik.
"I kena ambil budak perempuan. Pelajar baru yang tiba ni, ramai perempuan... nak buat macam mana ya?"
"Berapa orang yang kita kena ambil?"
"Empat."
Alamak! Bisik hati saya. Dahlah perempuan, sampai empat orang pula tu. Matilah saya nak melayan kerenah mereka ni. Walaupun kurang puas hati, saya terpaksa terima sahaja. Saya kesiankan mereka kalau tak ada tempat nak tinggal. Bayangkanlah, baru sampai di tempat orang, dan tak tahu mana nak pergi. Saya berfikir lagi. Mungkin satu hari nanti, anak-anak saya juga ada yang merantau. Biarlah saya terima sahaja budak-budak perempuan ini. Lagipun, kata suami saya, "sekejap saja tu. Dua atau tiga hari. Bila dah dapat tempat, dia orang tak duduk dengan kita lagi."
Saya, F dan anak-anak tunggu di ruang tamu. Sebaik sahaja suami saya tiba, muncullah ke-empat-empat gadis (sekitar 21 tahun) dengan membawa beg-beg besar.
"Bestnya rumah ni. Cantik dan panas." Saya masih teringat kata-kata awal daripada M, salah seorang daripada 4 orang pelajar perempuan itu.
Kebetulan juga, rumah kami itu kami telah beli bila mula-mula sampai di UK dulu. Jadi, semestinya rumah kami jauh lebih elok daripada rumah kebanyakan pelajar di sana. Kami ada 4 buah bilik tidur. Satu telah saya jadikan tempat belajar. Tapi kerana kami terpaksa menerima 4 orang tetamu, saya minta anak-anak saya berpindah ke bilik belajar. Dua bilik kami serahkan kepada 'tetamu2' kami itu.
M, A, L dan S telah tinggal dengan kami, lebih daripada sebulan. Sebenarnya, tidak mudah untuk dapatkan rumah sewa yang selesa di Manchester. Walaupun pada mulanya saya agak keberatan untuk menerima budak-budak perempuan itu, tapi setelah tinggal beberapa hari dengan saya, kami menjadi rapat. Saya tidak sampai hati untuk melihat mereka ditempatkan di rumah yang tidak selesa. "Tinggal saja di sini, sampai kamu semua dapat tempat yang baik."
"Tapi Kak T(masa tu saya belum guna nama glamour), seganlah nak menyusahkan Kak T. Makan minum kami lagi."
"Tak apa. Saya ikhlas."
Saya menjadi rapat dengan mereka semua, terutamanya M dan A. Tapi, dengan M, saya betul-betul rapat hingga ke hari ini. Kami selalu berjumpa. Malah, semasa M berkahwin di Taiping, saya dan famili telah ke sana. Sekarang, kami selalu berjumpa... makan tengah hari, dan M rajin ke rumah saya dengan keluarganya. Alhamdulillah.
Bagi saya, kita boleh merancang, tapi TUHAN yang lebih mengetahui. Perhubungan saya dengan M semasa di Manchester dulu bagaikan adik-beradik. Banyak rahsia yang kami berkongsi. Semasa di Manchester juga, kami selalu keluar bersama bagai satu keluarga besar. Saya masih ingat, semasa saya hantar M ke lapangan terbang untuk pulang ke Malaysia, saya menangis.
Saya tidak pernah menyesal menerima kedatangan ke empat-empat gadis itu di rumah saya. Malah, itulah hikmah mengapa mereka telah dipilih untuk bertemu dengan saya. Syukur alhamdulillah!
Thank you M... I will always love you, insyaAllah!

Wednesday, March 01, 2006

Cerita Romantis?

Ada pembaca saya yang memasuki blog ini dan berkata,"Kak Aina, kenapa serius sangat? Tak macam baca buku Kak Aina lah!"

Saya pun menjawab, "tak apalah. Takkan semuanya nak sama. Nanti bosanlah orang membaca blog saya. Baik baca saja buku saya." Saya sempat mengusiknya.

Namun saya teringat kisah semasa saya masih remaja. Dalam ramai-ramai adik beradik perempuan (Kami memang ramai, sebab banyak ibu), sayalah yang sering terasa rendah diri. Kakak-kakak dan adik perempuan saya, semuanya lebih cantik, putih dan peramah kalau dibandingkan dengan saya. Ayah kami adalah seorang Arab/Turki tulen (100%) dan terkenal suatu ketika dahulu dengan kekacakannya. Anak-anak pula, nasib-nasiblah. Ada yang cerah kulitnya, berambut perang dan bermata perang, dan ada pula yang lebih gelap sedikit. Saya terjatuh dalam kategori yang kemudian.
Mungkin yang sama ialah hidung, mata (besar dan berbulu mata lentik) dan dagu lekuk. Apapun, kerana saya berbeza daripada adik-beradik perempuan yang lain, saya kerap memencilkan diri. Saya tak suka keluar rumah, dan tak suka berkenalan dengan mana-mana budak lelaki. Kerana ramai anak gadis di rumah besar kami, ramailah remaja lelaki yang kerap mencari peluang untuk mengunjungi rumah kami. Bila itu berlaku, yang pasti saya tidak akan ada di situ.
Saya menghabiskan masa membaca buku. Baca novel (Bukan buku ilmiah). Saya juga aktif dalam sukan. Suatu ketika dahulu, saya mewakili negeri Perak dalam permainan hoki. Bayangkanlah. Bertambah gelap dan berkilatlah kulit saya. Ketika itu badan saya juga gempal-gempal.
Semasa di sekolah, rakan-rakan senior selalu bertanya kepada saya, "are you so and so's sister?"
Bila soalan seperti itu dikemukakan, dengan pantas saya akan menjawab, "yes I'm the ugliest duckling."
Saya jawab begitu kerana saya tak mahu mereka bertanya lagi, "kenapa anda lain sedikit."
Mungkin saya mahu menjaga hati sendiri.
Pernah juga seorang senior memarahi saya dan berkata, "you're cute...you're pretty in your own way. Why do you have to say that?"
Adik perempuan saya lebih popular daripada saya. Hampir semua orang di tempat saya mengenalinya, kerana adik saya itu memang peramah orangnya. Hingga sekarang, bila ada sesiapa dari tempat saya dulu yang terjumpa dengan saya, akan membuat kesilapan dengan menyebut nama adik saya atau kakak saya. Mereka tidak ingat sangat kepada saya, walaupun saya pernah mengharumkan nama sekolah dengan mendapat pingat 'Blues' yang pertama dalam bidang hoki untuk sekolah.
Mungkin kerana perasaan rendah diri itulah saya cuba fokuskan kepada pelajaran. Saya merupakan anak pertama (daripada 24 beradik) dalam keluarga yang memasuki universiti. Itu pun secara kebetuan. Saya tidak pernah membuat perancangan untuk lakukan itu sebenarnya.
Untuk makluman pembaca, walaupun ramai adik beradik saya bukan berkelulusan universiti, tapi mereka lebih berjaya daripada saya. Ramai yang menceburi dalam bidang perniagaan.
Apa yang berlaku kemudiannya ialah bila saya bertemu dengan seorang remaja lelaki ini. Ketika itu, saya berada di tingkatan lima. Pertemuan yang tidak dijangkakan itu telah mengubah persepsi hidup saya. Buat pertama kali saya terasa yang diri ini penting untuk seseorang. Bagi matanya, saya cantik sekali pun dibandingkan dengan kakak-kakak dan adik saya. Itu penting.
Mulai saat itu, saya tahu yang saya juga mempunyai ciri-ciri istimewa untuk seseorang. Hilang rasa rendah diri dan saya mula membina keyakinan pada diri ini. Saya bangga kerana TUHAN telah menemuikan saya dengan remaja itu.
Kerana dia bijak orangnya, saya mula rajin belajar. Saya malu kalau orang tahu yang kawan perempuannya tidak pandai. Dia juga tidak banyak cakap. Kerana itu, saya mula menjadi seorang yang peramah.
Selama lima tahun saya berkawan dengannya (secara jarak jauh, kerana dia menyambung pelajaran di luar negara). Sebaik sahaja dia menamatkan pelajaran dan pulang untuk bekerja, kami pun bernikah. Ketika itu saya masih belajar di Universiti Malaya.
Cukup romantis tak cerita saya ni???
Nanti saya ceritakan bagaimana saya boleh bertemu dengan jejaka itu, ya?